Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) begitu bersungguh-sungguh mahu menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang. Malah PPBM dalam siri ceramahnya menggelarkan mereka sebagai parti alternatif terbaik untuk kaum Melayu. Ini merupakan satu helah politik untuk memerangkap undi kaum Melayu dan apa yang dilakukan oleh PPBM ini sebenarnya bakal memberikan kesan negatif kepada nasib kaum Melayu itu sendiri.

PPBM dilihat dari segi angka memiliki kekuatan apabila bertanding di 52 kerusi Parlimen di seluruh Semenanjung Malaysia, jumlah kerusi terbanyak dalam mana-mana komponen Pakatan Harapan (PH). Namun daripada 52 kerusi berkenaan jumlah yang dijangka mampu menjadi milik PPBM sangat rendah malah ada penganalisis politik melihat peluang PPBM hanya boleh mencapai sehingga 10 kerusi sahaja.

Analisis ini membuktikan bahawa PPBM ialah parti paling rugi di dalam PH pada masa akan datang. Namun siapa pula parti paling untung di dalam PH nanti? Parti yang paling untung ialah DAP. Mungkin ramai yang terkejut kerana jumlah yang ditandingi DAP sebenarnya jauh lebih rendah berbanding PPBM, namun mengapa DAP boleh boleh dikatakan sebagai parti yang mendapat paling banyak keuntungan?

Perkiraan sifir politiknya cukup mudah. DAP bertanding 35 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia dan dari segi jumlah sememangnya rendah, namun dari sudur winning ratio, semua kerusi yang ditandingi DAP mempunyai keupayaan besar untuk menang. DAP meletakkan kerusi di tempat yakin menang dan mereka diramalkan mendapat sehingga 30 kerusi. Inilah yang terjadi di dalam PH kini dan ini juga merupakan senario yang terpaksa dihadapi PPBM. Ini juga mengapa sebabnya DAP diam membisu dan tidak menyatakan apa-apa bantahan walaupun mendapat bilangan kerusi yang sedikit kerana ini merupaka strategi licik mereka untuk mendominasi PH.

Sebenarnya PPBM hanya menjadi korban kepada usaha PH untuk mendapatkan sokongan kaum Melayu dan PPBM bukanlah parti yang kuat dan dilihat tidak mampu untuk menyaingi UMNO. Malah jangka hayat parti ini juga dijangka tidak bertahan lama dan nasibnya akan menjadi seperti parti-parti serpihan UMNO sebelum ini, hilang ditelan zaman. Langkah melawan UMNO dan bertanding tanpa mengira kekuatan sendiri adalah satu langkah yang negatif untuk PPBM dan ini hanya meletakkan kedudukan undi kaum Melayu pada keadaan yang tidak selesa.

Untuk itu, bagi memastikan undi kaum Melayu terus relevan, sokongan terhadap UMNO harus diberikan secara total supaya kaum Melayu boleh bergantung kepada parti yang benar-benar kukuh dan memberi manfaat yang lebih menyeluruh, berbanding parti yang tidak mampu mengesan masa depannya selepas pilihan raya umum akan datang. Pilihan raya ini merupakan pilihan raya terpenting dalam sejarah dan keputusan yang baik mampu membawa negara ke masa depan lebih cerah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here