Baru-baru ini Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah telah bertitah mengenai keperluan untuk sekolah-sekolah vernakular di negara ini mengambil tanggungjawab memastikan setiap murid di sekolah-sekolah berkenaan mampu menguasai Bahasa Malaysia dengan baik di samping mencapai tahap kefasihan setanding atau tinggi dengan murid di sekolah kebangsaan.

Gesaan yang dibuat Sultan Perak ini amat penting untuk diteliti kerana Baginda turut menyatakan rasa pelik terhadap seseorang yang memiliki taraf kewarganegaraan Malaysia tetapi masih tidak boleh memahami, bertutur, menulis dan membaca menggunakan Bahasa Kebangsaan secara baik dan teratur. Bahasa disifatkan Baginda sebagai identiti individu sebagai rakyat Malaysia.

Sekolah-sekolah vernakular di Malaysia menggunakan Bahasa Ibunda masing-masing sebagai bahasa pengantar dan ini jelas menjadi punca utama mengapa tahap penguasaan bahasa kebangsaan dalam kalangan murid di sekolah-sekolah ini tidak dapat mencapai tahap sewajarnya. Namun, tidak dinafikan terdapat murid dari sekolah-sekolah ini berjaya mencapai tahap baik dalam Bahasa Malaysia. Penguasaan Bahasa Kebangsaan bukan hanya satu pencapaian bersifat akademik, tetapi ia memiliki nilai dalam pembentukan jadi diri sebuah warganegara.

Kegagalan untuk menguasai Bahasa Malaysia dengan baik memberikan petanda hasrat untuk melihat Malaysia muncul sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya sukar untuk dicapai. Sebenarnya terdapat beberapa hal penting yang boleh dilaksanakan mengikut beberapa pendekatan bersesuaian bagi meningkatkan tahap kefasihan seperti yang dititahkan oleh Sultan Perak.

Perkara pertama yang boleh dilakukan ialah meningkatkan peranan ibu bapa murid yang belajar di sekolah vernakular. Peranan yang dimaksudkan ialah dari sudut penggunaan Bahasa Kebangsaan di rumah. Walaupun kita memahami bahawa kebanyakan keluarga selesa bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing, namun harus dimanfaatkan segelintir masa, misalnya satu hari merupakan hari bertutur dalam Bahasa Kebangsaan. Secara tidak langsung ini dapat meningkatkan keupayaan pertuturan di samping meningkatkan penguasaan terhadap bahasa berkenaan.

Rumah merupakan tempat bermula segala-galanya dan proses galakan untuk menggunakan Bahasa Kebangsaan ini harus bermula dari rumah. Malaysia bukan mahu menghapuskan budaya ibunda kaum masing-masing, namun Malaysia selesa untuk wujud dalam kepelbagaian, tetapi dalam masa sama tumpuan dan penguasaan terhadap Bahasa Malaysia wajar menjadi kewajipan yang tidak harus diperkecilkan.

Selain itu, pihak Kementerian Pendidikan juga wajar untuk menilai semula aras kurikulum dan pentaksiran subjek Bahasa Malaysia yang digunapakai di sekolah-sekolah vernakular. Ini kerana berdasarkan kepada keadaan semasa aras kurikulum dan pentaksiran yang digunakan adalah lebih rendah dan mudah berbanding di sekolah kebangsaan. Sewajarnya satu usaha bersepadu wajar digerakkan untuk memastikan aras ini disetarakan supaya dapat membentuk tahap penguasaan yang setanding di antara sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan.

Satu lagi hal yang perlu dilihat ialah peranan masyarakat Malaysia secara menyeluruh terhadap penghormatan yang diberikan kepada Bahasa Kebangsaan. Setiap warganegara ini wajar disedarkan tentang keperluan menguasai Bahasa Malaysia dan bagaimana bahasa rasmi negara sendiri perlu diletakkan pada kedudukan tinggi dan dihormati. Peranan ini seharusnya dimainkan secara aktif oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Promosi dan kegiatan luar yang lebih rapat dengan masyarakat mampu memberikan kesedaran berbahasa yang tinggi.

Bahasa Malaysia tidak harus dilihat sebagai bahasa untuk lulus dalam peperiksaan semata-mata, tetapi harus dilihat sebagai sebuah lingua-franca terpenting di rantau Asia Tenggara dan martabat ini harus diangkat oleh kita seluruhnya bangsa Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here