KUALA LUMPUR, 3 Sept – Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sedang melaksanakan Misi Khas Pemasaran (SMM) di Istanbul, Turki selama empat hari mulai hari ini untuk memperkenalkan barangan makanan Malaysia.

Misi itu diadakan sempena World Food Istanbul 2015, pameran pembungkusan dan makanan terbesar serta paling berjaya di Turki.

Pengarah Matrade di Istanbul, Idzham Ab. Hamid berkata ia merupakan penyertaan pertama perbadanan itu pada acara berkenaan, dengan 10 syarikat Malaysia mempamerkan barangan mereka.

“Misi pemasaran itu membuka peluang perdagangan yang baik serta mendedahkan syarikat kepada keperluan aliran dan eksport,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata syarikat Malaysia yang menyertai SMM itu termasuk pengeksport minuman, bahan ramuan makanan, perasa dan perwarna, barangan herba, konfeksi, makanan ringan dan buah-buahan.

Lebih daripada 120 pertemuan perniagaan dijadual berlangsung antara syarikat Malaysia dan pembeli Turki yang terdiri daripada pengimport, pengedar dan peruncit.

Idzham berkata syarikat Malaysia boleh mempertimbangkan Turki sebagai pintu masuk kepada pasaran Kesatuan Eropah (EU) memandangkan negara itu merupakan anggota Kesatuan Kastam EU.

Oleh itu, pengeksport Malaysia sewajarnya memanfaatkan keperluan yang semakin meningkat terhadap barangan halal di Turki.

Turki, mempunyai jumlah penduduk muda yang ramai, kuasa beli semakin meningkat di samping kemunculan rangkaian runcit antarabangsa moden yang meluas, terus menawarkan asas pengguna yang dinamik untuk pertumbuhan sektor makanan dan minuman, katanya.

Matrade menggalakkan pengekport Malaysia memanfaatkan sepenuhnya peluang yang ditawarkan di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Turki (MTFTA) dan faedah daripada akses utama untuk barangan mereka di Turki.

Pada 2014, dagangan keseluruhan Malaysia dan Turki berjumlah RM3.17 bilion.

Eksport Malaysia ke Turki sebanyak RM2.46 bilion, manakala import RM0.71 bilion.

Eksport makanan proses Malaysia ke Turki bagi tempoh Januari-Jun 2015 meningkat 59.2 peratus kepada RM30.5 juta berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Barangan makanan proses utama yang dieksport termasuk penyediaan makanan dan ramuan, marjerin dan lelemak serta koko dan penyediaan koko.

MTFTA yang berkuatkuasa pada 1 Ogos 2015 dijangka mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara.

Sumber: BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here