Menteri Datuk Seri Maximus Ongkili mengumumkan hasrat untuk bertanding di kerusi DUN Tambunan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ahli Parlimen Kota Marudu dan pemangku presiden PBS itu berkata beliau sudah terlalu lama menjadi ahli Dewan Rakyat dan berharap akan dapat mengubah haluan dan berkhidmat kepada rakyat di peringkat negeri.

Ongkili, 64, pernah menjadi Ahli Parlimen Bandau selama 2 penggal dari 1995 hingga 2004 sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya menggantikan kawasan itu dengan Kota Marudu, yang dimenanginya pada pilihan raya 2004, 2008 dan 2013.

“Saya sudah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen selama 5 penggal dan saya rasa kali ini saya mahu bertanding kerusi negeri, barangkali Tambunan,” katanya pada sidang media hari ini.

Menteri tenaga, teknologi hijau dan air itu berkata beliau perlu membincangkan perkara itu bersama Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, iaitu Adun Tambunan dan Ahli Parlimen Keningau.

Pada Julai tahun lepas, Pairin berkata beliau mahu kekal sebagai presiden parti sehingga tamat penggal Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Sabah.

Ongkili dilantik pemangku presiden selepas 22 tahun menjadi timbalan presiden parti.

Ongkili berkata Pairin hampir memuktamadkan keputusan untuk tidak bertanding pada pilihan raya akan datang.

“Ada 99% beliau tidak akan bertanding. Masih ada 1% di mana beliau akan ubah fikiran,” katanya.

Ongkili enggan mengulas ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen sekarang atau bertanding kerusi lain seperti Keningau, sekiranya hasrat bertanding di peringkat negeri ditolak.

Pairin, 77, di satu himpunan Krismas semalam berkata beliau sedia mendengar nasihat kepimpinan parti tentang perkara itu walaupun kemungkinan beliau akan bertanding semula adalah kecil.

Selepas berkhidmat sebagai presiden PBS sejak 1985, beliau pertimbangkan untuk bersara dari politik sejak November tahun lepas.

Beliau mahu meluangkan masa bersama keluarga, terutama bersama cucu, dan menyiapkan buku yang sedang dikarangnya.-FMT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here