RATA-rata rakyat nampaknya masih lagi membicarakan perihal bekas perdana menteri merangkap Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dinamakan sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan (PH) sekiranya mereka berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) kelak.

Dalam pengumuman yang dibuat di Konvensyen PH di Shah Alam hujung minggu lalu, blok pembangkang itu juga telah mengeluarkan kenyataan mereka mengenai pembahagian jumlah kerusi parlimen yang akan ditandingi oleh kesemua parti komponen PH di Semenanjung. Umum sudah pun mengetahui dan sedia maklum bahawa dalam 165 kerusi parlimen yang diperuntukkan untuk dipertandingkan pada PRU nanti, PPBM diberikan 52 kerusi, PKR 51 kerusi, DAP 35 kerusi, sementara AMANAH pula hanya 27 kerusi.

Walaupun PH setidak-tidaknya telah ‘berjaya’ meletakkan noktah pada persoalan mengenai siapakah calon perdana menteri mereka sekaligus menjawab teka-teki orang ramai, di sana terdapat ramai penganalisis dan pemerhati politik yang melihat pakatan itu masih lagi berdepan jalan dan laluan sukar dalam misi mereka menumbangkan BN pada PRU kelak. Mengambil sentimen dan persepsi yang wujud setelah berakhirnya konvensyen PH hujung minggu lalu, analisis dan pemerhatian sedemikian ternyata ada asasnya.

PH Tiada Tawaran Baru

Apabila PH terus mengangkat Mahathir sebagai calon perdana menteri mereka, ternyata pakatan tersebut tidak menawarkan satu agenda baru kepada rakyat. Sebaliknya, mereka memilih seorang calon kitar semula yang boleh ‘ditunggangi’ pengaruhnya walaupun menyedari individu tersebut bukanlah calon yang bersih, malah telah terpalit dengan pelbagai isu dan kontroversi pula. Dengan umur yang masuk mencecah 93 tahun, Mahathir bakal menjadi pemimpin kerajaan paling tua di dunia sekiranya impian beliau menjatuhkan BN menjadi kenyataan pasca PRU kelak. Dalam ‘keuzuran’ sebegitu, mana mungkin seorang pemimpin kerajaan dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan cergas dan cerdas. Memilih beliau tidak ubah seperti mengundurkan ‘langkah’ negara ke belakang.

Apatah lagi Mahathir sendiri bukanlah seorang personaliti yang sunyi daripada pelbagai kontroversi. Skandal kewangan dan salah tadbir urus dalam isu forex, Perwaja dan MAS umpamanya menjadi isu-isu yang sinonim dengan beliau. Sikap autokratik Mahathir dalam pentadbiran kerajaan dahulu pula menjadi faktor paling utama penentangan pembangkang yang ada pada hari ini sehingga ada yang menggelarkan beliau sebagai “Mahafiraun” pada ketika itu. Hari ini, kumpulan pembangkang yang sama jugalah yang mengangkat beliau untuk mengepalai kerajaan bayangan mereka.

Tidakkah ini juga satu bentuk tindakan dan pengiktirafan untuk mengembalikan autokrasi Mahathir. Bekas perdana menteri itu diketahui sebagai seorang anti-reform. Apabila PH yang penuh dengan idea ‘perubahan’ mengangkat seorang anti-perubahan untuk menjadi perdana menteri mereka, ianya memberi bayangan bagaimana keliru dan kucar-kacirnya sebuah kerajaan yang hendak dibentuk kelak. Tambahan pula, di sana masih terdapat sebuah kelompok besar, rata-ratanya pendokong tegar gerakan reformasi, yang masih tidak menyenangi pemilihan Mahathir selaku calon ketua kerajaan.

Permainan Dan Tipu Daya PPBM

Ramai juga pemerhati dan rakyat yang agak terkejut dengan pembahagian kerusi yang diputuskan PH hujung minggu lalu. Apa yang memeranjatkan ialah, biarpun hanya setahun jagung dan belum pernah mempunyai apa-apa pengalaman PRU, PPBM diberikan jumlah kerusi parlimen yang paling banyak di Semenanjung berbanding dengan kesemua parti komponen yang lain. Jika hendak dibandingkan dengan AMANAH sekalipun, PPBM tetaplah komponen bongsu pakatan tersebut.

