APABILA bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad memutuskan untuk mengembalikan semula pingat dan darjah kebesaran yang pernah diterimanya kepada Istana Selangor, ramai juga rakyat yang memuji tindakannya itu sewaktu beberapa individu lain masih mencari-cari jalan untuk mendapatkan darjah kebesaran daripada pihak Istana di seluruh negara. Namun tidak kurang juga yang mengecam tindakan Mahathir dalam hal ini.

Mahathir sebelum ini menerima Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) kelas pertama pada 22 Jun 1978 dan ia hanya dianugerahkan kepada dua individu pada satu-satu masa. Beliau juga menerima Darjah Yang Amat Dihormati Kelas Pertama (DK) sebulan sebelum bersara sebagai perdana menteri pada Oktober 2003.

Dalam satu isu lain yang berkaitan, tindakan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang membuat kritikan terbuka terhadap Sultan Selangor juga telah mengundang reaksi segera daripada rakyat. ‘Teguran’ terhadap Sultan Selangor itu dilihat telah melampaui batas dalam konteks hubungan seorang rakyat dengan pemimpinnya, apatah lagi seorang Sultan!

Kebebasan Bersuara Ada Batasnya

Tindakan Mahathir dalam memulangkan pingat dan darjah kebesarannya itu dibuat sebagai mengakui keadaan dirinya yang ‘tidak layak’ untuk terus memakai gelaran-gelaran tersebut, terutamanya setelah dirinya dikritik oleh Sultan Selangor sebagai mempunyai masalah “inferiority complex” sewaktu Baginda Tuanku ditemu bual secara eksklusif oleh akhbar arus perdana, The Star baru-baru ini. Keadaan itu tentunya bertitik tolak daripada isu Bugis yang dimulakan dan dimainkan sendiri oleh Mahathir pada awal Oktober yang lalu selain sikap Mahathir sendiri yang seolah-olah tidak boleh melihat pemimpin lain lebih berjaya daripada dirinya.

Bagi Zaid pula, keceluparannya terhadap institusi diraja mengundang padah apabila terdapat beberapa laporan polis yang telah pun dibuat oleh beberapa pihak terhadapnya. Malah, ancaman keselamatan yang dirisaukan Zaid ke atas diri dan keluarganya juga sepatutnya membuatkan bekas menteri itu sedar bahawa tindakannya selama ini telah melampaui batas. Bukanlah kita hendak menyokong pihak yang mengeluarkan ancaman keselamatan tersebut, tetapi Zaid perlu sedar betapa di negara ini orang Melayu masih dan terus kekal kuat berpaut pada institusi diraja dan Sultan sendiri sebagai pemerintah tertinggi.

Kalaulah Zaid tahu dan sedar sejak awal-awal lagi, mungkin ancaman sebegitu tidak akan timbul. Tapi setidak-tidaknya, apa yang dirisaukan beliau ada hikmahnya. Sekurang-kurangnya kini Zaid faham bahawa kebebasan bersuara di negara ini tidaklah datang tanpa had dan di sana perlunya ada garisan jelas yang tidak boleh dipijak, apatah lagi dilangkah sama sekali.

Di Mana Rasa Hormat Terhadap Institusi Diraja?

Apa pun, isu pemulangan pingat oleh Mahathir dan ‘teguran’ terbuka oleh Zaid ini membangkitkan persoalan dalam kalangan rakyat mengenai kurangnya rasa hormat sesetengah pihak terhadap institusi diraja di negara ini. Semakin lama petanda itu semakin jelas. Benar, Mahathir punya hak untuk memulangkan semula pingat dan darjah kebesarannya jika beliau merasakan tidak lagi layak memakai gelaran itu. Tetapi tindakannya memulangkan semula pingat dan itu sewaktu pihak Istana tidak pun melucutkan kesemua gelaran tersebut dilihat sedikit sebanyak mencerminkan sisi yang tidak baik pada Mahathir. Bagi sesetengah pihak, tindakan seperti itu dilihat agak ‘biadap’ dan mencabar pihak Istana.

Begitulah juga halnya dengan kritikan Zaid terhadap Sultan. Sebagai seorang bekas menteri yang arif mengenai perihal undang-undang, Zaid sepatutnya lebih bijak dan berhati-hati dalam sebarang tindak-tanduk dan kenyataannya terhadap pihak Istana dan institusi diraja. Ianya bukan lagi rahsia bahawa sejak kebelakangan ini, Zaid memang telah banyak mengeluarkan kenyataan kontroversi samada yang berkaitan dengan institusi diraja mahupun institusi Melayu dan Islam sehinggakan beliau dititahkan Sultan Selangor untuk keluar daripada negeri itu dan balik ke negeri asalnya, Kelantan.

Kita tidak menafikan bahawa dengan perubahan zaman, perkembangan teknologi dan derasnya arus globalisasi telah memberikan pelbagai cabaran bentuk baharu terhadap keluhuran undang-undang, pelbagai nilai dan adat yang telah kita pegang secara tradisi. Cabaran yang dihadirkan ini turut memberi kesan kepada institusi pemerintahan negara termasuklah pihak-pihak Istana apabila ianya begitu mempengaruhi sikap rakyat dalam hubungan mereka dengan pemimpin.

Sistem politik dan ekonomi yang lebih terbuka pada hari ini nampaknya sudah meresap masuk dalam kehidupan masyarakat di Malaysia khususnya apabila mereka tidak lagi melihat kuasa pemimpin tertinggi mereka sebagai ‘mutlak’. Pendek kata, istilah pemimpin, raja mahupun sultan betul dan perlu dituruti dalam semua perkara seolah-olahnya sudah tidak terpakai lagi. Walau bagaimanapun, institusi diraja di negara ini bukanlah semata-mata mengenai simbolik pemerintahan, namun lebih penting ianya adalah benteng terakhir orang Melayu dan Islam dalam survival politik dan ekonomi mereka di Malaysia. Maka sayugianyalah institusi diraja perlu terus dipelihara dan kedaulatan raja dan sultan pula kekal dipertahankan.

Bahaya Pemikiran Zaid

Akhirnya, kalaupun bukan Mahathir, kenyataan-kenyataan Zaid sejak akhir-akhir ini wajar membuatkan kita cemas. Kita tidak pasti apa sebenarnya yang telah meresap masuk dalam pemikiran dan batang tubuh ahli DAP itu sehinggakan komentar-komentar yang diberikan beliau dalam banyak isu berbangkit begitu mengganggu-gugat konsep kesucian Islam dan ketuanan Melayu di negara ini. Masakan beliau tidak tahu bahawa raja dan sultan merupakan tiang-tiang utama negara dan orang Melayu sendiri. Atas kejahilan yang direka seperti itu, maka tidak hairanlah beliau begitu cepat datang ‘menyelamatkan’ Mahathir dalam krisis antara bekas perdana menteri itu dengan pihak Istana.

Terkini, kita diberitakan bahawa DAP sedang mengintai peluang untuk mengangkat Zaid sebagai menteri besar Selangor yang baharu sekiranya Pakatan Harapan (PH) kekal mengusai negeri itu pasca pilihan raya umum (PRU) kelak. Samada berita itu benar atau tidak, ianya belum dapat dipastikan. Tetapi tetaplah kita mengharapkan bahawa bukan sahaja beliau, malah individu-individu lain sepertinya juga tidak akan diberikan peluang dan disokong sama sekali oleh rakyat khususnya orang Melayu pada PRU nanti kerana kita sudah kenal benar dan tahu Zaid ini seperti apa orangnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here