SEMALAM, selesai sudah ucapan dasar Presiden UMNO YAB Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 di PWTC, Kuala Lumpur. Setelah semangat para perwakilan yang hadir disemarakkan oleh ucapan Timbalan Perdana Menteri merangkap pemangku timbalan presiden YAB Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, ucapan Najib adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu sementelah parti Melayu tertua negara itu berhimpun buat kali terakhir sebelum gendang pilihan raya umum (PRU) ke-14 dipalu pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

Menangkis Persepsi Songsang

Dalam ucapannya semalam, Najib antara lain menggunakan kesempatan itu untuk memaklumkan para perwakilan dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya mengenai kemajuan dan pembangunan yang telah dicapai negara sepanjang lapan tahun pemerintahan beliau. Ternyata Najib sememangnya perlu diberikan peluang untuk bangun menepis pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap beliau, lebih-lebih lagi apabila rakyat seolah-olah ‘disenyapkan’ mengenai pelbagai kemajuan yang dicapai negara di bawah pemerintahannya. Inilah juga perkara yang menjadi penekanan pelbagai pemimpin barisan hadapan UMNO sepanjang persidangan yang sudah memasuki hari keempat pada hari ini.

Pembangunan Seimbang

Tidak dinafikan, sepanjang pemerintahan beliau, pembangunan yang dibawa Najib sememangnya lebih komprehensif dan menyeluruh berbanding apa yang telah dilakukan Mahathir. Benar, sebagai Bapa Pembangunan Malaysia, Mahathir juga banyak jasanya dalam menjadikan Malaysia antara negara paling membangun di zamannya. Sampai hari ini KLCC dan KLIA umpamanya menjadi mercu tanda negara yang disebut-sebut komuniti antarabangsa. Namun, seperti yang Khairy sendiri sebutkan dalam ucapannya Rabu lalu, pembangunan yang dibawa Mahathir hanya tertumpu di kawasan tertentu khususnya Kuala Lumpur. Maka tidak hairanlah di bawah pemerintahannya, masalah kemiskinan dan kemunduran tidak pernah di negeri-negeri lain khususnya di Sabah dan Sarawak seakan tidak pernah menemui penyelesaian. Hatta di Kedah sekalipun – iaitu negeri kelahiran Mahathir -, pembangunan dan kemajuan tidak begitu terlihat di zamannya.

Ini sama sekali berbeza dengan polisi pembangunan yang dibawa pemerintahan Najib. Kita melihat dari Perlis sehinggalah ke Sabah, pelbagai projek pembangunan dirancang dan dilaksana bagi memastikan rakyat di segenap tempat dan peringkat turut sama-sama merasai arus pembangunan negara. Kalau dulu Sabah dan Sarawak begitu sinonim dengan sistem jalan raya yang begitu menyedihkan, hari ini kita melihat projek Lebuh Raya Pan-Borneo menjadi pembangunan paling menyerlah di kedua-dua negeri itu. Ianya bagaikan satu ‘durian runtuh’ buat penduduk di negeri-negeri tersebut, apatah lagi projek yang menelan belanja amat besar itu kelak tidak akan sama sekali mengenakan sebarang kutipan tol terhadap pengguna.

Begitulah juga di negeri-negeri lain. Kita melihat sistem penyampaian kerajaan yang lebih kemas, efisyen dan tersusun. Betapa kita menyaksikan hari ini Pusat Transformasi Bandar (UTC) begitu membantu rakyat di seluruh negara memudahkan urusan mereka. Projek MRT juga misalnya menjadi satu manifestasi ke arah transformasi sistem pengangkutan awam yang bertaraf dunia. Negeri-negeri di Pantai Timur pula menyaksikan projek pembangunan ECRL yang tentunya akan menjadi mercu tanda wilayah tersebut dalam tahun-tahun yang mendatang. Bagi negeri-negeri di bahagian selatan tanahair, projek pembangunan HSR adalah satu manfaat yang dinanti yang akan menghubungkan Singapura sehinggalah ke Kuala Lumpur. Hendak disebutkan satu persatu, memang terlalu banyak pembangunan yang telah direncana kerajaan. Memadailah kesemuanya ini menjadi bukti bahawa pembangunan dan kemajuan yang dibawa ini betul-betul seimbang dan manfaatnya dirasai secara sama rata oleh rakyat.

Masa Depan Yang Lebih Terjamin Dan Stabil

Bercakap mengenai masa depan, UMNO dan BN nampaknya sudah jauh ke hadapan. Melalui pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50), kerajaan pimpinan Najib terbukti sudah merangka apakah bentuk negara dan pencapaian yang mahu dicapai menjelang tahun 2050 iaitu 33 tahun dari sekarang. Apakah pula bentuk generasi yang akan dilahirkan pada waktu itu, serta seramai dan sebanyak mana pula kepakaran yang akan negara hasilkan menjelang tempoh tersebut. Bayangkan, menjelang 2050, kita pun belum pasti apakah barisan kepimpinan negara yang ada pada hari ini masih ada pada tarikh tersebut untuk menyaksikan sendiri perkembangan dan kemajuan yang dicapai. Tetapi komitmen kepimpinan sekarang untuk tetap menjayakan wawasan ini demi masa depan negara yang lebih gemilang nyata memperlihatkan pandangan mereka yang terkehadapan dalam memacu kemajuan yang inklusif untuk rakyat.

