HANYA selepas setahun ditubuhkan, PPBM kini berdepan risiko pengharaman gara-gara kegagalannya mematuhi perlembagaan parti sendiri. Dalam perkembangan terbaru, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) Surayati Ibrahim semalam memaklumkan bahawa Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) iaitu nama rasmi sayap pemuda PPBM sebenarnya tidak pun wujud dalam perlembagaan parti tersebut, sekaligus memperlihat perlanggaran jelas terhadap Akta Pertubuhan 1966.

Kesalahan itu disifatkan sebagai sangat berat yang kesan akhirnya boleh membawa kepada pembatalan pendaftaran PPBM itu sendiri. Krisis yang melanda parti yang ditunjangi bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ini bukan perkara dan isu baharu. Sebelum ini, JPPM sendiri telah menerima pelbagai aduan daripada bekas ahli-ahli parti tersebut yang pernah dipecat selain ahli-ahli lain dari seluruh negara mengenai kepincangan urus tadbir PPBM. Masalah itu kemudiannya semakin melarat dan bertambah buruk dengan aduan mengenai kegagalan parti tersebut mengelolakan mesyuarat agung tahunan (AGM) biarpun usia penubuhannya sudah menganjak lebih setahun. Untuk rekod, PPBM telah ditubuhkan pada 7 September 2016.

Perkembangan terkini itu jelas memberikan gambaran kepada rakyat betapa huru-hara dan pincangnya parti yang diterajui bekas perdana menteri itu. Tidak cukup dengan penghijrahan keluar dan perletakan jawatan beberapa individu ternama sebelum ini, kegagalan PPBM mematuhi piawaian penubuhan parti dan kekeliruan dalam perlembagaannya sendiri terus membuktikan bahawa parti itu tidak pun mempunyai hala tuju yang jelas selain dilihat terlalu gopoh dalam ‘perjuangannya’. Umum mengetahui bahawa perjuangan politik PPBM hanyalah tidak lebih daripada menjatuhkan kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Sri Najib Razak.

Apa Jadi Jika PPBM Diharamkan?

Jika PPBM diharamkan, sudah tentu ianya akan membawa beberapa perubahan besar dalam politik tanahair. Dalam keadaan kedua-dua blok, baik kerajaan mahupun pembangkang, bersiap-sedia menghadapi PRU yang perlu dipanggil tidak sampai setahun pun lagi, Pakatan Harapan (PH) nampaknya perlu memikirkan cara dan pendekatan lain untuk menguatkan sokongan terhadap mereka. Dengan kemungkinan pengharaman PPBM, PH bakal kehilangan satu komponen yang mereka lihat penting dalam mengimbangi sokongan Melayu terhadap pakatan itu. Ketiadaan PPBM dalam PH kelak tentulah menjadi satu kejutan buat mereka ketika mana mereka masih lagi menunggu kelulusan JPPM mengenai pendaftaran logo rasmi pakatan itu.

Apa pun, jika pengharaman PPBM benar berlaku, kepimpinan parti tersebut perlu memikirkan segera jalan bagi membuat pendaftaran yang baharu. Situasi itu sebenarnya tidaklah asing bagi Mahathir memandangkan beliau mempunyai pengalaman yang sangat ‘berharga’ ketika mana UMNO diharamkan pada 4 Februari 1988 dan UMNO Baru pula ditubuhkan hanya sembilan hari selepas itu. Jika tiada pendaftaran baharu yang dilakukan, kepimpinan PPBM mungkin sahaja mahu menimbang kemungkinan untuk bertanding atas tiket parti komponen PH yang lain pada PRU kelak.

Bertanding Atas Tiket Komponen Lain?

Dalam situasi ini, beberapa individu berprofil tinggi dalam parti itu seperti bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir misalnya perlu memilih samada mahu bertanding atas tiket PKR, DAP ataupun AMANAH sekiranya mereka mahu mempertahankan kerusi masing-masing di Pagoh dan Jerlun. Ironinya, sejak awal penubuhannya tahun lalu, PPBM terus konsisten mengekalkan keahlian Melayu parti itu 100 peratus. Bertanding atas tiket parti komponen yang lain bermakna baik Muhyiddin dan Mukhriz perlulah bersedia mengenepikan seketika ‘semangat’ dan ‘prinsip’ ini tatkala calon PPBM yang bakal bertanding atas nama PH kelak hanya membentuk peratusan yang sangat kecil.

