Tindakan Pakatan Harapan yang ‘mengadu domba’ tentang isu berhubung pentadbiran negara kepada 16 duta negara Kesatuan Eropah (EU) telah menjejaskan maruah dan kedaulatan negara.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman berkata, pertemuan Harapan itu yang berlaku pada 25 Januari lalu boleh mengundang campur tangan asing dalam urusan negara.

“Dalam pertemuan tersebut, Harapan membangkitkan isu-isu berhubung pentadbiran negara serta meminta campur tangan negara asing dalam negara kita.

“Ini jelas menjejaskan usaha-usaha kerajaan dalam mempertahankan kedaulatan serta imej negara termasuklah usaha Kerajaan dalam mempertahankan industri kelapa sawit negara yang boleh memberikan kesan langsung terhadap ratusan ribu pekebun kecil yang bergantung kepada industri ini untuk kehidupan harian mereka,” katanya dalam kenyataan. hari ini.

Menurutnya lagi, politik sempit Harapan akan merumitkan strategi dan dasar kerajaan untuk membela rakyat negara ini.

Mana tidaknya, dalam masa Malaysia diiktiraf dan disanjung di pesada dunia, dan ketika ekonomi negara sedang rancak bergerak kepada pertumbuhan yang kukuh, politik Harapan yang mengundang penglibatan luar mempamerkan niat sebenar pihak pembangkang yang membelakangkan kedaulatan negara dan kesejahteraan rakyat.

“Kita difahamkan bukanlah menjadi hasrat Duta-Duta Besar EU untuk mendengar tuduhan-tuduhan negatif Harapan terhadap kerajaan, namun tindakan Harapan yang berusaha untuk melibatkan kuasa-kuasa asing, adalah satu tindakan yang amat tidak patriotik dan sesungguhnya telah meremehkan maruah negara bangsa kita.

“Adalah jelas usaha-usaha pihak Pakatan Harapan merupakan satu politik terdesak yang amat dikesali kerana ianya mengundang campurtangan dan tekanan kuasa asing ke atas nilai-nilai dan prinsip serta amalan demokrasi yang diamalkan oleh rakyat,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, sebagai sebuah negara demokratik dan bebas, Malaysia tidak menghalang duta-duta besar asing mengamalkan amalan diplomatik antarabangsa, selari dengan norma-norma dan nilai-nilai yang termaktub di dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.

Pun begitu, katanya lagi, kerajaan tidak akan teragak-agak di dalam membela hak rakyat dan kedaulatan serta maruah negara untuk mengambil tindakan tegas yang sewajarnya ke atas mana-mana pihak asing yang melanggar norma-norma dan nilai-nilai yang termaktub dalam konvensyen tersebut.

“Ini merupakan satu lagi helah dan hipokrasi yang menjadi teras politik (bekas Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad yang nyata telah membelakangkan kepentingan negara dan rakyat demi untuk meraih kuasa.

“Pada ketika beliau menjadi perdana menteri, beliau merupakan seorang yang amat kritis terhadap negara-negara Barat, tindakan beliau dan Harapan melibatkan duta-duta asing dalam usaha untuk meremehkan strategi kerajaan harus menjadi satu kejutan akan siapa sebenarnya yang menjulang dan mempertahankan hak serta martabat dan kedaulatan negara,” bidasnya lagi.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here