Ini nyata berbeza sama sekali dengan perancangan pembangkang yang kini diterajui sendiri kepimpinannya oleh Mahathir. Sehingga hari ini, Pakatan Harapan (PH) tidak pun membentangkan sebarang agenda mereka untuk dalam untuk jangka masa panjang. Apa yang kita dengar pada hari ini hanyalah lebih berkisarkan program-program imbuhan jangka pendek untuk rakyat, dan tentunya pelan-pelan seperti ini tidak akan mampu kekal realistik dan mapan dalam tempoh beberapa dekad yang akan datang. Apatah lagi dengan terbuktinya penglibatan Mahathir sendiri dalam skandal penyelewengan kuasa dan kerugian pendapatan negara sepanjang 22 tahun pemerintahannya. Isu kerugian yang ditanggung Bank Negara Malaysia (BNM) dalam isu forex, skandal PERWAJA dan MAS sahaja sudah cukup membayangkan bahawa keputusan PH dalam melantiknya sebagai perdana menteri interim pakatan itu kelak seolah-olah akan terus menjanjikan ketidakstabilan buat negara.

Kestabilan negara tidak hanya terhasil daripada sudut ekonomi, bahkan ia hadir bersama-sama dengan kestabilan politik yang mengimbangi. Sejak akhir-akhir ini, kita melihat bagaimana kerajaan yang ada kini begitu terbuka dan fleksibel dalam pendekatannya bagi memastikan hak semua rakyat di semua negeri terpelihara. Justeru, kita menyaksikan kesungguhan kerajaan untuk menghargai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui pemulangan semula hak-hak Sabah dan Sarawak. Kestabilan politik juga begitu berkait rapat dengan hubungan antara kaum yang lebih harmoni. Sepanjang pemerintahan Najib, sudah banyak program yang dirancang dan dilaksanakan bagi memastikan memastikan semua kumpulan etnik bukan Melayu, khususnya Cina dan India, sama-sama menikmati pelbagai program pembangunan dan kebajikan. Ketika kaum Cina memperoleh banyak manfaat melalui peluang ekonomi dan pemerkasaan pendidikan, kaum India juga tidak ketinggalan melalui pelbagai inisiatif yang diatur kerajaan. Pelan Tindakan Masyarakat India (Malaysian Indian Blueprint – MIB) umpamanya barangkali adalah satu pelan terbaik pernah diterima masyarakat India dalam tempoh beberapa dekad sebelum ini.

Survival Politik Melayu Dan Islam

Jika hendak dibandingkan dengan mana-mana komponen majoriti Melayu dalam PH, UMNO ternyata lebih konsisten dalam agenda Melayu dan Islamnya. Justeru, kita melihat bagaimana UMNO terus menjadi benteng orang Melayu dalam mendepani ancaman-ancaman sekular dan sosial seperti pesta arak dan budaya LGBT. Selain itu, UMNO terus mendahului dalam gerak kerjanya memperjuangkan nasib umat Islam di seluruh dunia. Pendirian tegas berkaitan nasib umat di Palestin dan Myanmar umpamanya menjadi bukti jelas akan hakikat itu. Ya, di sana masih terdapat PAS yang pendirian dan prinsip Islamnya mungkin lebih terserlah. Tetapi keputusan parti itu untuk bersendirian dan pendekatannya yang agak rigid dalam beberapa perkara menyebabkan kepimpinan negara di bawah parti Islam itu hampir mustahil buat masa sekarang.

Sehingga kini, UMNO jugalah yang menjadi penampan terhadap ancaman-ancaman terhadap institusi Islam di negara ini. Tanpa tekanan dan “check and balance” daripada UMNO, kita yakin bahawa DAP khususnya pasti mempunyai jalan yang ‘selesa’ untuk menghakis survival politik Melayu secara perlahan-lahan. Jika hendak diharapkan komponen-komponen Melayu dalam PH, itu samalah seperti meletakkan harapan kosong ke atas mereka. Maka dalam mendepani PRU yang akan datang, UMNO dilihat sebagai parti paling ideal yang perlu dipilih oleh orang Melayu. Ketika PH masih lagi tercari-cari dan berteka-teki mengenai siapakah yang perlu mengetuai pakatan dan kerajaan bayangan mereka, UMNO sudah menunjukkan kepada orang Melayu secara umumnya bahawa parti itu sudah berdiri teguh di belakang gandingan dua pemimpin – Najib dan Zahid – yang mereka sendiri pilih dengan penuh kepercayaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here