Mohd Arif Abdul Latif, pemain perseorangan negara mengakui beliau jauh tertinggal ke belakang dalam arena badminton jika dibandingkan dengan beberapa pemain lain terutama pemain China, Chen Long.

Kalau nama Chen Long berupaya buat Datuk Lee Chong Wei tidak senang hati, bayangkan pula apa yang bermain di fikiran pesaing dia ketika pentas remaja Arif Latif.

Pada 2007, di Alor Setar, Kedah, Arif dan Chen Long pernah dua kali berentap di Kejohanan Remaja Asia.

Kemenangan pertama berpihak kepada Arif menang straight set 21-19, 22-20 untuk menghadiahkan emas berpasukan Malaysia.

Namun mahkota perseorangan milik Chen Long yang menang menerusi pertembungan tiga set.

Lapan tahun kemudian, Chen Long muncul merangkul gelaran juara dunia dua kali sementara Arif masih mencari formula memenuhi potensi.

“Dulu dia sama tahap dengan saya, tetapi sekarang dia sudah bergelar juara dunia. Jadi, saya tahu standard saya masih jauh, tetapi saya cuba untuk tingkatkan lagi prestasi saya untuk capai ke tahap mereka,” katanya.

Arif berkata, beliau tetap membara untuk memburu kejayaan gemilang walaupun kudratnya belum mampu untuk pergi jauh.

“Bagi saya motivasi mudah. Saya suka dengan cabaran dalam sukan ini.

“Ia adalah sesuatu perkara biasa untuk kita bekerja keras mencapai apa yang kita mahukan.

“Walaupun sukar, tapi saya akan berusaha untuk mencapai standard yang boleh dibanggakan,’ katanya.

Bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) itu berkata, kehadiran Rashid Sidek sebagai ketua jurulatih baharu Akademi Badminton Sports Affairs telah menambah keyakinannya untuk menempah slot pada Sukan Olimpik Rio, Brazil tahun depan.

Katanya, Rashid menyediakan program yang lengkap untuk memastikan dia mencapai sasaran beraksi pada temasya berprestij itu.

“Saya kini lebih bersemangat kerana kami memiliki program baharu. Saya harap kami dapat bekerjasama untuk mencapai sasaran ini,” katanya.

Arif yang kini berada di ranking ke-69 dunia perlu bekerja keras untuk menyertai kejohanan seterusnya selepas ini sekiranya mahu memperbaiki kedudukan ranking.

Hanya dua pemain dibenarkan mewakili negara pada Sukan Olimpik 2016 dan kedua-dua pemain itu perlu berada dalam kelompok 16 pemain terbaik dunia pada Mei tahun depan.

“Memang sukar untuk mengatakan sama ada saya akan layak tetapi saya akan cuba untuk mendapatkan slot ke Rio.

“Sekiranya dapat ke Olimpik, insya Allah saya akan buat yang terbaik untuk negara, untuk kelab dan untuk saya sendiri sebab cita-cita saya pun nak main sampai ke Olimpik,” tambahnya.

Mengulas perkembangan terkini, Arif memberitahu beliau sedang mempersiapkan diri menyertai kejohanan badminton Terbuka Thailand hujung bulan ini.

Walaupun tidak meletakkan sasaran khusus pada kejohanan itu namun Arif berharap keputusan positif dapat diraih untuk meningkatkan ranking dunia.

“Saya baru sahaja sembuh daripada kecederaan, jadi saya berharap sebelum perlawanan itu bermula saya akan betul-betul cergas,” katanya.

Pada kejohanan itu, Arif akan bertemu pemain Thailand, Khosit Phetpradap di pusingan pertama dan jika berjaya laluan sukar menanti Arif di pusingan kedua apabila bakal menentang pilihan ketujuh dari Indonesia, Dionysius Hayom Rumbaka.

“Sukar untuk menjangkakan kerana dalam gelanggang apa sahaja boleh berlaku.

“Apa pun, saya cuma harap keputusan akan memihak kepada saya nanti,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here