DALAM tempoh masa yang tidak sampai seminggu, semalam Nigeria dikejutkan lagi dengan serangan pengebom berani mati, memburukkan lagi keadaan yang semakin huru-hara di Afrika. Dalam serangan pengganas dan pengebom berani mati yang disasarkan ke atas jemaah solat Subuh di sebuah masjid di Mubi, Adamawa semalam, kira-kira lebih 50 orang telah terbunuh sementara ramai yang lainnya cedera.

Setakat ini tiada pihak yang tampil bertanggungjawab dalam serangan tersebut. Tetapi untuk membuat telahan mengenai dalangnya tidaklah sukar. Boko Haram sudah sekian lama menjadi kumpulan pengganas yang paling aktif dan berpengaruh khususnya di Nigeria melalui serangan-serangan ganasnya. Bahkan, kumpulan ini turut giat menculik ramai kanak-kanak dalam apa yang dipanggil sebagai proses merekrut dan melahirkan pengganas dan penyerang-penyerang muda.

Realiti Radikalisasi Pada Hari Ini

Tragedi yang berlaku di Nigeria semalam memberitahu kita bahawa elemen-elemen ekstremisme kini sudah merebak dan melata dengan begitu luas, menyaksikan kumpulan-kumpulan pengganas atas pelbagai nama mula meresapi negara-negara tertentu di seluruh pelusuk dunia. Jika Islamic State (IS) kekal mendominasi pembawaan ideologi itu di Timur Tengah, Boko Haram dan Al-Shabab pula menjadi entiti dan elemen seumpamanya yang bertanggungjawab menimbulkan keresahan dan ketegangan di Afrika, menyaksikan ribuan penduduk melarikan diri dan menjadi pelarian di negara-negara rantau.

Begitulah juga di Asia, khususnya rantau Asia Tenggara ini di mana beberapa kumpulan seperti Jemaah Islamiyyah (JI) dan Katibah Nusantara sudahpun muncul menyatakan kesetiaan mereka kepada sistem khilafah yang dicita-citakan IS. Justeru kita melihat bagaimana insiden kepungan dan tawanan oleh kumpulan pengganas selama berbulan-bulan di Marawi, Filiipina baru-baru ini mencerminkan bahawa rantau yang dulunya begitu aman juga tidak terlepas daripada ancaman-ancaman sebegini. Tambahan pula, sistem “leaderless network” yang ada dalam rangkaian pengganas hari ini memberikan cabaran baharu kepada pasukan-pasukan keselamatan di seluruh dunia untuk mengesan dan mengambil tindakan pre-emptive terhadap sebarang ancaman keselamatan yang wujud.

Malaysia dan Rekod Yang Memberansangkan

Mendepani realiti baharu ini, Malaysia disifatkan sebagai antara negara yang terkehadapan dalam inisiatif dan tindakan yang diambil. Melihat kepada kekerapan dan keseriusan ancaman pengganas pada hari ini, Malaysia boleh berbangga dengan sistem dan langkah-langkah anti-keganasan yang dilaksanakannya. Hapusnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum ini tidak bermakna negara dan kerajaan mengabaikan faktor ancaman keselamatan baik dari dalam mahupun luar negara. Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 ataupun SOSMA yang diperkenalkan setelah itu terbukti menjadi satu mekanisme penting yang berkesan dalam usaha negara membendung ancaman dan kegiatan pengganas di negara ini.

Kecekapan pasukan keselamatan negara juga menjadi faktor penting apabila bercakap mengenai pencapaian yang memberansangkan ini. Kita melihat insiden-insiden yang melibatkan serangan pengganas di Malaysia amat terpencil walaupun di sana kita mengakui bahawa sememangnya sudah terdapat banyak tangkapan dan tahanan yang dibuat ke atas ramai individu yang disyaki terlibat dan terpengaruh dengan agenda pengganas. Ternyata pasukan keselamatan negara telah memberikan satu penanda aras yang tinggi dalam usaha anti-keganasan, bertitik tolak daripada insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013 yang lalu.

Pencapaian yang baik ini walau bagaimanapun tidak akan berguna sekiranya ia hadir hanya semata-mata untuk dibanggakan tanpa sebarang usaha konkrit yang menyusul. Justeru, inisiatif kerajaan dalam menyediakan tapak bagi pembinaan dan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang dibiayai sepenuhnya kerajaan Arab Saudi menjadi satu lagi manifestasi komitmen Putrajaya ke arah usaha tersebut. Bantuan dan sumbangan kerajaan ke arah penubuhan Pusat Keamanan Sejagat dan Anti-Keganasan ASEAN juga dilihat sebagai satu langkah terkehadapan dalam kajian kritikal dan akademik yang berkaitan dengan pencegahan keganasan di peringkat global.

Mendepani Cabaran Masa Hadapan

Yang pasti, kewujudan institusi-institusi sebegini sememangnya wajar dilihat sebagai satu pengiktirafan kepada kerajaan Malaysia yang nampaknya telah menunjukkan teladan dan contoh terbaik dalam mendepani ancaman pengganas. Dengan sejarahnya yang panjang, Malaysia sememangnya dikenali sebagai sebuah negara yang berpengalaman dalam menangani dan mengendalikan ancaman radikalisasi, pengganas serta komunis sebelum ini. Konsep Wasatiyyah selain Gerakan Kesederhanaan Global (Global Movement of Moderates – GMM) yang dicetuskan ideanya oleh YAB Perdana Menteri pula tampak menjadi tunjang dan pemangkin yang berkesan terhadap usaha berterusan ini.

Memandang ke hadapan, usaha pembanterasan elemen pengganas ini boleh dirancak dan digiatkan lagi melalui sistem pendidikan yang berkesan. Data empirikal yang menunjukkan bahawa kurangnya pendidikan agama yang kukuh selain tiada pendedahan kepada ilmu-ilmu sosial dan kemanusiaan menjadi faktor penyumbang terbesar kepada keterlibatan dalam gerakan pengganas tidak seharusnya dipandang ringan. Oleh yang demikian, dalam kerajaan memperkasakan pasukan keselamatan dan institusi-institusi lain di peringkat tinggi, sistem pendidikan negara baik di peringkat sekolah mahupun di peringkat institusi pengajian tinggi haruslah dilihat dan dikaji dari semasa ke semasa supaya rakyat khususnya belia di setiap peringkat memahami bahaya radikalisasi dan ekstremisme yang sedang meresapi dunia pada hari ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here