Jose Mourinho berkata, Manchester United melakukan penjimatan besar dalam jendela perpindahan kali ini dengan melengkapkan pembelian pemain sebelum perpindahan rekod dunia Neymar ke Paris Saint-Germain (PSG) yang melonjakkan harga pasaran pemain.

Mourinho membayar 75 juta pound (RM414 juta) untuk penyerang Everton, Romelu Lukaku bagi melengkapkan perbelanjaan keseluruhan 130 juta pound (RM 719 juta) termasuk pembelian Nemanja Matic dan Victor Lindelof.

Sebaik semua perjanjian itu selesai, barulah gergasi Perancis, PSG memecahkan rekod dunia dengan tawaran 200 juta pound (RM 1.1 bilion) untuk penyerang Barcelona, Neymar.

Romelu Lukaku

Mourinho percaya jika United terus menunggu bagi mendapatkan bintang sasaran, hasilnya mungkin mereka terpaksa menanggung yuran yang lebih tinggi.

Dengan memuji Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward kerana bijak dalam meramal harga pasaran, Mourinho berkata: “Saya fikir kami amat bijak.”

“Kami sudah menjangka sesuatu yang boleh mengubah persekitaran pasaran akan berlaku.

“Kebiasaannya yuran perpindahan akan lebih murah di hujung jendela, tetapi musim ini, selepas Neymar, semuanya berlaku dan yuran perpindahan bertukar menjadi luar biasa.

“Saya fikir harga Lukaku pada 31 Ogos mungkin boleh melonjak sehingga 150 juta pound. Matic mungkin 60 juta pound (RM 331 juta) atau 70 juta pound (RM 387 juta). Neymar mengubah semuanya.

“Sekiranya rekod perpindahan termahal dunia masih dipegang (Paul) Pogba, saya fikir perancang Liverpool, Philippe Coutinho mungkin sudah ke Barcelona dengan harga 101 juta pound (RM558 juta).

“Kini, semua orang semua melihat kepada angka 200 juta pound (RM 1.1 bilion).” – AFP

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here