Marawi

Pemimpin Daesh, Abu Bakar al-Baghdadi pernah memberi amaran supaya negara-negara Asia Tenggara tidak memandang enteng pengaruh kumpulan itu di rantau sini.

Namun tidak banyak negara memberi perhatian pada amaran berkenaan dan dengan mengambil fakta kekalahan demi kekalahan Daesh di Asia Barat, mereka mendakwa kumpulan Daulah Islamiah itu semakin lemah, termasuklah Filipina.

Sebaliknya apa yang berlaku di Marawi, sebuah bandar terpencil di selatan Mindanao sejak Mei lalu, perlihatkan kekuatan sebenar kumpulan pengganas itu, apabila kedamaian bandar itu dibisingkan dengan serangan kumpulan Maute, serta kemampuan kumpulan itu bertahan daripada penggempuran tentera kerajaan lebih sebulan..

Siapakah Maute?

Ada yang berkata Maute adalah serpihan Barisan Pembebasan Islam Moro atau MILF berdasarkan para pemimpin tertingginya, Omar Maute atau Omarkhayam, Madi Maute dan Abdullah Maute pernah menganggotai MILF.

Bagaimanapun, ada yang berkata Maute merupakan nama keluarga pengasas kumpulan itu, Farhana Maute, wanita berusia 60 tahun.

Sama seperti Osama bin Laden, Maute dari keluarga kaya yang tersesat dalam episod perjuangan yang menyeramkan. Sebelum membentuk kumpulan pengganas, keluarga Maute sangat berpengaruh di selatan Mindanao sebagai konglomerat yang terlibat dalam semua projek kerajaan.

Seperti lazimnya kelompok-kelompok orang kaya di Filipina, Maute juga memiliki pasukan bersenjata nya sendiri. Tetapi sekitar dua tahun lalu, keluarga Maute bersengketa dengan wali kota Butig, Dimnatang Pansar, kerana tidak diberikan tender projek kerajaan.

Konflik itu menular dengan cepat menjadi perang antara klan. Tentera Filipina campur tangan menyebelahi Pansar. Manakala Maute mengaku taat setia pada ISIS atau Daesh, dan menjadi sebahagian daripada kumpulan pengganas antarabangsa itu.

Pertempuran sengit di Marawi yang meragut nyawa beratus-ratus anggota tentera, militan dan orang awam menunjukkan pengaruh Daesh yang semakin meningkat di Asia Tenggara selepas kekuatannya di Iraq dan Syria semakin lemah.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, antara pemimpin Asia yang gagal melihat keupayaan Maute , Abu Sayyaf dan Daesh di negaranya. Dia mungkin tidak sedar penggabungan tiga kumpulan pengganas itu untuk melindungi bekas pemimpin Abu Sayyaf yang berlindung di Marawi sejak tahun lepas selepas cedera di Syria, Isnilon Hapilon.

Kerana itu dia hanya menghantar sepasukan tentera yang kecil untuk menangkap Hapilon, yang dianggap orang paling bahaya dan dikehendaki Amerika dengan tawaran 5 juta dolar.

Persoalan sekarang, mampukah Daesh, atau IS menjadikan rantau Asia sebagai pangkalan baharu mereka selepas gagal di Iraq dan Syria?

Pertempuran di Marawi menunjukkan keberkesanan kumpulan pengganas antarabangsa itu bergabung dengan pengganas tempatan merancang dan menggerakkan operasi besar-besaran.

Keupayaannya bertahan lebih sebulan digempur tentera Filipina yang mempunyai persenjataan yang lebih lengkap membuktikan lagi kekuatan dan keyakinannya Daesh yang semakin meningkat.

Tidak mustahil serangan seperti itu akan berulang di negara lain pula, dengan Indonesia sebagai pilihan utama kerana sebilangan rakyatnya sudah pun dikenal pasti menganggotai Jemaah Islamiah, JI yang sudah acap kali melancar keganasan termasuk di Jakarta.

Untuk masa sekarang, presiden Duterte dikatakan mempelawa kumpulan pengganas itu berunding. Persoalannya adakah rundingan yang ditawarkan itu wajar, meskipun hanya dengan Maute? Dan ke manakah perginya keangkuhan Duterte yang sebelum ini melancar operasi memburu dan membunuh pengedar dadah di negaranya tanpa mendengar kritikan kerajaan dan badan hak asasi dunia..?

Banyak pihak mahukan Duterte menjalin kerjasama dengan negara-negara tetangga untuk berhadapan ancaman Daesh, khususnya dari segi politik dan pertahanan. Ini berdasarkan sebahagian pengganas yang dapat dibunuh berasal dari Indonesia, Malaysia dan Singapura.

Indonesia menyifatkan isu Daesh tidak popular di negara itu. Apa yang pernah berlaku di Jakarta dan bandar-bandar lain hanyalah kes terpencil. Kenyataan itu sangat dikesali kerana daripada kes-kes terpencil itulah akan berkembang menjadi kes yang besar.

Namun perjanjian kerjasama untuk mengadakan rondaan di perairan-perairan tertentu sudah pun ditandatangani antara Manila dan Jakarta.

Dalam pada itu komen seorang profesor Universiti Brawijaya, Indonesia, perlu diberi perhatian.

Katanya, ISIS adalah boneka Amerika yang sedang mengatur strategi besar-besaran di ASEAN yang dilihat semakin makmur. Selepas perang di Asia Barat tamat, negara-negara ASEAN menjadi tumpuan dalam penjualan senjata Amerika.

Sekarang pun sudah ada agen senjata Amerika yang dikatakan mampu menandingi kekuatan senjata Daesh menemui para pemimpin Filipina.

Isnin (5/6/2017), Agensi berita AFP berkata, Amerika memberikan Filipina ratusan senapang mesin, pistol dan peluncur bom tangan yang bernilai 190 juta dolar kepada tentera Filipina di Marawi.

Apa pun, pertempuran di Marawi telah menimbulkan kegelisahan negara-negara tetangga Filipina karena pengikut Daesh berpotensi menyeludup masuk ke negara-negara yang dekat dengan Filipina, terutama Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here