APABILA Panglima Angkatan Tentera Malaysia (PAT), Jen. Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor menyuarakan hasratnya untuk melihat lebih ramai kaum bukan Melayu menyertai pasukan bersenjata negara, ia sebenarnya kembali membangkitkan persoalan lama yang nampaknya belum diselesaikan. Isu kurangnya penyertaan bukan Melayu dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukanlah isu baharu, malah topik itu sering dibual dan dibicarakan saban tahun. Buat masa ini, kuota yang diperuntukkan untuk kemasukan kaum bukan Melayu adalah sebanyak 10 peratus. Namun nampaknya kuota sebanyak itu pun begitu sukar dicapai.

Justeru, seruan PAT kali ini memang berasas. Saban tahun, kita melihat jumlah penyertaan bukan Melayu dalam ATM agak mendukacitakan. Malah, dalam respon mereka terhadap seruan PAT ini, Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) juga menyokong penuh sebarang usaha untuk merekrut lebih ramai anggota tentera daripada kalangan bukan Melayu. Usaha untuk menarik minat etnik minoriti dalam perkhidmatan ketenteraan ini tidaklah terhad dalam konteks kerjaya semata-mata, malah proses merekrut ini sudah digembleng kerajaan bagi memastikan rakyat bukan Melayu turut diberikan peluang yang sama dalam kemasukan ke Maktab Tentera DiRaja (MTD) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

Membedah Punca Masalah

Justeru, ianya agak menghairankan mengapa sambutan untuk menyertai pasukan tentera agak kurang memberansangkan. Apakah di sana ada faktor latihan yang keras yang nampaknya menjadi pertimbangan ramai orang bukan Melayu yang menolak dan enggan menyertai ATM? Ataukah di sana adanya faktor gaji yang rendah yang mempengaruhi kurangnya penyertaan mereka? Dalam keadaan ekonomi yang mendesak untuk sebahagian rakyat, tidak dinafikan gaji yang rendah sememangnya tidak akan membantu mana-mana individu untuk menampung kehidupan keluarga dan pendidikan anak-anak terutamanya. Tetapi hakikatnya, gaji anggota tentera di Malaysia sebenarnya bukanlah terlalu rendah kerana skim gaji perkhidmatan itu sudah pun ditambah baik oleh kerajaan.

Pihak-pihak yang berkenaan, kerajaan tentunya, mungkin boleh mengkaji situasi ini – mengapa kaum bukan Melayu tidak begitu berminat untuk menyertai pasukan tentera? Apakah ianya juga ada kaitan dengan beberapa isu yang pernah dibangkitkan sebelum ini seperti diskriminasi kaum dalam soal kenaikan pangkat? Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan ATM sendiri perlulah ke hadapan bagi menepis dakwaan-dakwaan sebegini kerana pada hakikatnya ianya hanyalah satu perspektif sebahagian orang yang tidak dibuktikan. Secara logiknya, faktor kurangnya kaum Melayu dalam ATM tentulah secara langsung turut memberikan kesan kepada peluang mereka dalam soal kenaikan pangkat.

Faktor Kaum Dan Semangat Patriotisme

Kurangnya penyertaan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam khususnya ATM sendiri mungkin juga sebenarnya berpunca daripada banyak perkara lain. Dewasa ini kita melihat percampuran sosial antara orang Melayu dengan bukan Melayu begitu kurang dan jarang. Kita bukan sahaja bercakap tentang situasi di tempat kerja, malah keadaan yang serupa dapat kita perhatikan di institusi pendidikan samada di universiti, kolej mahupun di sekolah-sekolah kebangsaan terutamanya.

Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa hakikat kaum bukan Melayu khususnya orang Cina tidak berminat menyertai ATM membuktikan mereka adalah rakyat yang tidak patriotik. Namun pandangan tersebut tidaklah boleh dijadikan asas untuk “memukul rata”. Bercakap tentang sikap patriotik, kita juga perlu mengakui bahawa di sana bilangan orang Melayu yang tidak patriotik juga “bersepah”. Memburukkan negara sendiri di mata orang asing juga merupakan satu bentuk pengkhianatan yang ternyata menyanggahi nilai patriotisme dalam diri setiap individu yang bergelar rakyat.

