DALAM satu lagi siri tindakan dan langkah mengejut yang diambil, pakatan empat negara Arab yang diterajui Arab Saudi semalam melabel dan menuduh Kesatuan Ulama Muslim Sedunia (International Union of Muslim Scholars – IUMS) sebagai entiti yang berkait dengan aktiviti pengganas. Bersama-sama dengan Bahrain, Mesir dan UAE, Arab Saudi mendakwa kesatuan tersebut yang diasaskan pada 2004 oleh ulama terkenal berpengkalan di Qatar, Dr. Yusuf Al-Qardhawi, sebagai antara pertubuhan yang menaja keganasan.

Tuduhan yang dibuat ini mungkin dilihat hanya sebagai satu daripada pelbagai langkah besar yang lain yang telah diambil oleh pakatan negara-negara tersebut dalam hubungan mereka dengan Qatar. Namun, tidak dapat dinafikan langkah terbaru ini sangat mengejutkan bagi mereka yang sentiasa mengikuti dan memerhatikan perkembangan politik Malaysia. Ini kerana, IUMS merupakan sebuah pertubuhan yang dianggotai Presiden PAS Datuk Seri Haji Abdul Hadi Bin Awang. Lebih tepat, Hadi merupakan pemimpin nombor dua kesatuan tersebut dengan jawatan selaku Naib Ketua IUMS.

Permainan Politik Bin Salman

Keputusan pakatan negara Arab ini, khususnya Arab Saudi, dalam hal ini bukanlah perkara baharu meskipun ianya agak memeranjatkan. Sejak Muhammad Bin Salman diangkat menjadi Putera Raja negara itu, sekaligus mengetepikan pesaing-pesaing diraja yang lain, umat Islam seantero dunia melihat bagaimana kesatuan antara blok-blok Muslim semakin hari semakin goyah. Bermula dengan krisis diplomatik dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dimana Arab Saudi mempengaruhi negara-negara komponen yang lain memboikot Qatar sekitar Jun yang lalu sehinggalah kepada ‘pemulihan’ hubungan Arab Saudi-Israel yang berlaku pada hari ini, umat Islam menjadi semakin resah dan keliru dengan sikap “luar biasa” yang diambil Arab Saudi sejak kebelakangan ini.

Apatah lagi Arab Saudi sering dilihat sebagai pemimpin dunia Islam lantaran terletaknya Kaabah dan dua Tanah Haram di negara itu selain pengaruhnya yang kuat dalam Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). Nampaknya, memerangi keganasan adalah alasan paling “cliché” yang boleh digunakan oleh Arab Saudi setelah melihat pengaruhnya semakin terhakis di Timur Tengah. Atas alasan tersebut, Qatar ditindas semahunya apabila dikatakan memberi bantuan dan perlindungan kepada pertubuhan “pengganas” seperti Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir dan Hamas di Palestin. Inilah yang membingungkan dunia Islam lainnya kerana pada mereka, dua pertubuhan inilah yang sebenarnya sedang giat membela nasib umat yang tertindas, sekaligus memacu kebangkitan Islam di rantau itu.

Tentangan Terhadap Pengaruh Iran

Bagi umat Islam di Malaysia, kita tidak dapat menafikan hakikat bahawa IM adalah pertubuhan yang bertanggungjawab meransang kesedaran Islam di tanahair sejak sebelum Malaysia merdeka, dan pengaruhnya dapat kita lihat sehingga ke hari ini. Hamas pula dilihat sebagai satu-satunya harapan umat untuk membebaskan Palestin dan masjid suci Al-Aqsa daripada cengkaman Yahudi Zionis kerana pada hakikatnya pemimpin negara Arab dan OIC sendiri sudah tidak boleh diharap. Mereka lebih gemar bertelingkah sesama sendiri demi mengekalkan dan memelihara kestabilan rejim masing-masing daripada memikirkan penyelesaian terhadap isu-isu yang membelenggu dunia Islam.

Tatkala umat Islam terus keliru dengan langkah-langkah politik yang diambil Arab Saudi kebelakangan ini, mereka nampaknya terus dikerah untuk ‘memerah otak’ dalam menghadam dan memahami bagaimana sebuah negara penjaga dua masjid suci boleh berbaik dengan negara haram Israel biarpun hubungan tersebut tidak dipamerkan secara rasmi. Ianya bukan rahsia lagi bahawa Riyadh dan Tel Aviv sudah beberapa kali berkongsi maklumat perisikan mengenai Iran dan ancaman-ancaman lain. Malah, terdapat juga laporan bahawa Bin Salman sendiri pernah mengadakan lawatan sulit ke negara haram itu.

Tentunya hubungan ‘mesra’ ini cuba dirahsiakan daripada masyarakat Islam lainnya, barangkali berpunca daripada rasa ‘malu’ Arab Saudi ekoran pengkhianatan yang telah dilakukannya terhadap dunia Islam. Apa pun, alasan yang diberikan Riyadh dalam hal ini adalah tidak lain dan tidak bukan bagi menghapuskan ataupun setidak-tidaknya mengimbangi pengaruh dan permainan politik Iran di Timur Tengah. Justeru kita melihat bagaimana Yaman diserang, dikepung dan disekat sehingga lebih 10,000 penduduk yang tidak bersalah terbunuh dengan sebahagian jumlah kematian itu juga berpunca daripada ketiadaan akses kepada sumber makanan, air bersih dan perubatan. Terbaru, kita juga melihat bagaimana Perdana Menteri Lubnan Saad Hariri ditekan Arab Saudi untuk meletakkan jawatannya kerana pengaruh Hezbollah dan Syiah yang kuat dalam pentadbiran negara itu.

