SEKURANG-KURANGNYA 50 orang terbunuh manakala lebih 400 lagi cedera dalam kejadian amuk di sebuah festival muzik country di Las Vegas.

Insiden tersebut disifatkan sebagai tragedi amuk terburuk dalam sejarah Amerika Syarikat (AS).

Polis Las Vegas, Syerif Joseph Lombardo berkata, suspek yang dikenali sebagai Stephen Paddock, 64 tahun, bertindak melepaskan tembakan rambang dari tingkat 32, hotel dan kasino, Mandalay Bay yang terletak bersebelahan lokasi festival Route 91 Harvest itu sebelum dipercayai membunuh diri.

Pasukan polis dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) sedang menyiasat latar belakang Paddock dan mengesahkan menemui lebih sepuluh senjata api di dalam bilik hotelnya.

Serangan terbabit sebagai insiden pembunuhan beramai-ramai paling buruk dalam sejarah AS, mengatasi insiden pembunuhan 49 orang di kelab malam Orlando tahun lalu.

Ribuan pengunjung yang panik bertempiaran lari dari tempat kejadian sehingga ada yang dipijak ketika anggota ke­­selamatan cuba mengesan dan membunuh lelaki bersenjata itu.

Perlukah kita di Malaysia mengambil iktibar daripada kejadian di Las Vegas itu?

Sudah tentu, kerana keselamatan rakyat perlu menjadi keutamaan semua pihak.

Tetapi adakah pihak tertentu terutama penganjur pesta arak, Festival Better Beer 2017 mengambil maklum mengenainya?

Umum pastinya mengetahui, DAP bersungguh-sungguh mempertahankan penganjuran pesta arak itu.

Apabila penganjuran program itu ditolak oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk diadakan di ibu negara pada 6 Oktober ini, macam-macam pihak mengecam DBKL ekoran langkah itu.

Kini, pihak Majlis Perbandaran Klang membenarkan ia diadakan di Centro Mall dengan nama lain iaitu Centro German F&B Party yang dijadualkan pada 12 dan 13 Oktober nanti.

Kenapa pihak penganjur dan DAP beria-ia mahu pesta arak itu diadakan?

Tidakkah mereka bimbang kejadian seperti yang berlaku di Las Vegas itu terjadi di negara ini?

Adakah pemimpin DAP tahu bahawa penganjuran festival arak di negara bermajoriti penduduk Islam akan meningkatkan risiko berlaku bahaya terutamanya dari segi keselamatan?

Apabila festival seperti itu diadakan, ramai orang akan mabuk.

Pengambilan alkohol berlebihan sudah pasti akan mendorong kelakuan yang tidak senonoh di depan khalayak ramai.

Akan ada pihak pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan bila berada dalam keadaan mabuk ini. Bermacam-macam perkara yang tidak diingini boleh berlaku.

Dalam kejadian di Las Vegas itu, kumpulan militan Daesh atau IS dikatakan mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu yang dilakukan oleh seorang suspek bernama Paddock.

Dengan pengakuan itu, terdapat petanda bahawa gerakan Daesh dan IS merancang melakukan serangan ketika acara besar-besaran yang melibatkan orang yang ramai diadakan.

Mustahil atau tidak siri serangan yang hampir sama boleh terjadi dalam penganjuran pesta arak itu?

Seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, berdasarkan sumber risikan polis, wujud ancaman sebenar dan polis tidak akan bertoleransi terhadap penganjuran pesta arak tersebut.

Malaysia pernah mengalami serangan pengganas IS apabila pusat hiburan Movida di Puchong diletupkan dengan bom tangan pada 28 Jun 2016.

Kecekapan polis dan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman telah berjaya mematahkan beberapa rancangan serangan yang mensasarkan beberapa acara besar di negara ini sebelum ini.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 5 September 2017 berjaya mematahkan cubaan kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang merancang menyerang Upacara Penutup Sukan SEA 2017 di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 30 Ogos 2017.

Kumpulan berkenaan dikatakan turut sama mahu mencetuskan huru-hara dengan melancarkan serangan semasa Perbarisan Hari Kebangsaan ke-60 di Dataran Merdeka pada keesokkannya.

Jadi, wajarkah pesta arak Festival Better Beer 2017 diadakan?

Sumber risikan pihak keselamatan negara tentang ancaman keselamatan jika acara pesta arak itu dibenarkan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh semua pihak.

Siapa yang mahu bertanggungjawab jika terjadi sesuatu kepada rakyat?

Adakah pihak penganjur Festival Better Beer 2017 dan DAP akan bertanggungjawab?

Jadi, ambillah iktibar dari tragedi yang berlaku di Las Vegas.

Dalam berseronok, ada pihak lain mahu mengambil kesempatan. Dengar dan patuhlah nasihat pihak polis.

Jelas, keamanan negara lebih penting dari hak asasi untuk minum arak dan mabuk.

Pilihlah dengan pemikiran yang waras.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here