Media yang baik adalah media yang betul – betul menjalankan segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada mereka secara neutral dan bebas daripada sebarang tekanan dan pengaruh daripada mana – mana pihak. Tidak dapat dinafikan tugas media adalah penuh cabaran dan dugaan kerana perlu mengambil kira pendapat semua pihak sebelum sebarang cerita atau berita dikeluarkan.

Adalah mustahil untuk semua petugas media memenuhi citarasa rakyat Malaysia yang berjumlah lebih 32 juta orang. Setiap orang dalam negara kita mempunyai pendapat mereka masing – masing. Oleh yang demikian, adalah amat penting untuk setiap petugas media mempunyai atau memiliki segala ilmu yang mencukupi serta pengalaman yang banyak terhadap bidang yang diceburi mereka.

Pihak media harus tahu untuk menilai setiap cerita dan berita yang diterima terutamanya dari aspek kesahihan maklumat  yang diperolehi oleh mereka.  Pihak media harus ketahui, rakyat Malaysia secara keseluruhannnya amat bijak menilai sesuatu cerita atau berita. Rakyat Malaysia tahu sama ada sesuatu cerita atau berita itu adalah benar atau tidak kerana rakyat Malaysia kini telah didedahkan dengan pelbagai alat teknologi yang serba canggih untuk mendapatkan kesahihan sesuatu berita yang diperolehi mereka.

Apa yang dipaparkan dalam media kini akan sentiasa dinilai dan disiasat dengan teliti oleh orang ramai bagi mengetahui tahap kebenarannya. Justeru itu, bagi mengelakkan rakyat Malaysia menjadi muak, bosan serta marah dengan semua saluran media yang ada akibat daripada kegagalan pihak media untuk buat kerja secara neutral dan bebas, adalah penting untuk semua saluran media dalam negara kita mendukung segala bentuk falsafah professionalism kewartawanan serta mengulas sesuatu isu dengan penuh tanggungjawab dan amanah.

Sekiranya saranan ini tidak dilakukan, jangan terkejut sekiranya dimasa akan datang setiap rakyat Malaysia bertindak sebagai wartawan serta mencari maklumat untuk diri mereka sendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here