rohingya

Pelarian Rohingya ini terpaksa meninggalkan tempat tinggal dan membawa ahli keluarga termasuk anak kecil menempuh perjalanan jauh, malah nyawa menjadi taruhan.

Seorang pelarian Rohingya, Hasina Begum berkata, dia telah menyaksikan kekejaman tentera Myanmar dan apa dilihatnya tidak akan dilupakan buat selama-lamanya.

Dia mendakwa tentera Myanmar membunuh dan mengerat tubuh seorang lelaki Rohingya menjadi empat ketika tentera itu menyerang sebuah kampung bernama Bura Shida Para di utara Arakan.

“Mereka kerat tubuh lelaki itu jadi empat dan tanam, jadi orang tidak boleh lihat kekejaman mereka,” katanya.

Mengingat kembali bagaimana insiden kekejaman itu berlaku, Hasina berkata, tentera Myanmar yang masuk ke kampungnya mula mengepung dan mengarahkan penduduk berkumpul di satu tempat.

“Lelaki berkumpul di tempat lain dan wanita termasuk kanak-kanak di tempat lain. Ketika berkumpul, kira-kira 13 tentera Myanmar menarik dua remaja dan merogol mereka di depan ibu mereka.

“Saya berdoa kepada ALLAH, saya tidak sanggup melihat dan berdepan kekejaman yang berlaku,” katanya.

Dia yang kini berada di kem pelarian di Bangladesh bersyukur kerana berjaya melarikan diri walaupun ramai lagi ahli keluarga dan rakan-rakannya masih terperangkap di wilayah Arakan.

Seorang lagi pelarian Rohingya, Fatema Begum turut menceritakan pengalaman ngerinya ketika melarikan diri dari wilayah Arakan. Lebih menyedihkan dia melarikan diri bersama dua anaknya yang masih kecil.

“Pada penghujung 2016, kampung saya di Careypara telah diserang tentera Myanmar. Saya melarikan diri dari kampung ke kampung lain sebanyak 16 kali selama dua bulan sebelum tiba di sempadan Bangladesh.

“Sepanjang masa saya menangis, apa yang paling saya takut adalah nasib anak saya. Ketakutan dibunuh pada bila-bila masa sentiasa menghantui saya,” katanya.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here