Esok (31 Ogos 2017) genap 60 tahun negara tercinta ini mengecap nikmat kemerdekaan dan sejak dari tahun 1957 kita dapat melihat pelbagai perkembangan menarik di bumi tercinta ini. Pelbagai bentuk pembangunan, kejayaan dan kenangan manis yang dirasai. Walaupun masih terdapat pelbagai hal yang perlu dibetulkan namun sekurang-kurangnya negara ini sedang berada di landasan yang betul untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan di samping muncul sebagai antara negara terbaik di dunia dalam pelbagai bidang seperti dihasratkan dalam rancangan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Malaysia hari ini sudah tentu jauh berbeza dengan yang terdahulu khasnya dari sudut perkembangan ekonomi dan taraf hidup rakyat. Kedua-dua hal ini sentiasa menjadi petunjuk penting dalam menilai keberkesanan setiap dasar yang diperkenalkan Kerajaan. Malaysia bukan sebuah negara yang membangun dengan mudah dan tiba-tiba, tetapi menuntut pengorbanan dan kerja kuat seluruh warganya sendiri.

Kita sebagai rakyat Malaysia wajar berasa bangga dengan apa yang telah dilalui oleh negara ini. Malah pelbagai kajian dan indeks antarabangsa juga telah menjadi bukti penting kepada kejayaan Malaysia di mata dunia. Kita kini sering menjadi rujukan negara-negara membangun lain dalam pelbagai bidang khasnya perancangan pembangunan infrakstruktur dan kapasiti modal insan.

Namun begitu menjelang tempoh 60 tahun ini kita sewajarnya melihat secara dalam perkara-perkara yang kita sebagai warga Malaysia wajar lakukan untuk wajah lebih gemilang negara ini. Perkara utama yang perlu diberikan perhatian oleh warga negara Malaysia pada masa kini ialah membangunkan diri dan minda menjadi kelas pertama dan berdaya maju, lebih-lebih lagi dalam aspek kesedaran sivik. Kita dilihat masih ketinggalan dalam aspek seperti ini.

Tidak ada guna Kerajaan menyediakan infrastruktur kelas pertama dan bertaraf dunia, tetapi kita sebagai rakyat yang menggunakannya masih memiliki mentaliti mundur. Hal paling mudah perlu kita ambil ialah vandalisme yang berlaku di stesen-stesen Transit Aliran Massa (MRT) walaupun kemudahan berkenaan baru sahaja berfungsi dan diguna pakai. Ini satu hal yang amat menyedihkan kerana kita sewajarnya menghargai setiap kemudahan yang disediakan dengan menggunakannya secara lebih berhemah dan teratur.

Selain itu, baru-baru ini ketika beberapa perlawanan bola sepak diadakan di Stadium Shah Alam melibatkan pasukan kebangsaan, kita dapat melihat dengan mata sendiri bagaimana sebilangan daripada kita membuang sampah sesuka hati dan tidak mempunyai apa-apa kesedaran tentang tanggungjawab untuk memelihara kebersihan di tempat awam. Longgokan sampah seperti ini amat menyakitkan mata dan hati. Sewajarnya setiap individu mempunyai kesedaran membawa pulang sisa sendiri, tanggungjawab membawa beg sampah sendiri bukan sesuatu yang perlu diajar kerana itu ialah ialah kesedaran automatik yang perlu wujud dalam diri kita sendiri.

Tidak ada gunannya semua kejayaan bertaraf dunia jika masih ada dalam kalangan kita yang memiliki mentaliti rendah dan tidak mahu berubah ke arah yang lebih baik. Sebagai warga yang bertanggungjawab kita bukan sekadar berbangga dengan pencapaian 60 tahun kemerdekaan atau sekadar mengibarkan bendera di rumah dan kereta masing-masing, tetapi kita harus memiliki kesedaran sivik yang tinggi untuk muncul sebagai warga Malaysia bermaruah dan memiliki mentaliti berkelas dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here