KENYATAAN Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa semalam mengenai keterbukaan parti itu untuk bekerjasama dengan PAS pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dilihat tepat tatkala umat Islam di Malaysia khususnya orang Melayu masih tercari-cari tali yang mampu mengikat kesatuan mereka.

Walaupun kenyataan Annuar itu bukanlah dilihat sebagai satu ajakan kepada PAS untuk menyertai UMNO, kerjasama itu jika direalisasikan bakal menjadi satu lonjakan baru kepada usaha pemeliharaan Islam sebagai agama rasmi persekutuan dan survival politik orang Melayu itu sendiri.

Apatah lagi ketika mana DAP dan pelbagai fahaman liberal lain yang meresapi pembawaan politik oleh Pakatan Harapan (PH) dilihat seakan-akan tidak memberikan sebarang jaminan terhadap usaha mempertahankan institusi Islam dan Melayu di negara ini.

Institusi Islam Yang Terancam

Kita faham benar bagaimana DAP begitu berkeras menentang pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sedangkan pindaan itu langsung tidak ada kena mengena dengan urusan mereka sebagai orang bukan Islam. Dalam isu dobi ‘mesra Muslim’ yang hangat dibahaskan akhir bulan lalu, mereka jugalah yang mula-mula menjadikan ia satu polemik baru dalam masyarakat. Tindakan yang serupa kita lihat dalam penentangan mereka terhadap pembatalan pesta arak “Better Beer Festival 2017” baru-baru ini.

Malang sekali, komponen PH yang turut dianggotai dan dikepalai oleh orang Melayu sendiri seperti PKR, AMANAH dan PPBM seolah-olah ‘merestui’ setiap tindakan rakan pakatan mereka itu. Malah, ada beberapa pemimpin Melayu dalam blok tersebut pergi lebih jauh dengan mengkritik tindakan institusi kerajaan yang tegas menyekat ‘kebebasan’ yang membinasakan ini. Ianya satu malapetaka buat orang Melayu Islam di negara ini apabila institusi yang selama ini berperanan menjaga kepentingan umat Islam seperti Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sudah berani dicabar bidang kuasa dan tugasnya oleh beberapa kelompok berkepentingan.

Bahaya Liberalisme

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah kumpulan aktivis telah melancarkan satu kutipan dana khas ‘Freedom Fund’ untuk membantu pimpinan sebuah organisasi, Islamic Renaissance Front (IRF) bagi mencabar pihak berkuasa setelah didakwa mengelolakan sesi ceramah mengenai agama tanpa tauliah selain memohon semakan kehakiman ke atas beberapa buku terbitan mereka yang telah diharamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Isu ini mungkin nampak remeh dan terpencil bagi sesetengah pihak. Malah di sana mungkin ada kelompok Melayu yang ingin bangkit mempersoalkan tindakan afirmatif kerajaan dalam isu ini. Tetapi yakinlah bahawa ini merupakan benih-benih liberalisme yang telah sekian lama cuba meresap masuk ke dalam kehidupan umat Islam di Malaysia untuk meruntuhkan prinsip yang telah lama kita pegang. Sekiranya perkara-perkara ‘remeh’ sebegini tidak ditangani dengan berkesan oleh pihak berwajib, apakah kita mahu berdiam diri apabila melihat nilai-nilai Islam dan Melayu dalam generasi kita pada hari ini semakin hari semakin terhakis?

UMNO dan PAS: Tunjang Umat Islam

Di sinilah pentingnya kesatuan umat Islam di Malaysia tanpa mengira latar belakang. Malah, kesatuan ini tidak pun perlu dilakukan dalam kerangka politik jika kita memahami betapa seriusnya ancaman yang sedang didepani institusi Islam sekarang. Tetapi, hakikatnya di Malaysia kehidupan politik kita lihat seolah-olah hampir sama kuat dan teguhnya dengan kehidupan agama rakyatnya. Iklim politik semasa acapkali mengusik sensitiviti agama. Kadang-kala, isu agama pula dipergunakan untuk survival dan kepentingan politik.

UMNO dan PAS mewakili dua blok terbesar orang Melayu Islam. Walaupun di sana terdapat parti berasaskan Melayu Islam yang lain seperti AMANAH dan PPBM, namun kekuatan mereka dalam menjuarai isu-isu Islam dan orang Melayu masih tidak kelihatan. Apabila bercakap mengenai dua isu penting ini, tidak keterlaluan jika kita sifatkan kedua-dua komponen PH ini nampaknya masih jauh tertinggal di belakang berbanding UMNO dan PAS.

Tak Perlu Bergabung

Justeru, agenda kerjasama antara kedua-dua parti Melayu Islam terbesar ini perlu dijadikan satu realiti. Kerjasama seumpama ini malah dilihat lebih realistik berbanding cadangan untuk PAS menyertai perjuangan UMNO ataupun BN bagi menghadapi PRU yang akan datang. UMNO dan PAS sendiri secara rasionalnya tidak mahu menimbang kemungkinan tersebut.

Melihat kepada pembawaan ideologi politik masing-masing, UMNO nampaknya belum bersedia menerima agenda Islamisasi menyeluruh yang diketengahkan PAS. Malah PAS juga tentunya tidak akan menimbang sebarang kemungkinan menyertai perjuangan UMNO. Harus diingat, bukan sedikit ahli PAS yang masih anti-UMNO sehingga sekarang. Menyertai UMNO bermakna PAS sengaja menempah musibah apabila ahli-ahlinya boleh sahaja secara berbondong-bondong menyertai AMANAH atau bertindak melakukan sabotaj kepada parti sebagai tanda protes. Begitulah juga dengan UMNO yang boleh merisikokan kekuatan BN di Sabah dan Sarawak jika ia dilihat terlalu rapat dengan PAS.

Walaupun UMNO dan PAS dilihat berbeza dalam pendekatan politik mereka, namun kedua-dua parti ini berkongsi satu cita yang sama apabila mereka sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha mahupun ancaman yang cuba menghakis keutuhan institusi Islam dan Melayu di negara ini. Kedua-dua parti ini tidaklah perlu bergabung untuk tujuan tersebut, tetapi cukuplah sekadar mencari formula dan jalan penyelesaian terbaik dalam merancang masa depan politik tanahair. Hasilnya, kita bukan sahaja bakal melihat penyatuan orang Melayu Islam di Malaysia, bahkan kita juga pastinya akan menyaksikan pembentukan sebuah sistem politik yang lebih kukuh dan stabil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here