FITNAH ekonomi adalah perkara serius kerana kesannya amat berat dan boleh menyebabkan keselamatan ekonomi negara tergugat.

Media proksi pembangkang meneruskan kempen mensabotaj ekonomi negara dengan menyebarkan pembohongan menggunakan laporan terbaharu Bank Dunia mengenai Asia Timur.

Semua ini dipercayai dilakukan bagi kepentingan politik mereka sekali gus mahu menjejaskan ekonomi kebajikan rakyat.

Jika dilihat, banyak laporan yang dilaporkan media proksi pembangkang tidak menyeluruh dan tanpa segan silu hanya menyebarkan penipuan berhubung hal berkaitan Malaysia.

Penipuan media proksi pembangkang itu bermula dengan penyiaran berita kononnya daripada 15 ekonomi Asia yang dianalisis dalam laporan itu, Malaysia serta beberapa negara Asia lain diunjur menjadi lebih buruk.

Mana-mana negara sekali pun tidak mahu ekonomi negara menjadi lebih buruk dan semua pastinya akan melakukan yang terbaik bagi meningkatkannya.

Hanya golongan tidak mempedulikan negaranya yang berharap ekonomi hancur supaya dapat meraih kepentingan politik murahan.

Jadi, berita palsu media proksi pembangkang itu tidak seiring langsung dengan apa yang diperakui institusi global mengenai Malaysia.

Pembangkang sebenarnya tahu kerajaan mempunyai pelan ekonomi dan perancangan itu akan terus dilaksanakan demi manfaat semua rakyat Malaysia.

Laporan mutakhir Bank Dunia dengan jelas menyebut ekonomi Malaysia diramal tumbuh lebih pantas, mencerminkan peningkatan keyakinan, lebih banyak pelaburan dan pemulihan dalam dagangan dunia, tetapi hairan mengapa kenyataan Bank Dunia itu tidak pula dilaporkan oleh media kawalan pembangkang terbabit.

Selain itu, Laporan Bank Dunia turut menyebut ‘beberapa kerajaan berjaya mengurangkan defisit fiskal pada 2017 khususnya Mongolia dan Malaysia, namun defisit kekal tinggi atau di landasan untuk terus meningkat bagi kebanyakan negara’.

Pastinya, ia adalah hasil daripada langkah kerajaan mengambil beberapa keputusan sukar dan tidak popular demi kepentingan rakyat.

Laporan terbaru Bank Dunia turut menyebut pertumbuhan dalam perbelanjaan penggunaan persendirian dan peningkatan eksport komoditi utama serta pembuatan menyumbang kepada kepantasan pertumbuhan Malaysia.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tumbuh pada kadar 5.6 peratus dalam suku pertama 2017 dan 5.8 peratus pada suku kedua.

Ia prestasi terbaik sejak suku pertama 2015. Persoalannya adakah ini mencerminkan ekonomi semakin merudum seperti mana dicanang oleh media proksi pembangkang bukan?

Laporan mutakhir Bank Dunia turut menyatakan bahawa Malaysia mengubahsuai bajetnya ketika harga minyak dunia menjunam pada 2016 dan langkah itu berjaya mengembalikan program penyatuan fiskalnya kembali ke landasan betul.

Turut disebut dalam laporan itu, jumlah kemasukan Pelaburan Langsung Asing (FDI) terus rancak di Malaysia dan angka kemiskinan tegar di Malaysia adalah amat sedikit sekali.

Adalah tidak wajar apabila pembangkang dan proksi media mereka cuba merendah-rendahkan keyakinan semua pihak terhadap Malaysia dengan membuat penipuan seperti itu.

Pembangkang menentang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), tetapi laporan Bank Dunia dengan jelas menggalakkan pelaksanaan cukai itu secara lebih meluas apabila menyatakan keutamaan di Malaysia wajar merangkumi peluasan asas cukai pendapatan peribadi dan mengurangkan pengecualian daripada cukai jualan am.

Kenapa perkara itu tidak pula disebut oleh media dikuasai pembangkang?

Rakyat perlu membaca laporan baharu Bank Dunia serta kesimpulan daripada laporan Bank Dunia tersebut menyebut;

1. Pertumbuhan KDNK di Malaysia berlaku pantas ketika separuh pertama 2017 kepada 5.7 peratus (perbandingan tahun ke tahun), disokong oleh permintaan domestik dan luaran yang kukuh. Hasilnya, ekonomi Malaysia diunjur berkembang dengan kadar 5.2 peratus pada 2017. Prospeknya kekal positif, sejajar keadaan ekonomi Malaysia terus menikmati pertumbuhan memberangsangkan yang merentasi pelbagai sektor secara meluas.

2. Ekonomi Malaysia dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan semasa pada 2018 dan 2019, walaupun pada kadar lebih sederhana di sebalik unjuran pertumbuhan penggunaan modal yang lebih rendah.

Ini adalah kesimpulan Bank Dunia dan sesiapa saja boleh membacanya di laman web rasminya yang bertajuk ‘Ekonomi Malaysia berkembang untuk menjadi lebih kukuh’.

Ini adalah pencapaian sebenar kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mereka yang menyebarkan pembohongan demi kepentingan politik sepatutnya berasa segan kerana memalukan negara dan rakyat Malaysia.

Persoalan sekarang, apa sebenarnya yang pihak pembangkang mahu dengan membuat fitnah begitu?

Adakah mereka mahu menjahanamkan negara supaya keadaan menjadi kucar-kacir dan mereka boleh merampas kuasa atau pun mereka mahu negara ini terus maju, makmur dan berjaya sekali gus menjadi antara negara yang terbaik di dunia demi kesejahteraan rakyat?

Sampai masanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara melihat undang-undang yang bo­leh dikenakan ke atas pengkhianat tersebut­ supaya tindakan men­­sabotaj ekonomi ne­­gara tidak lagi berlaku.

Ini kerana tindakan tidak bertanggungjawab mereka mempunyai implikasi yang sangat besar terhadap kemajuan serta pembangunan negara.

Bayangkan, berapa banyak peluang pekerjaan, latihan keusahawanan sama ada dalam industri kecil atau sederhana, industri perkhidmatan dan aktiviti ekonomi lain hasil daripada pelaburan tidak akan wujud jika pembangkang berjaya dalam agenda jahat mereka untuk mensabotaj ekonomi negara.

Tindakan segera perlu diambil, jangan biarkan perbuatan mensabotaj ekonomi negara berterusan berlaku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here