BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan bertanding di Putrajaya pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pengerusi PAN Kelantan, Datuk Husam Musa pada 2016 pernah mencadangkan ‘arkitek’ Putrajaya itu bertanding di Parlimen berkenaan.

Putrajaya, yang dibina di atas ladang Perang Besar, dijadikan pusat pentadbiran kerajaan pusat pada 1999, ketika kemuncak kegawatan ekonomi dan krisis politik melanda negara.

Pada pilihan raya 2013, Husam yang pada ketika itu mewakili PAS bertanding di Parlimen itu dan menerima 4,402 undi, ditewaskan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dengan 9,943 undi.

Persoalannnya, mampukah Mahathir mendapatkan sokongan rakyat sekali gus menang di Putrajaya?

Persempadanan semula Bahagian Pilihan Raya Parlimen P125 Putrajaya telah dibuat selepas pewujudan Wilayah Persekutuan Putrajaya pada 1 Februari 2001 melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A 1095] yang mewujudkan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang diluluskan di Parlimen dan berkuatkuasa pada 1 Februari 2001.

Kawasan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebelum ini terletak dalam Mukim Dengkil, Daerah Sepang, Selangor.

Ia merupakan satu Daerah Mengundi dalam bahagian Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri N.47 Dengkil dan terletak di dalam bahagian Parlimen pilihan raya P.102 Sepang, Selangor.

Pilihan Raya Umum Ke-11 (PRU-11) pada tahun 21 Mac 2004 merupakan pilihan raya yang bersejarah bagi Putrajaya kerana buat pertama kalinya pengundi berdaftar di Putrajaya berpeluang untuk memilih wakil rakyat yang pertama bagi Putrajaya.

Parlimen pada masa itu dibubarkan pada 4 Mac 2004 dan PRU-11 diadakan selepas 125 hari Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri yang kelima bagi menggantikan Mahathir.

Dalam PRU-11, calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Putrajaya ialah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah ditentang oleh Abdul Rahman Othman dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengikut perangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi yang berdaftar di kawasan Parlimen P125 Putrajaya semasa PRU-11 pada 21 Mac 2004 adalah seramai 5,079 orang dengan 4,919 orang pengundi biasa dan 160 orang pengundi pos.

Jumlah pengundi yang keluar mengundi pula adalah sebanyak 4,662 orang kurang daripada jumlah yang berdaftar sebagai pengundi. Manakala undi rosak pula adalah sebanyak 28. Ia merupakan suatu jumlah yang kecil.

Calon yang telah memenangi Parlimen Putrajaya adalah Tengku Adnan daripada BN yang mengalahkan Abdul Rahman daripada PKR dengan majoriti undi sebanyak 3,546 undi. Abdul Rahman hanya menerima 540 undi telah kehilangan wang deposit.

Bagi PRU-12 pula, mengikut sumber dari SPR, jumlah pengundi yang berdaftar di kawasan Parlimen P125 Putrajaya semasa PRU ke-12 pada 8 Mac 2008 adalah seramai 6, 608.

Berdasarkan kertas undi yang dikeluarkan, jumlah pengundi pada hari mengundi adalah seramai 5,416 orang iaitu 82.0 peratus jumlah keluar mengundi. Undi rosak pula adalah sebanyak 38 undi. Terdapat juga 36 kertas undi yang tidak dikembalikan.

Tengku Adnan mengekalkan kerusi Parlimen Putrajaya dengan memperolehi undi sebanyak 4, 038 mengalahkan Mohamad Noor Mohamad daripada parti PAS dengan majoriti undian 2,734 undi. Mohamad Noor menerima 1,304 undi.

Mengenai kesediaan Mahathir untuk bertanding di Putrajaya, Tengku Adnan memaklumkan tidak gentar untuk berdepan dengan bekas Perdana Menteri dan pengasas Putrajaya itu.

Bagi Tengku Adnan, beliau yakin untuk memenangi hati pengundi Putrajaya setelah memenangi beberapa PRU di parlimen tersebut.

Persoalannya, beranikah Mahathir untuk bertanding di kerusi Parlimen Putrajaya?

Atau Mahathir sekadar membuat gimik politik kononnya akan kembali bertanding dan menjadi wakil rakyat.

Dalam usia Mahathir kini, mampukah Mahathir untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat?

Jangan disebabkan demi mencapai cita-cita politik, Mahathir membuat keputusan untuk kembali bertanding dan memilih pula kerusi Parlimen Putrajaya.

Sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri, adakah kemahuan politik Mahathir masih belum tercapai?

Tidak salah jika Mahathir mahu bertanding lagi. Dalam politik, umur bukan menjadi halangan.

Jika masih kuat dan mempunyai kudrat untuk menggalas tugas sebagai wakil rakyat, bertandinglah.

Kalau tidak, baik berehat sahaja daripada terus dengan misi peribadi memporak-perandakan politik negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here