AMANAH Selangor mencadangkan beberapa nama pemimpin utama parti itu untuk bertanding di Selangor bagi menguatkan Pakatan Harapan (HARAPAN) di negeri berkenaan.

“Sukacita saya umumkan hari ini, bahawa AMANAH Selangor akan menurunkan nama-nama besar pimpinan nasional sebagai calon di parlimen dan DUN (dewan undangan negeri) Selangor.

“Dalam erti kata lain, AMANAH Selangor komited menawarkan yang terbaik melalui HARAPAN kepada rakyat Selangor bagi menjamin kesinambungan kerajaan HARAPAN Selangor dan kerajaan baru HARAPAN Putrajaya,” kata Izham.

Selain nama Mohamad, Naib Presiden Hasanuddin Mohd Yunus, Pengarah Komunikasi Khalid Samad, Pengarah Strategi Dr Dzulkefli Ahmad, Ketua Wanita AMANAH (AWAN) Nasional Dr Siti Mariah Mahmud dan Anggota Parlimen Sepang Hanipa Maidin juga disebut.

Selain itu, nama pimpinan AMANAH Selangor seperti Saari Sungib dan Hasnul Haharuddin turut dicadangkan sebagai calon parti itu di negeri tersebut.

Untuk rekod – kecuali Hasanuddin yang sebelum ini aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan – nama yang disebut Izham itu adalah bekas pemimpin PAS sama ada di peringkat negeri atau pusat.

Mohamad pula sebelum ini pernah menjadi anggota parlimen selama dua penggal di Kubang Kerian, Kelantan dan satu penggal di Kuala Kedah.

Bagaimanapun beliau kalah dalam percubaan selepas itu. Persempadanan semula kawasan pilihan raya disebut-sebut menyumbang kepada kekalahan Mohamad.

Sementara itu, semasa sidang media selepas perasmian berlangsung Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu berkata, ucapan Izham itu bersifat sebagai cadangan sahaja dan akan dibincangkan di peringkat parti dan HARAPAN.

“Bukan Selangor saja cadang, mungkin negeri lain juga membuat cadangan yang sama,” katanya.

Bagaimanapun, Izham yang turut serta dalam sidang media itu ketika ditanya mengenai cadangan tersebut berkata, pihaknya amat serius dengan cadangan itu.

“Saya sangat serius (dengan cadangan ini). Kalau tidak takkan saya mahu umumkan.

“Kawasan dan negeri berhak membuat cadangan. Sekarang ini kita berada di peringkat negeri untuk mencadangkan tiga nama. Jadi kami cadangkan beliau untuk bertanding di Selangor.

“Lagipun dia tinggal di negeri Selangor,” katanya yang menambah AMANAH mempunyai mekanisme tersendiri dalam menentukan calon.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here