Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan 14 orang daripada 3 keluarga di Kampung Perepat setelah Daerah Kota Tinggi dilanda banjir petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat berkata dengan pembukaan PPS itu, jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 1,122 orang daripada 306 keluarga setakat 5.00 petang tadi, melibatkan daerah Mersing, Segamat dan Kota Tinggi.

“Seramai 1,005 orang daripada 281 keluarga di Mersing berada di 7 PPS petang ini manakala 103 orang daripada 22 keluarga berada di 4 PPS di Segamat.

Empat belas orang daripada 3 keluarga berada di satu PPS di Kota Tinggi iaitu Balai Raya Kampung Perepat yang mula beroperasi pada 1.30 tengah hari tadi,” katanya menerusi kenyataan.

Ayub berkata kesemua mangsa banjir di Mersing merupakan merupakan penduduk dari Kampung Tenglu Besar, Kampung Air Papan, Kampung Baru Jemari, Kampung Sungai Muka Dua, Kampung Orang Asli Labong dan Kampung Air Merah yang terjejas secara berperingkat mulai 2 hari lepas.

Beliau berkata mereka ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tenglu, SK Air Papan, Sekolah Agama Pengkalan Batu, Sekolah Agama Mersing Kanan, SK Labong, Balai Raya Kampung Air Merah dan Balai Raya Kampung Benaung.

Katanya, di Segamat, kesemua mangsa banjir itu merupakan penduduk Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh dan Kampung Tekam yang ditempatkan di Balai Raya Gemereh 4 Batu Badak, Balai Raya Kampung Pogoh Tengah, Kompleks Penghulu Mukim Pogoh dan Pusat Aktiviti Belia Kampung Tekam.

Ayub berkata Jalan Telok Arong di Mersing masih ditutup sepenuhnya akibat runtuhan cerun dan orang ramai boleh menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tanjung Resang-Jalan Mersing/Endau-Jalan Air Papan.

Laluan ke Kampung Batu 7 di Jementah, Segamat turut terputus hubungan akibat dinaiki air dan pemantauan sedang dilakukan berterusan oleh agensi berkaitan serta pejabat daerah.

Sementara itu, hujan lebat yang berterusan menyebabkab jumlah mangsa banjir di 4 buah daerah di Pahang terus meningkat kepada 1,565 orang sehingga pukul 6.00 petang ini dan ditempatkan di 17 pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 1,457 orang tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Kol (PA) Zainal Yusof berkata, daerah Kuantan kembali menempatkan mangsa banjir dengan 49 orang ditempatkan di 2 PPS iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Seri Damai (29 orang) dan Dewan Orang Ramai Kuala Pahang (20).

“Daerah Pekan masih merekodkan jumlah mangsa yang paling ramai dengan 1,223 orang ditempatkan di 10 buah PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang Keledang sebanyak 322 mangsa, SK Sri Biram (73), SK Sinar Mutiara (375), SK Seri Terentang (46), SK Temai (93).

“Mangsa turut ditempatkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Peramu Jaya (136), Pusat Pemindahan Pulau Manis (75), Balai Raya Kampung Tanjung Pulai (39), Pusat Pemindahan Kampung Lamir (55) dan SK Acheh (sembilan),” katanya ketika dihubungi hari ini.

Di Rompin, katanya jumlah mangsa yang dipindahkan turut meningkat daripada daripada 238 mangsa tengah hari tadi kepada 284 orang petang ini dengan 1 PPS baharu yang dibuka iaitu Dewan Serbaguna Kampung Pianggu menempatkan 31 orang.

Tiga PPS yang dibuka sebelum ini dibuka di Rompin iaitu SK Tekek, Tioman menempatkan seramai 63 mangsa, Dewan Orang Ramai Leban Chondong (71) dan Balai Raya Setajam (119).

Di Raub, jumlah mangsa yang ditempatkan di Masjid Jamek Kuala Semantan masih kekal 9 orang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here