UMNO Terengganu percaya masyarakat India di negeri itu akan terus memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN), sekali gus meneruskan kesinambungan pemerintah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Menteri Besar Terengganu, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata sokongan diberi masyarakat India terbukti apabila mereka memberi sokongan dalam pelbagai usaha yang dirangka kerajaan negeri untuk memajukan Terengganu.

Katanya, pada PRU-13, BN mendapat 90 peratus undian daripada masyarakat India Terengganu berikutan yakin tiada parti lain yang mampu membela nasib mereka.

“Saya percaya pada PRU lalu, 10 peratus masyarakat India yang tidak menyokong BN adalah disebabkan mereka terpedaya dengan dakyah dan hasutan daripada pihak pembangkang.

“Selepas mereka sedar tiada parti lain dapat membela nasib mereka, saya percaya masyarakat India di negeri ini sudah beralih dan akan memberi sokongan kepada BN,” katanya pada Majlis Penyerahan Dana Deepavali kepada 140 masyarakat India di Jabor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau Negeri, Ir Rosli Othman dan Pengerusi MIC Terengganu, Dr Dayal Krisnan.

Pada majlis itu, Ahmad Razif turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Jabor.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here