Parti Tindakan Demokratik (DAP) boleh disifatkan sebagai parti pembangkang yang mempunyai pengaruh dan kekuatan untuk menguasai gabungan pembangkang. Dominasi DAP dapat pakatan pembangkang bukan semata-mata berteraskan kepada aspek kepimpinan, tetapi DAP dilihat menyerlah berbanding rakan-rakan lain dalam Pakatan Harapan (PH) dari sudut jumlah kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya umum. Peningkatan prestasi DAP ini sudah tentu dipengaruhi oleh pelbagai sentimen, tetapi sentimen terkuat sudah tentu peralihan sokongan pengundi Cina dan kelemahan ketara pada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang dipelopori kaum Cina.

Cita-cita DAP sudah tentunya tinggi dan mahu memenangi sebanyak mungkin kerusi dalam pilihan raya umum. Pada pilihan raya umum lepas, DAP berjaya mendapatkan 38 kerusi Parlimen dan jumlah ini dianggap tinggi dengan kebanyakan kawasan yang dimenangi DAP ialah kawasan majoriti pengundi kaum Cina. Walaupun DAP sering kali cuba melihatkan wajahnya sebagai parti pelbagai kaum, namun dominasi kaum Cina dalam parti berkenaan jelas kelihatan dan sukar untuk disangkal lagi.

Pada pilihan raya umum akan datang, DAP dijangka terus mahu merampas lebih banyak kerusi khasnya kerusi-kerusi yang kini dipegang MCA atau Gerakan seperti di Bentong, Labis dan Teluk Intan. Kerusi Bentong kini dipegang Presiden MCA yang juga Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai manakala kerusi Labis kini menjadi milik Naib Presiden MCA dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Chua Tee Yong.

Berdasarkan kepada keputusan pilihan raya umum ke-13, kerusi Bentong melihatkan Tiong Lai hanya mencapai kemenangan tipis dengan majoriti 379 undi menewaskan calon DAP ketika itu, Wong Tack. Ini jelas satu penolakan serius berbanding kemenangan besar beliau dengan majoriti 12,549 undi ketika pilihan raya umum pada tahun 2008. Manakala di Labis pula melihatkan Tee Yong hanya menang dengan kelebihan 353 undi mengalahkan calon DAP, S. Ramakrishnan.

Ini mungkin sebagai satu catatan sejarah, namun ini juga ialah peringatan penting untuk parti komponen BN khasnya MCA yang dijangka bakal bertembung di kebanyakan kerusi dengan parti DAP. Jika Tiong Lai, Tee Yong atau mana-mana pemimpin kanan MCA tewas dalam pilihan raya umum akan datang, ini merupakan petanda isyarat jelas bahawa MCA ditolak secara total. Ini jelas satu cabaran besar buat parti-parti komponen BN untuk menarik kembali undi masyarakat bukan Melayu khasnya kaum Cina dalam pilihan raya umum akan datang.

Namun, DAP juga tidak berada dalam keadaan selesa pada pilihan raya umum nanti. Ini kerana parti berkenaan berdepan perubahan suasana yang nyata berbanding keupayaan mereka pada dua pilihan raya sebelumnya. Antara perkara yang dijangka mempengaruhi pengundi terhadap DAP dan merupakan satu kelebihan besar buat MCA dan Gerakan ialah kemelut dalaman parti DAP yang melihatkan parti berkenaan terpaksa mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).

Di samping itu, isu rasuah yang kini dihadapi Setiausaha Agung parti berkenaan yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang boleh menjadi gunting dalam lipatan kepada DAP. Isu banjir dan kepayahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menguruskan bencana berkenaan wajar dilihat secara serius oleh Gerakan yang bercita-cita mahu merampas kembali negeri berkenaan. Ini semua ialah isu penting yang harus dinilai dengan baik bagi mengelakkan.

Selain itu, tanpa kehadiran Parti Islam SeMalaysia (PAS) di dalam gabungan pembangkang juga memberikan kesan besar terhadap DAP. Ini kerana PAS memainkan peranan penting dalam menarik sokongan Melayu/Islam terhadap DAP dalam dua pilihan raya umum sebelumnya. Pengganti PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) juga masih belum melihatkan keupayaan dan peranan signifikan yang pernah dimainkan PAS.

AMANAH dan BERSATU kedua-duanya kini sedang dalam dilema untuk mengukuhkan parti masing-masing yang kini masih belum stabil dan melihatkan banyak keretakan yang berlaku. Justeru DAP sebenarnya perlu bekerja keras untuk mendapatkan sokongan pengundi Melayu/Islam. Bantuan daripada AMANAH dan BERSATU masih belum dapat dirasai DAP dan ini jelas berbeza di mana UMNO mempunyai kekuatan yang sukar disangkal untuk disalurkan kepada MCA dan Gerakan bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Walaupun keadaannya sengit nanti, tetapi MCA dan Gerakan wajar menilai kekuatan masing-masing berasaskan kepada faktor semasa. Setiap isu yang melanda parti lawan khasnya DAP wajar diambil peluang secukupnya bagi memastikan DAP tidak berjaya meluaskan pengaruh dan merampas kembali kerusi-kerusi yang pernah hilang dahulu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here