Jika tidak kerana memang gilakan kuasa, mungkin sahaja ini adalah taktik dan strategi PPBM untuk mengaburi masyarakat dan pengundi Melayu bahawa dalam pembangkang, parti Melayulah yang paling dominan. Justeru, pengundi Melayu tidak perlu bimbang dan khuatir untuk mengundi PH, dan tidak perlu pula berfikir mengenai kemungkinan DAP menguasai dan menunggangi pakatan tersebut. Hakikatnya, bukannya rakyat tidak tahu bahawa PPBM adalah parti yang paling tidak stabil pada ketika ini.

Selain menjadi parti paling baharu, PPBM juga tidak mempunyai asas sokongan yang kukuh. Jangankan DAP dan PKR, asas sokongan yang dimiliki AMANAH pun belum dapat ditandingi PPBM. Entah bagaimana parti setahun jagung itu diberikan kerusi parlimen paling banyak, tidaklah kita ketahui. Tetapi apa yang pasti, ketika rakyat melihat BN sebagai sebuah gabungan yang satu, mereka tidak melihat situasi serupa dalam kem PH. Buat masa ini, PH masih lagi gagal ‘menanam’ logo dan bendera pakatan mereka dalam minda dan pemikiran rakyat. Maka atas faktor tersebut, kebanyakan pengundi akan terus melihat parti-parti pembangkang sebagai bersifat individu. Bagi parti yang tidak mempunyai asas sokongan yang kukuh, situasi ini berpotensi menjerat mereka.

Pecahan Undi Dan Kelicikan DAP

Jumlah pembahagian kerusi yang ‘aneh’ dan ‘pelik’ ini juga sudah mula menjelmakan bibit-bibit pemberontakan dalam kem PH. AMANAH umpamanya jelas tidak berpuas hati dengan jumlah kerusi yang begitu sedikit diperolehi mereka. Menyedari amarah tersebut, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pantas mengeluarkan amaran kepada AMANAH agar menerima sahaja keputusan yang telah disepakati oleh pimpinan pusat PH berkenaan hal tersebut. Dengan PAS yang diakui mempunyai begitu ramai penyokong tegar, pemberontakan yang wujud dalam kem PH khususnya kemungkinan undi sabotaj oleh penyokong AMANAH kelak berpotensi untuk terus memecahkan undi Melayu untuk PH.

Di sinilah liciknya DAP, dan tidak kurangnya PKR pada satu tahap yang lain. Biarpun tidaklah memiliki kerusi parlimen sebanyak yang ‘dinikmati’ PPBM di Semenanjung, mereka sedar yang penting bukanlah berapa bilangan kerusi yang ditandingi. Sebaliknya, yang paling mustahak adalah berapa sebenarnya kerusi yang dimenangi. DAP dan PKR tampak yakin untuk memenangi kebanyakan kerusi yang mereka menangi lantaran memiliki asas sokongan yang lebih baik. Itu belum lagi dicampur baki 57 kerusi parlimen di Sabah dan Sarawak yang secara majoriti akan ditandingi oleh kedua-dua parti ini. Justeru, ketika PPBM dan AMANAH terus ‘merangkak’ mencari nyawa politik pada PRU kelak, DAP dan PKR jugalah yang nampaknya lebih ‘licik’ membaca dan merencana strategi politik.

Kerapuhan Pakatan Dan Masa Depan PH

Situasi-situasi di atas memberitahu kita bahawa kem PH masih lagi rapuh. ‘Pemberontakan’ yang wujud pasca konvensyen mereka hujung minggu lalu juga bermakna pelbagai lagi bentuk kekalutan dalaman yang perlu mereka urus menjelang PRU kelak. Malang juga, setelah hampir 20 tahun pembangkang menentang pemimpin yang disifatkan mereka sebagai zalim, akhirnya individu itu jugalah yang mereka angkat sebagai pemimpin nombor satu mereka pada ketika ini. Lantas ianya memberikan bayangan betapa perjuangan selama puluhan tahun itu gagal sama sekali melahirkan pemimpin baru dengan acuan mereka sendiri. Berdegar-degar kenyataan mereka hendak menjuarai isu orang muda, tetapi apa yang dipertontonkan kepada rakyat adalah satu manifestasi yang bertentangan pula. Jika analisis sebahagian pemerhati politik benar, maka PH tidaklah wajar berasa hairan dan pelik jika pasca PRU kelak mereka masih lagi perlu terus menunggu dan menunggu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here