Khairy Jamaluddin hari ini mengakui manifesto Pemuda Barisan Nasional (BN) tidak sehebat manifesto PH kerana pihaknya lebih bertanggungjawab dan realistik.

Ketua Pemuda BN itu mengakui manifesto PH menawarkan janji lebih baik daripada BN, tetapi ia sekadar pengisytiharan populis yang boleh memufliskan kerajaan.

“Saya tidak mahu menipu rakyat. Ya, mungkin manifesto saya tidak sehebat PH kerana saya tidak dapat memberikan semuanya secara percuma.

“Sudah tentu, semua orang mahu segalanya percuma. Tiada siapa mahu membayar cukai, tetapi itu bukan cara dunia berfungsi.

“Anda tidak boleh berbohong kepada kami dengan mengatakan anda akan memansuhkan cukai dan memulangkan ini dan itu.

“Hanya ada 2 kesudahan: satu, anda akan mufliskan kerajaan, atau ke-2, anda berbohong,” katanya dalam temu bual dengan MetroTV hari ini.

Khairy berkata, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri berkata tidak mungkin ia dapat melaksanakan semua janji dalam manifesto itu.

“Janji penyiaran percuma EPL itu sendiri akan menelan ratusan juta untuk mendapatkan hak penyiarannya.

“Begitu juga dengan pendidikan percuma dan pemansuhan tol di negara ini. Apabila kita menambah semuanya, ia akan menelan ratusan bilion ringgit.”

Katanya, beliau tahu ramai yang akan mengundi berdasarkan emosi, tetapi beliau menggesa mereka mengundi berdasarkan kebijaksanaan.

“Bolehkah janji-janji ini dipenuhi?” soalnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here