Soalnya, parti komponen yang mana pula akan dipilih untuk dijadikan platform mereka bertanding pada PRU nanti? Memilih DAP tampak satu piihan yang ada walaupun sukar. Masakan mereka sanggup dilihat pro dan cenderung kepada parti yang dilihat anti-Melayu dan Islam itu sedangkan ketika aktif bersama UMNO dahulu, mereka jugalah yang tidak pernah kering bibir menghentam DAP. Memilih untuk bertanding atas tiket parti tersebut hanyalah umpama menjilat ludah sendiri.

PKR mungkin dilihat lebih realistik sebagai sebuah pilihan untuk mereka lantaran penubuhannya yang juga bertitik tolak daripada rasa marah dan tidak puas hati terhadap UMNO yang pada masa itu dipimpin Mahathir sendiri. Namun memilih PKR juga bakal memperlihatkan satu situasi yang sedikit ‘janggal’ ketika mana kepimpinan tertinggi PPBM yang ada pada hari ini menjadi individu yang paling bertanggungjawab terhadap pemenjaraan pengasas parti tersebut, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apatah lagi dalam keadaan bukan semua penyokong PKR di pelbagai peringkat dapat melupakan dan memaafkan Mahathir atas ‘kekejamannya’ dahulu, pilihan mereka untuk bertanding atas tiket PKR tampak bakal berlaku dalam situasi yang berbelah-bahagi.

Memilih AMANAH pula umpama melakukan political suicide kerana parti serpihan PAS itu ternyata masih belum berupaya membuktikan sebarang bentuk kekuatan sepanjang penubuhannya. Malah, jiwa Melayu yang ada dalam diri calon-calon PPBM itu sendiri tampak serba tidak kena dengan agenda Islam progresif yang cuba dibawa AMANAH. Ianya bakal memperlihatkan situasi dan kesan serupa ketika Presiden PERKASA bertanding atas tiket PAS pada PRU ke-12 yang lalu. Apa pun, pilihan itu mungkinlah yang paling cocok untuk mereka buat masa ini kerana pada hakikatnya, PPBM juga belum membuktikan apa-apa dalam kancah politik negara.

Ego yang ada dalam diri Mahathir nampaknya akan mengenepikan sama sekali kemungkinan ini. Tidak mungkin beliau bersetuju untuk meletakkan calon-calon PPBM atas tiket parti komponen yang lain. Membuat pendaftaran baharu nampaknya pilihan yang lebih ideal untuk Mahathir kerana pada hakikatnya, beliau sendiri pun tidak begitu pasti apakah hala tuju PPBM pasca PRU kelak. Sejarah membuktikan bahawa Mahathir sememangnya cenderung untuk meninggalkan ‘kawan-kawan’ yang pernah digunakannya untuk memanjat tangga kuasa politik.

Keliru Dalam Perjuangan

Kucar-kacirnya PPBM pada hari ini seharusnya melontarkan satu persoalan kepada rakyat mengenai kemampuan parti itu menguruskan kebajikan rakyat sedangkan kebajikan dan masalah ahli-ahlinya sendiri sudah terabai. Sejak penubuhannya, PPBM tampak begitu bersemangat mengelolakan pelbagai rapat umum melalui forum dan himpunan-himpunan politik, tetapi ternyata gagal sama sekali dalam tadbir urusnya walaupun dalam hal-hal yang mudah seperti mengadakan mesyuarat. Jelas, sejak setahun yang lalu, parti yang ditunjangi Mahathir ini lebih berminat mengadakan demonstrasi dan ceramah-ceramah politik berbanding mengadakan AGM parti sendiri.

Kelekaan mereka dalam hal ini seolah-olah membayangkan PPBM sememangnya tidak akan bertahan lama. Bagaimana hendak bertahan lama kalau matlamat penubuhannya pun sudah berasaskan dendam dan niat yang tidak betul? Pengharaman PPBM kelak, jika berlaku, bakal menjadi bahan ketawa umum. Mana tidaknya, baru setahun lebih ditubuhkan, pendaftarannya sudah dibatalkan dalam keadaan belum pun sempat bertanding. Mahathir pula dilihat terlalu bersahaja dalam isu ini, seolah-olahnya tidak pun berminat dengan soal hidup mati PPBM. Bagi Mahathir, kalau pun PPBM diharamkan kelak, beliau hanya perlu menuding jari dan meletakkan kesalahan itu di pihak JPPM selain terus menyalahkan campur tangan UMNO.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here