DAP

SEJAK pilihan raya diperkenalkan di negara ini, DAP tidak pernah meletakkan calonnya untuk bertanding di Kelantan.

Ini kerana, lebih 95 peratus penduduknya beragama Islam dan berketurunan Melayu manakala hanya kira-kira 3.8 peratus penduduk berketurunan Cina.

Hampir semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kelantan adalah kawasan majoriti Melayu.

Sebelum ini pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, MCA hanya bertanding di satu kerusi iaitu DUN Kota Lama.

Bagaimanapun, DAP dikatakan bakal memecahkan tradisi apabila dijangka bertanding bagi kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 ini.

Parti itu dikatakan akan mendapat laluan daripada komponen Pakatan Harapan bagi kerusi Galas di Gua Musang dan Kota Lama di Kota Bharu.

Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah memaklumkan, DAP telah memohon untuk bertanding di kerusi DUN negeri ini.

Wan Abdul Rahim bagaimanapun berkata, DAP tidak meminta kerusi Parlimen dan keputusan untuk memberikan kerusi atau tidak dibuat oleh peringkat Pusat.

Difahamkan DAP akan menampilkan calon daripada masyarakat Orang Asli bagi kerusi Galas manakala DUN Kota Lama kemungkinan besar akan membabitkan bekas Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Zaid Ibrahim.

Kehadiran DAP di negeri Pantai Timur itu tentunya akan mendapat tentangan hebat daripada PAS.

Hasrat DAP itu bagaimanapun mungkin dialu-alukan oleh PAN yang berhasrat mengambil alih Kelantan daripada PAS.

Lagi pun, PAN amat memerlukan sokongan DAP pada penampilan pertama parti itu dalam pilihanraya umum selepas berpecah daripada induknya, PAS pada 2015.

Persoalannya, mampukah DAP untuk mencapai kemenangan di Kelantan?

DAP tentunya sudah menyusun strategi untuk bertanding di negeri Cik Siti Wan Kembang berkenaan.

Beranikah DAP meletakkan calon berketurunan Cina di Kelantan?

Jika dilihat pada komposisi kaum di Kelantan, sudah tentu DAP akan meletakkan calon Melayu mereka.

Kenapa DAP mula menunjukkan minat bertanding di Kelantan?

Adakah kerana DAP mendapat permintaan dari PAN untuk berbuat demikian?

Pada 30 Jun 2017, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyokong Naib Presiden PAN, Datuk Husam Musa sebagai calon Menteri Besar Kelantan jika tampuk pemerintahan negeri tersebut berubah dalam PRU-14.

Kit Siang memaklumkan, pemilihan Husam dibuat bagi membawa perubahan besar kepada Kelantan yang selama ini diperintah oleh kepemimpinan PAS.

Kenapa DAP menyokong Husam?

PAS menyifatkan Husam sebagai calon Menteri Besar Kelantan yang boleh dikuasai dan patuh kepada DAP.

Bagi menjatuhkan PAS di Kelantan, DAP memerlukan seorang Menteri Besar yang patuh kepada kehendaknya.

Jika dilihat pada rekod pilihan raya, sukar untuk DAP memerintah Kelantan.

Adakah atas faktor itu DAP mengatur orang yang boleh dikuasai parti berkenaan di Kelantan?

Sesungguhnya rakyat Kelantan berhak menentukan siapa Menteri Besar yang akan memimpin negeri itu.

Apakah mereka mahu Menteri Besar yang patuh DAP?

Pada 26 Julai 2017, PAS memaklumkan parti tersebut tidak mempunyai masalah jika DAP mahu meletakkan calon mereka bertanding di Kelantan.

Timbalan Mursyidul Amnya, Datuk Ahmad Yakob menggangap partinya bersedia berhadapan kemungkinan bertembung calon dari pembangkang lain terutama daripada parti serpihan PAP itu dalam pilihanraya umum.

Sebelum ini, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua merasa kesal dengan hasrat PAS untuk meletakkan calon di kubu kuat pembangkang termasuk di kerusi mereka.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu mendakwa tindakan itu secara jelas memperlihatkan PAS ingin menewaskan pakatan pembangkang pada PRU-14 supaya Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak terus kekal menjadi ketua negara.

Beranikah DAP untuk bertanding di semua kerusi Parlimen dan DUN di Kelantan?

DAP perlu berani menyahut cabaran itu. Jika tidak mahu kerusi Parlimen bertandinglah di semua kerusi DUN di Kelantan.

Kita sama-sama lihat sama ada DAP merupakan anak jantan atau tidak.

Kalau DAP berani, letaklah calon di Kelantan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here