PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengadakan mesyuarat berprofil tinggi dengan Menteri Pertahanan Perancis Jean-Yves Le Drian dan wakil industri pertahanan Perancis.

Mesyuarat itu diadakan ketika Le Drian dan delegasinya melakukan kunjungan hormat ke atas Najib di pejabat perdana menteri di Perdana Putra di sini, yang berlangsung kira-kira satu jam.

Menurut seorang anggota delegasi Le Drian, mesyuarat itu yang turut dihadiri Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, antara lain membincangkan hasrat Malaysia yang berminat untuk membeli helikopter pengangkut Mistral.

Le Drian juga akan mempengerusikan Jawatankuasa Bersama Strategi Tinggi Pertahanan Perancis-Malaysia bersama-sama rakan sejawatnya Hishammuddin, juga pada hari ini.

Akhbar The French Tribune baru-baru ini melaporkan Malaysia merupakan antara negara yang mungkin berminat untuk membeli sebuah daripada pesawat pengangkut Mistral yang telah ditempah oleh Rusia daripada STX France sebelum membatalkannya selepas kejadian berbalas tembakan di Ukraine pada 2014.

Menurut akhbar Perancis, La Tribune, Malaysia telah berminat untuk membeli pesawat pengangkut serupa dengan Mistral, sekurang-kurangnya sejak 10 tahun lepas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here