Pengkhianatan Terhadap Dunia Islam

Kesemuanya ini membuktikan percaturan politik merbahaya yang cuba dimainkan Arab Saudi di Timur Tengah. Dalam konteks hubungannya dengan Israel, Arab Saudi kini dipercayai sedang menekan Palestin untuk menerima apa sahaja cadangan Amerika Syarikat (AS) dalam isu penyelesaian dua negara (two state solution) antara Palestin dengan Israel. Menantu Presiden Donald Trump, Jared Kushner yang merangka penyelesaian itu adalah seorang yang berbangsa Yahudi dan berfahaman Zionis. Maka tidaklah sukar bagi kita untuk meneka apakah bentuk penyelesaian yang akan dibuat, dan pihak yang manakah pula yang akan menuai keuntungan hasil pelan damai yang dirangka tersebut.

Memandangkan Riyadh dan Tel Aviv berdepan musuh yang sama iaitu Tehran, tekanan yang diletakkan ke atas Palestin bakal membuktikan komitmen Arab Saudi terhadap Israel berhubung penentangan mereka terhadap negara majoriti Syiah tersebut. Tidak dinafikan, di mana-mana pun umat Islam Sunni sering bercakap mengenai bahaya ancaman Syiah, tetapi mereka tidak pernah meletakkan faktor tersebut mengatasi keprihatinan mereka terhadap isu dan kepentingan Palestin sebagai hak milik orang Islam.

Maka, dunia Islam wajar berasa bimbang dengan tindak-tanduk Arab Saudi mutakhir ini. Kenyataan Mufti Besar Arab Saudi, Sheikh Abdul Aziz Al-Sheikh, yang baru-baru ini menyelar Hamas sebagai sebuah pertubuhan pengganas sememangnya sangat janggal dan pelik. Kenyataan tersebut disambut dengan begitu baik oleh Israel dan kemudiannya disusuli pula dengan jemputan negara Yahudi itu ke atas Abdul Aziz untuk melawat Tel Aviv. Begitulah permainan politik songsang yang dicatur Arab Saudi. Demi survival politik rejimnya, maka ia sanggup menekan dan berbalah dengan saudara sendiri walaupun atas perbezaan yang sedikit.

Turki Tempat Bergantung Harap

Apa lagi yang boleh dikatakan. Daripada sebuah negara tempat umat Islam bergantung harap, hari ini Arab Saudi tampak berbeza sama sekali. Langkahnya berbaik dengan Israel ternyata satu perlanggaran secara terang-terangan terhadap konsensus umat Islam dan pengkhianatan besar terhadap perjuangan rakyat Palestin. Malang sekali buat Palestin, kerana permainan jelik Arab Saudi ini, mereka jelas tersepit. Jika Riyadh merasakan justifikasi langkahnya adalah bagi menyelamatkan dunia Islam daripada pengaruh Iran, maka ia juga perlu sedar bahawa tindakannya menekan saudara seagama khususnya di Qatar dan Palestin sebenarnya telah membenihkan perspektif yang lebih baik kepada Iran.

Atas faktor itu juga, umat Islam kini mula sedar dan melihat bahawa Arab Saudi sudah semakin hilang legitimasinya sebagai pemimpin dunia Islam. Peranannya yang sangat pasif dalam isu-isu umat yang berlaku di luar rantau itu ternyata mengesah dan membenarkan lagi hakikat tersebut. Dengan pemimpin-pemimpin Arab yang tampak seolah sudah menjadi boneka Barat, umat Islam kini mula mengalih perhatian mereka kepada Turki, sebuah negara yang sedang meningkat naik dari segi ekonomi dan kuasa ketenteraannya. Keprihatinan yang ditunjukkan pemimpin utamanya, Recep Tayyep Erdogan, terhadap isu umat Islam di seluruh dunia terutamanya dalam isu pelarian perang dan nasib umat Islam Rohingya kini menjadikan Turki sebagai sebuah kuasa baharu tempat umat Islam bergantung harap.

Tidak hairanlah mengapa Arab Saudi beria benar menuntut Qatar ‘mengusir’ tentera Turki keluar daripada negara itu sebagai salah satu syarat jika Qatar mahu memperbaiki hubungan mereka dengan negara-negara GCC yang lain. Jelas dan terang, negara itu hanya mementingkan pengaruh rejimnya sahaja, maka alasan memerangi keganasan digunakan bagi menjatuhkan apa jua elemen yang dilihat mencabar status quo sedia ada di Timur Tengah. Untuk beberapa ketika, Riyadh mungkin akan melihat kuasanya semakin mendominasi geopolitik rantau tersebut. Namun untuk jangka masa panjang, negara itu tentunya akan kehilangan kepercayaan dunia Islam yang secara majoritinya menolak sebarang bentuk pemulihan hubungan dengan Israel dan penundukan buta terhadap telunjuk Barat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here