MCA

MCA kini dalam peringkat akhir menyenaraikan calon yang akan mewakili parti itu dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata pihaknya turut melaksanakan kajian soal selidik awam sebelum senarai akhir calon diputuskan bagi memastikan mereka yang dipilih merupakan pilihan rakyat.

“Kita dalam peringkat akhir persediaan, semua bahagian dalam MCA digesa untuk bersiap sedia menghadapi PRU akan datang dan dari segi calon, kita buat soal selidik awam sebelum buat keputusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Kesenian ‘Blossom Arts Festival’ di Wisma MCA semalam.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan turut mengingatkan semua jentera parti untuk memberi kefahaman kepada orang ramai tentang agenda transformasi negara oleh kerajaan dan rakyat juga perlu sedar pembangkang terutamanya Pakatan Harapan tidak mempunyai masa depan, berbeza dengan Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, mengulas mengenai pesta kesenian tersebut, Liow berkata seramai kira-kira 30,000 pengunjung dijangka memeriahkan festival yang akan berlangsung selama sebulan bermula hari ini.

Festival kali ini yang bertemakan ‘Negaraku’ selaras dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-60 itu disertai 100 pertubuhan kebudayaan dan kesenian dari dalam negara dan tujuh dari luar negara.

Negara yang mengambil bahagian dalam festival kali kedua anjuran MCA itu ialah China, Jepun, India, Singapura, Taiwan, Thailand dan Indonesia.

– Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here