Strategis, Rafizi Ramli, politik

YAB Perdana Menteri semalam melalui laman Twitter rasminya telah memuat naik gambar papan tanda Stesen Transit Aliran Massa (MRT) Kajang dan meletakkan ayat “The real Kajang Move. Coming to you in seven days” (Langkah Kajang sebenar. Akan datang kepada anda dalam 7 hari). YAB Perdana Menteri jelas merujuk kepada satu peristiwa hitam yang melanda strategi politik pembangkang yang dilihat sebagai gagal.

Langkah Kajang dilihat sebagai satu strategi politik yang digerakkan oleh pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli untuk menyingkirkan Menteri Besar Selangor ke-14, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Strategi ini pada awalnya bertujuan untuk meletakkan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor, namun percubaan berkenaan gagal dan lantas mengheret Selangor berdepan krisis politik berpanjangan yang memakan masa sembilan bulan. Krisis ini turut memaksa pihak Istana Selangor untuk campur tangan dan akhirnya berjaya diselesaikan selepas Datuk Seri Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar negeri berkenaan yang ke-15.

Langkah berkenaan dimulakan dengan meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang, Lee Chin Cheh untuk meletak jawatan dan seterusnya PKR mencadangkan Anwar sebagai calon untuk bertanding bagi mewakili parti berkenaan. Namun disebabkan kes liwat yang dihadapinya, Anwar tidak dapat bertanding dan PKR memberi ruang kepada Presidennya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk bertanding.

Pelbagai isu berlaku selepas itu termasuk menjadikan Khalid Ibrahim sehingga menyebabkan beliau disingkirkan sebagai Menteri Besar dan dipecat daripada PKR. Sampai ke hari ini, masih ramai yang tidak memahami matlamat sebenar Langkah Kajang dan segala-galanya dianggap seperti satu permainan oleh PKR dan mengheret rakyat serta institusi beraja untuk turut sama terlibat dalam kemelut dalam parti berkenaan.

Rata-rata penganalisis politik dan ahli akademik menganggap langkah yang dicetuskan oleh Rafizi itu sebagai kegagalan tragis untuk pembangkang pada tahun 2014. Namun, Rafizi dilihat tidak mahu menyerah kalah dan menganggap langkah berkenaan telah memberikan kesan positif. Terbaru sebagai respons kepada Twitter yang ditulis oleh YAB Perdana Menteri, Rafizi dalam respons kepada media memaklumkan rakyat mendapat faedah daripada langkah berkenaan.

Apakah Rafizi berpandangan dengan Langkah Kajang, akhirnya stesen MRT dibina di Kajang? Atau adakah dengan Langkah Kajang harga barangan di pasar telah turun? Atau dengan Langkah Kajang kehidupan rakyat di Selangor dan khususnya di Kajang menjadi semakin mudah? Ini merupakan persoalan-persoalan yang bermain di minda kita apabila Rafizi tetap menegakkan pendirian songsangnya telah kejayaan Langkah Kajang.

Secara umumnya, Langkah Kajang hanya menyusahkan rakyat, institusi beraja dan keseluruhan sistem masyarakat. Kita dipaksa untuk melayan kerenah politik sebuah parti tidak matang yang hanya mahu menyingkirkan Menteri Besarnya demi memenuhi hasrat pemimpin tertinggi mereka. Akhirnya peruntukan Kerajaan yang sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan lebih murni digunakan untuk pilihan raya yang langsung tidak diperlukan.

Hari ini apabila Rafizi kembali menyatakan Langkah Kajang memberi manfaat kepada rakyat, maka kita wajar ketawa sepuas-puasnya kerana ternyata beliau masih tidak dapat menerima kenyataan tentang kegagalannya sebagai seorang strategis. Kita boleh namakan kisah ini sebagai Matinya (Intelek) Seorang Strategis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here