bumiputra

SETELAH lebih 60 tahun Malaysia mengecapi nikmat kemerdekaan, politik tanahair nampaknya terus diwarnai dengan nilai-nilai kaum. Walau sekuat mana pun gendang 1Malaysia dipalu, sentimen dalam kalangan rakyat terbanyak di negara ini masih lagi dilihat sebagai ethnic-based. Buktinya, kita melihat parti-parti politik terbesar di tanahair hampir kebanyakannya ‘hidup’ atas sokongan kelompok komuniti tertentu.

UMNO, PAS, AMANAH dan PPBM umpamanya bergantung terhadap sokongan orang Melayu sementara DAP dan MCA pula mengharapkan sokongan orang Cina. Begitulah juga dengan MIC yang bergantung tinggi terhadap sokongan orang India. Di Sabah dan Sarawak pula, kita melihat bagaimana kelompok Bumiputra di sana menjadi pendokong kuat kepada kerajaan negeri yang sedia ada melalui keanggotaan mereka dalam parti-parti seperti UPKO dan PBB.

Menilai Sokongan Bumiputra

Jika kita menilai sokongan Melayu berdasarkan kedudukan politik pada hari ini, situasi di atas membayangkan satu pattern ataupun trend yang sejak sekian lama berakar dalam iklim politik Malaysia; golongan Bumiputra baik Melayu, Kadazan, Iban dan sebagainya tampak terus selesa dan yakin dengan kepimpinan yang sedia ada, baik di peringkat negeri mahupun di peringkat persekutuan. Secara tidak langsung, situasi ini juga bermakna blok pembangkang samada di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak masih gagal mendapatkan kepercayaan kaum-kaum Bumiputra dalam agenda politik mereka.

Melihatkan pola politik di Semenanjung, tidak dapat dinafikan beberapa komponen Pakatan Harapan (PH) seperti PKR, AMANAH dan PPBM berjaya menarik sebahagian sokongan Melayu di bandar khususnya pengundi muda. Walau bagaimanapun, trend itu tidaklah boleh dijadikan sebagai ukuran terhadap sokongan keseluruhan orang Melayu terhadap pakatan tersebut. Hakikatnya, masih terdapat sebahagian besar Melayu bandar yang komited menyokong UMNO dan BN di samping jumlah penyokong yang memberansangkan yang dilihat di kawasan-kawasan luar bandar.

UMNO Sebagai ‘Payung’ Orang Melayu

Bagi kelompok ini, UMNO terus dilihat sebagai pelindung orang Melayu. Walaupun mereka tidak memejamkan mata terhadap beberapa isu yang berbangkit di peringkat nasional seperti 1MDB, rasuah dan salah guna kuasa, mereka masih lagi meletakkan UMNO sebagai satu-satunya parti yang serius mempertahankan hak-hak ekonomi dan politik mereka tatkala hak-hak tersebut cuba dihakis satu demi satu.

Benar, bukan semua polisi ‘pro-Bumiputra’ yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini berjaya mencapai matlamatnya 100 peratus. Dasar Ekonomi Baru (DEB) umpamanya, tidak pun berjaya mengangkat pegangan ekuiti Bumiputra ke tahap yang disasarkan. Namun, UMNO tangkas memperbaiki situasi tersebut melalui pelbagai peluang, insentif dan subsidi yang diberikan kepada golongan itu. Insentif dan subsidi ini meliputi pelbagai cabang kehidupan. Ianya merangkumi perkara-perkara yang maha mustahak seperti pemilikan hartanah, peluang kerjaya khususnya dalam perkhidmatan awam selain bantuan pendidikan samada di dalam mahupun di luar negeri.

Pakatan Harapan dan Agenda Melayu

Ketika UMNO terus tegas dan berprinsip mempertahankan status quo tersebut, situasinya tampak begitu berbeza di pihak PH yang dilihat mempunyai pendirian yang terlalu ‘terbuka’. Sehingga hari ini, mereka gagal tampil dengan sebarang polisi meyakinkan dalam mempertahankan kedudukan Islam dan hak-hak Bumiputra khususnya orang Melayu. Bayangkan, dalam isu pesta arak pun mulut mereka seolah-olah ‘terkunci’ lantaran kelantangan DAP mempertahankan penganjuran tersebut. Jelas sudah siapa yang sebenarnya dominan dalam pakatan itu.

Atas sebab itu, kalau pun ada pengundi Melayu yang berpatah hati dengan UMNO atas beberapa isu lain seperti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan kenaikan kos sara hidup, pastinya kumpulan pengundi ini akan memilih alternatif lain yang dirasakan tegas mempertahankan kedudukan Islam dan orang-orang Melayu. Alternatif itu tidak lain dan tidak bukan adalah PAS. PH mungkin telah banyak bersuara dalam isu kenaikan kos sara hidup, namun mereka tampak masih lagi ‘mengabaikan’ kepentingan Islam dan orang-orang Melayu. Maka dalam situasi ini, sokongan Melayu terhadap PH kalaupun tidak merosot, dijangka akan terus statik.

Sabah dan Sarawak Sebagai Aset BN

Situasi yang hampir serupa kita lihat di Sabah dan Sarawak di mana kaum-kaum Bumiputra terus menaruh kepercayaan terhadap parti-parti yang membentuk kerajaan negeri yang sedia ada. Walaupun DAP dan PKR mempunyai sedikit pengaruh di sana, hakikatnya rakyat terbanyak di sana enggan dikaitkan dengan parti-parti dari Semenanjung. Malah, parti pembangkang di sana juga enggan bergabung dengan PH bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) kelak walaupun mereka mempunyai misi yang sama untuk menjatuhkan BN. Alasannya mudah, PH gagal memahami isu sebenar di Sabah dan Sarawak selain tidak sensitif terhadap kehendak dan aspirasi penduduk di sana.

Undi Bumiputra Sebagai Penentu

Jika PRU-13 yang lalu kita melihat undi kaum Cina menjadi faktor penting, PRU yang akan datang bakal memperlihatkan undi orang Melayu sebagai penentu survival UMNO di Semenanjung. Dengan pelbagai cabaran dan ancaman yang mendepani orang Melayu pada hari ini, UMNO masih dilihat sebagai satu-satunya parti yang lantang menjuarai isu-isu mereka biarpun dihimpit dengan pelbagai isu di peringkat nasional.

Atas sebab itu juga, sebahagian besar orang Melayu tentunya tidak mahu memperjudikan masa depan mereka dan keluarga dengan memilih gabungan pembangkang yang tidak pernah tampil dengan jelas mengenai pendirian terhadap perjuangan kumpulan etnik terbesar negara itu. Berbekalkan faktor tersebut selain sokongan kuat kaum Bumiputra di Sabah dan Sarawak, BN dilihat tidak begitu berdepan masalah untuk terus membentuk kerajaan di peringkat persekutuan pasca PRU kelak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here