MELAKA: MCA menghormati hak untuk berhimpun bagi sesiapa sahaja di negara ini dengan syarat perhimpunan itu mesti mematuhi undang-undang dan tidak mencetuskan ketegangan kaum, kata Timbalan Presidennya, Datuk Dr Wee Ka Siong.

Wee yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, bimbang jika perhimpunan yang dirancang di Kuala Lumpur pada 16 September boleh menimbulkan ketegangan kaum dan menggugat keharmonian rakyat jika keperluan itu tidak dipenuhi.

“Kami bersetuju sepenuhnya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa sebarang perhimpunan harus mematuhi undang-undang dan tidak menimbulkan ketegangan kaum.

“MCA telah menjadi ejen perpaduan, kami mahu melihat keamanan, keharmonian kaum dan kita mesti mengekalkannya…jadi saya berharap tiada kejadian tidak diingini berlaku,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan jerayawara bagi Sekretariat Pembangunan Usahawan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Najib berkata UMNO tidak akan berkompromi mengenai soal keamanan dan ketenteraman, juga perhimpunan 16 September itu tidak harus digunakan sebagai platform untuk mencetuskan ketegangan kaum.

Wee berkata, perkara terbaik untuk dilakukan ialah membatalkan perhimpunan dan menggantikannya dengan program yang boleh memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here