DALAM tumpuan media banyak tertumpu kepada perjalanan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 sepanjang minggu ini, kelibat dan komentar yang diperlihatkan beberapa figura dan individu terhadap isu-isu semasa dan kepimpinan negara sedikit sebanyak telah mencuri tumpuan rakyat.

Yang dimaksudkan di sini ialah bagaimana sebuah tweet dan keluhan daripada penyanyi tersohor tanahair, Datuk Sheila Majid, mengenai isu kenaikan kos sara hidup dirinya dan rakyat telah mengheret perbincangan dan perdebatan yang agak ‘hangat’ daripada rakyat dan pemimpin di pelbagai peringkat. Malah, respon masyarakat – termasuklah rakan-rakan artis dan pemimpin politik – terhadap keluhan Sheila juga dilihat berbeza-beza, ada yang menyokong dan tidak kurang yang mengecam. Pegawai khas isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor iaitu Datuk Rizal Mansor umpamanya menggesa Sheila agar tidak menjadi alat pembangkang.

Keadaan itu ‘dipanaskan’ lagi oleh komentar yang kemudiannya menyusul daripada seorang lagi selebriti pelakon Fathia Latiff yang memang tidak pernah menyembunyikan sokongannya kepada bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bezanya, komentar oleh Fathia pada kali ini mengundang kritikan dan respon terus daripada ‘rakan’ artis, Khaihirah @ Dira Abu Zahar. Anak bekas ketua menteri Melaka itu mengecam Fathia dalam ucapannya sewaktu persidangan Pergerakan Puteri UMNO berlangsung Rabu lalu.

Henti Sikap Double Standard

Di sinilah silapnya UMNO dan sesetengah figura politik yang merasakan betapa rakyat tidak boleh diberikan peluang untuk mengkritik dan menegur kerajaan. Menggesa Sheila agar tidak menjadi alat pembangkang khususnya telah menghantar mesej yang salah – sesuatu yang nampaknya telah dilakukan secara berulang-ulang kali -, dan UMNO perlu belajar untuk memperbetulkan kesilapan seperti itu.

Artis, biar siapa pun dia dan selagi mana dia tidak memegang apa-apa jawatan politik, perlulah dianggap seperti seorang rakyat biasa seperti orang lain juga. Maka selayaknya, seperti orang lain, artis turut mempunyai hak untuk mengeluarkan keluhan mereka mengenai mana-mana isu yang dekat di hati mereka. Tidakkah hak bersuara untuk mereka dijamin Perlembagaan? Komen balas ‘keras’ oleh Rizal dan pemimpin politik yang lain terhadap Sheila tidak sepatutnya berlaku. Jika Sheila dikatakan alat pembangkang, apakah UMNO bersetuju untuk melabelkan selebriti tanahair yang pro-kerajaan sebagai alat UMNO juga? Jika UMNO mengambil sikap seperti ini, maka apalah bezanya parti Melayu itu dengan parti-parti dalam pakatan pembangkang?

Sindrom Penafian Boleh Memakan Diri

Tambahan pula, apa yang diluahkan Sheila itu bukan cerita kosong. Ya, di sana memang ada kelompok rakyat yang tidak begitu terbeban dengan keadaan ekonomi sekarang. Barangkali mereka mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik. Maka kenaikan harga barang tidak begitu menjejaskan kehidupan mereka. Namun perlu diingat, golongan kelas pertengahan membentuk peratusan terbesar populasi Malaysia. Secara tidak langsung, Sheila sebenarnya turut meluahkan apa yang dirasai penduduk yang bukan sahaja daripada kelas sosial ini, malah ianya turut mewakili sentimen rakyat di kelas bawah.

