Kelmarin berlangsung Ceramah 100 Hari Menuju Putrajaya yang diadakan di negeri Johor. Kami mengikuti rapat perjalanan program tersebut. Ia bagi melihat sejauh impak ceramah tersebut khususnya kepada rakyat negeri Johor.

Mana tidaknya, Pakatan Harapan menerbangkan hampir semua pemimpin utama mereka ke Johor untuk ceramah tersebut. Mereka yang turun ke Johor ialah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Nurul Izzah, Gobind Singh, Mat Sabu dan ramai lagi.

Tetapi di sebalik nama-nama besar ini, tidak kelihatan kelibat Tan Sri Muhyiddin Yassin. Agak janggal melihat beliau tidak hadir.

Adakah bekas Menteri Besar Johor itu tidak berani berhadapan dengan rakyat Johor di atas pentas sebagai seorang pembangkang?

Secara keseluruhannya, kami tidak melihat apa yang sebenarnya cuba ditawarkan oleh Pakatan Harapan kepada rakyat Johor pada ceramah tersebut.

Mereka seolah-olah tiada idea bagaimana mahu menyerang negeri yang sedang dipimpin oleh YAB Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin. Akhirnya, hanya nama Najib dan Rosmah sahaja sebagai bahan jenaka yang boleh dipersembahkan pada malam itu.

Timbul persoalan, adakah ini sebenarnya wajah politik Malaysia?

Berbalik kepada ceramah Pakatan Harapan tersebut, kita sedia maklum bahawa Tun Mahathir diangkat sebagai calon Perdana Menteri Sementara Pakatan Harapan.

Tetapi dalam tempoh 100 hari ini, siapa pula calon Menteri Besar Johor bagi Pakatan Harapan?

Jika dilihat, ia merupakan indikator terpenting bagi Pakatan Harapan menawan hati rakyat Johor. Rakyat Johor mahu melihat siapa calon terbaik yang mampu menyaingi kredibiliti dan sosok kepimpinan Khaled Nordin.

Umum mengetahui bahawa sejak era kepimpinan Khaled Nordin, pelbagai kejayaan dan pembangunan yang telah dicapai untuk negeri Johor. Pelbagai dasar dan tadbir urus berkesan telah memacu ekonomi dan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat Johor.

Beliau merupakan individu yang sangat dekat di hati dan mudah mendampingi rakyat apatah lagi sangat disenangi oleh generasi muda Johor.

Maka sudah tentu Pakatan Harapan perlu meletakkan calon terbaik bagi menawan hati rakyat Johor untuk berani menukar tampuk kepimpinan di Johor.

Selepas melihat pembahagian kerusi Parlimen dan DUN Johor, kami merasakan tiada nama besar yang mampu menggalas tanggungjawab memimpin negeri Johor.

Di kem AMANAH, hanya nama besar seperti Aminolhuda Hassan dan Salahuddin Ayub yang kedengaran. Tetapi ia belum cukup kuat memandangkan kepimpinan AMANAH Johor sendiri telah gagal dalam menguruskan pembahagian kerusi sehingga parti tersebut merupakan parti tercorot dalam pembahagian kerusi.

Begitu juga di kem PKR yang tinggal hanyalah Hassan Karim selaku Pengerusi PKR Johor dan kerusi DUN mereka juga hanyalah sekitar 12 kerusi sahaja.

Paling menarik ialah melihat kerusi BERSATU dan DAP. Masing mempunyai kerusi besar iaitu 18 dan 14 bagi DUN Johor. Jika diambil kira, maka besar kemungkinan BERSATU merupakan calon bagi kerusi Menteri Besar Johor.

Tetapi sudah tentu beberapa faktor bakal menyukarkan impian parti tersebut bagi mengisi jawatan bagi kerusi tersebut.

Pertama, kebanyakan wakil BERSATU merupakan calon recyle yang bakal dijenamakan semula. Sudah tentu agak sukar kerana kebanyakan mereka telah ditolak oleh rakyat khususnya di Johor.

Kedua, jika Tun Mahathir dicalonkan semula sebagai Perdana Menteri Malaysia, tidak mustahil Tan Sri Muhyiddin Yassin juga bakal dicalonkan semula sebagai Menteri Besar Johor.

Agak mustahil bagi perkara tersebut berlaku kerana selain tidak disenangi oleh Istana Johor, beliau juga mempunyai rekod pentadbiran yang buruk ketika era pentadbiran beliau. Dari isu penjualan aset air Johor kepada Singapura sehinggalah kegagalan memacu ekonomi dan pembangunan di negeri Johor.

Ketiga, melalui satu kertas kerja yang diterbitkan oleh Iseas Institut Yusof Ishak Singapura yang telah dibentangkan oleh Wan Saiful Wan Jan, mendapati 85 peratus orang Melayu Johor tidak berpihak kepada DAP.Sudah tentu sentimen ini bakal memberi kesan terhadap cita-cita BERSATU kerana BERSATU kini rakan sekutu kepada DAP.

Ia juga berkait rapat dengan beberapa siri kenyataan pemimpin tertinggi DAP yang mahu Johor menjadi seperti Pulau Pinang Kedua.

Walau apapun jua, secara jelas Pakatan Harapan masih belum mampu memberi alternatif kepada rakyat Johor dalam usaha mereka untuk menawan negeri Johor.

FIKRI ALAUDDIN adalah aktivis Persatuan Pemikir Muda Johor. Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan ia tidak mempunyai kaitan dengan Malaysian Access.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here