Budaya Tentera Membentuk Jati Diri

Tetapi dalam masa yang sama kita juga wajar membenarkan bahawa penyertaan ke dalam pasukan ATM tentunya akan membangkitkan dan menyuburkan lagi sikap patriotik dan rasa cinta kepada negara. Ianya sudah pasti membantu membentuk jati diri dan tahap disiplin yang tinggi dalam diri seseorang. Kita hendak sekali melihat penyertaan dan keanggotaan ATM ini terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia. Kita juga mahu apabila anak-anak kita ditanya mengena cita-cita mereka kelak, jawapan mereka tidaklah terhad kepada doktor, jurutera, juruterbang, arkitek dan polis sahaja. Itu jawapan yang sudah biasa kita dengar. Kita betul-betul mahukan suatu hari nanti, menjadi seorang tentera adalah cita-cita yang popular dalam kalangan murid dan pelajar di bangku sekolah. Alangkah baiknya jika keanggotaan ATM kelak diwakili pelbagai kaum dan bangsa dengan meluas. Ia tentu sahaja menjadi satu manifestasi dan refleksi jelas kepada perjuangan para datuk dan nenek kita dahulu yang sama-sama berjuang tanpa mengira latar belakang kaum demi merealisasikan sebuah kemerdekaan.

Peranan Semua Pihak

Ada beberapa langkah yang boleh disemak dan diambil oleh semua pihak bagi menarik minat orang bukan Melayu untuk menyertai ATM. Pertamanya, keluarga dan pemimpin masyarakat bukan Melayu haruslah memainkan peranan ataupun setidak-tidaknya menyatakan sokongan kepada mana-mana individu dalam komuniti mereka yang berminat menyertai ATM. Keluarga dan masyarakat sekitar adalah ejen sosial yang paling efektif dalam mempengaruhi keputusan mana-mana individu. Orang Cina di Malaysia misalnya sangat terkenal dengan idea-idea yang kreatif dan inovatif. Orang India pula dikenali dengan sikap rajin dan gigih. Bayangkan kalau mereka juga membentuk peratusan yang besar dalam ATM, tentu sahaja ATM akan tampil lebih kuat dan mampan.

Begitulah juga dengan parti-parti politik, baik di pihak kerajaan mahupun pembangkang, yang perlu secara agresif dan proaktif menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan mempertahanan negara melalui keanggotaan dalam ATM. Seperti mana mereka bersemangat menyebarkan dakyah-dakyah politik mereka, seperti itu jugalah mereka perlu bertindak dalam meyakinkan rakyat mengenai perkara ini. Di pihak kerajaan pula, program Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah dilaksanakan lebih sedekad usah dibiarkan berkesudahan dengan hasil yang tidak seberapa. Program itu perlu dimanfaatkan sebaik mungkin bagi menanam minat dalam kalangan peserta bukan Melayu khususnya untuk menyertai pasukan tentera yang tentulah mempunyai pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang tidak dinikmati dalam kerjaya-kerjaya lain.

Akhirnya, keluhan orang ramai dan bukan Melayu mengenai terhadnya peluang pembangunan kerjaya dalam ATM perlu juga diperhalusi oleh MINDEF dan ATM. Sesetengah dasar sedia ada mengenai pelbagai perkara mungkin boleh disemak semula bagi menjamin peluang yang lebih terbuka kepada etnik-etnik minoriti berhubung keanggotaan mereka dalam ATM. Jika perkara ini tidak diteliti, tentu sahaja minat dalam kalangan mereka untuk menyertai pasukan barisan hadapan negara itu tidak akan pernah bercambah kembali.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here