Maka, apakah sesetengah pemimpin politik hari ini berani menafikan hakikat bahawa di sana begitu ramai rakyat yang terkesan dengan kenaikan kos sara hidup? Sampai bila UMNO dan kerajaan mahu hidup dalam penafian seperti ini? Jangankan rakyat biasa, ramai ahli-ahli UMNO yang hadir pada PAU 2017 pun tentunya dapat merasai sendiri rasa ‘sakit’ akibat terkesan dan terhimpit oleh isu yang dibangkitkan Sheila. UMNO jangan sesekali mengambil dan memandang ringan keluhan rakyat, biar siapa pun mereka. Pada akhirnya, UMNO juga yang akan sengsara jika rintihan rakyat seperti Sheila bertukar menjadi bom jangka kepada parti itu.

Keterbukaan Terhadap Perbezaan Pandangan

Oleh itu, UMNO dan kerajaan harus faham bahawa seperti mana pemimpin, rakyat yang dibawah ini juga mempunyai pendapat masing-masing mengenai isu-isu politik dan pengurusan hal ehwal negara walaupun mereka mungkin tidak menyebelahi mana-mana parti. Ini bertepatan dengan kata-kata sarjana dan ahli falsafah agung Aristotle yang menyifatkan manusia sebagai “political animal.” Pendirian seseorang itu mengenai isu-isu berkait pemerintahan dan pengurusan tidak boleh dipaksakan. Maka atas sebab itulah, kerajaan perlu lebih terbuka menerima teguran rakyat biar siapa pun mereka. Mereka bukan pimpinan politik pembangkang dan tidak pula menyerang kepimpinan negara secara peribadi. Jadi apa perlunya menghentam indidvidu-individu seperti ini? Di manakah letaknya rasional pemimpin-pemimpin politik ini yang katanya “berjiwa rakyat”?

Seperti mana UMNO bersifat terbuka, mendepakan tangan dalam mengalu-alukan sokongan yang diberikan sesetengah selebriti seperti Mat Over, Azwan Ali dan Dira sendiri, maka parti itu juga perlu mengambil pendekatan serupa dalam mendepani kritikan dan teguran selebriti yang lain. UMNO dan kerajaan yang ada pada hari ini tidak boleh melihat sesetengah selebriti itu sebagai ‘musuh politik’ kerana pada hakikatnya mereka hanyalah rakyat biasa – yang sebahagiannya turut terkesan dengan beberapa perkara berbangkit khususnya dalam isu kenaikan kos sara hidup.

Kepimpinan Melalui Teladan

Dinamik politik yang ada pada hari ini sudah tidak seperti dahulu lagi. Arus perubahan dan kemajuan teknologi semasa menjadikan kecenderungan dan sentimen politik rakyat tidak lagi hanya berlegar di sekitar kesetiaan kepada parti. Hakikatnya, sentimen itu banyak diciptakan melalui pengalaman mereka dalam berdepan dengan pelbagai isu dan masalah dalam kehidupan sehari-hari. UMNO dan kerajaan perlu belajar memahami hakikat politik baharu ini. Maka, pendekatan yang lebih bijak buat UMNO dalam berdepan keluhan dan kritikan rakyat adalah dengan mengakui sendiri hak rakyat seperti Sheila untuk bersuara, dan memberikan jaminan kepada pihak-pihak yang berkongsi sentimen seperti itu bahawa kerajaan sedang melakukan yang terbaik dalam menyelesaikan isu-isu berbangkit.

Bukankah itu sikap yang lebih demokratik? Tidakkah ianya pendekatan ideal yang ditunjukkan sebuah kepimpinan teladan? Sikap yang lebih terbuka terhadap teguran dan kritikan rakyat sama sekali tidak akan membuatkan UMNO dan kerajaan rugi, bahkan parti itu akan dilihat lebih ke hadapan dan bersedia mendepani cabaran politik baharu. Dalam hal ini, UMNO dan kerajaan tidak wajar sama sekali menunjukkan pendekatan “hostile” mereka terhadap mana-mana individu mahupun rakyat yang tidak mewakili simbol politik mana-mana parti. Sikap sedemikian hanya akan menjarakkan lagi hubungan mereka dengan rakyat dan terus memberikan persepsi bahawa parti Melayu itu tidak bersedia mendekati rakyat dengan lebih demokratik.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here