kawasan bandar

Pilihan raya umum ke-13 menyaksikan Barisan Nasional (BN) kehilangan beberapa lagi kerusi penting di kawasan bandar dan parti-parti pembangkang dilihat terus menguasai kawasan berkenaan. Sejak berlaku tsunami politik pada pilihan raya umum ke-12, gelombang ini semakin sukar untuk dihentikan dan peralihan sokongan kelompok pengundi bandar dilihat tidak berganjak dan berterusan secara konsisten. Untuk pilihan raya umum ke-14, BN sewajarnya memikirkan dengan teliti apakah nasib calon-calon mereka yang bakal bertanding di kawasan bandar.

Berdasarkan kepada statistik pilihan raya lepas bandar-bandar utama di seluruh Malaysia sudah bertukar menjadi kubu kuat pembangkang, ini termasuklah Georgetown, Ipoh, Alor Setar, Shah Alam, Kuantan, Kuala Terenggan, Kota Bharu, Kuching dan Kota Kinabalu. Berasaskan kepada situasi ini BN dilihat hanya mampu memegang Kangar secara kukuh manakala Johor Bahru walaupun dimenangi BN, tetapi kawasan sekitarnya termasuk Gelang Patah dikuasai oleh parti pembangkang. Manakala kawasan bandaraya Melaka pula melihatkan pembangkang semakin mengukuhkan kedudukan.

Keadaan ini sebenarnya mencerminkan bagaimana kepesatan pembangunan teknologi dan penyaluran maklumat melalui media sosial lebih memberikan kesan kepada pengundi di kawasan bandar. Harus diakui bahawa pembangkang begitu pantas dan cekap dalam mengadaptasi keperluan teknologi seperti ini untuk memastikan kemenangan dapat dikecapi di kawasan bandar. Kekangan menggunakan media arus perdana kini bukan lagi menjadi halangan untuk pembangkang menyalurkan maklumat kempen.

Malah dalam keadaan terkini kerelevanan media arus perdana juga sudah boleh dipertikaikan kerana keupayaan untuk memberi pengaruh untuk sudah semakin berkurangan. Aspek kempen dari sudut media sosial ini merupakan satu perkara yang perlu diterokai secara jelas oleh Kerajaan. Kelebihan dalam menggunakan media arus perdana bukanlah satu petanda Kerajaan mampu menyampaikan maklumat secara berkesan.

Sehubungan itu, untuk memastikan kerusi di kawasan bandar mampu dialihkan kepada pihak Kerajaan, tumpuan besar harus diberikan kepada media baru dalam aspek kempen dan penyaluran maklumat kepada golongan awam. Ahli-ahli politik di pihak Kerajaan perlu memastikan kaedah penggunaan media sosial ini dapat menghasilkan impak positif. Apa yang dikhuatiri ialah Kerajaan melayan keperluan penggunaan media sosial seperti media arus perdana. Ini sebenarnya perlu dielakkan kerana Komunikasi melalui media sosial perlu dilakukan secara santai tetapi bermakna.

Bentuk Komunikasi yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri melalui media sosialnya perlu dicontohi dan diikuti rapat oleh pemimpin-pemimpin BN yang lain khasnya calon-calon yang bakal bertanding di bandar. Media sosial menuntut jawapan pantas dan ini yang perlu difahami dengan jelas.

Selain itu, BN juga pada masa kini sudah harus memiliki senarai calon yang bersesuaian untuk bertanding di kawasan bandar. Pilihan utama untuk calon-calon di kawasan seperti ini ialah memiliki kelulusan akademik yang tinggi di samping mempunyai pengalaman profesional yang kuat. Seorang peguam, arkitek, jurutera, ahli korporat berpengaruh, akauntan dan ahli akademik merupakan wajah-wajah yang harus ditampilkan oleh BN untuk memenangi hati pengundi di kawasan bandar. Perkara ini merupakan strategi penting yang digunakan pembangkang dalam pilihan raya umum lepas dan ternyata ia berbaloi.

Di samping melihat hal-hal berkaitan ekonomi dan menjawab segala fitnah dan tuduhan pembangkang, BN sewajarnya rapat dengan pengundi muda dalam lingkungan umur 40 tahun ke bawah. Ini merupakan kelompok terpenting yang bakal menentukan BN menang atau tewas di kawasan bandar. Dengan kesedaran politik dan demokrasi yang semakin baik, maka kaedah yang perlu digunakan oleh BN dalam menawan hati pengundi muda juga harus seiiring dengan perkembangan ini.

Pengundi muda lebih menghargai keterbukaan dan tidak menyukai kerenah birokrasi dan kaedah kempen yang dilihat lebih ‘cool’ dan rapat dengan golongan muda amat membantu dalam hal ini. Kaedah yang digunakan oleh YB Menteri Belia dan Sukan ketika ini sebenarnya boleh dijadikan penanda aras dalam meraih sokongan pengundi muda dan untuk memastikan keadaan ini tercapai, BN harus meletakkan calon yang lebih muda untuk bertanding di kawasan bandar agar aspirasi pengundi majoriti di kawasan berkenaan lebih mudah difahami.

Selain itu, satu lagi faktor terpenting yang bakal menentukan kemenangan BN di kawasan bandar ialah undi daripada masyarakat Cina. Kita sedari bermula dari pilihan raya umum ke-12 dan seterusnya ke-13, undi masyarakat Cina telah beralih hampir keseluruhannya ke pihak pembangkang dan parti dominan kaum Cina dalam BN seperti MCA dan Gerakan telah tewas teruk dalam kedua-dua pilihan raya ini. Sehubungan itu, untuk memastikan kawasan bandar menjadi milik BN semula, MCA dan Gerakan wajar memainkan peranan penting.

Keyakinan masyarakat Cina terhadap BN perlu dipulihkan segera bagi mengelakkan lebih banyak kawasan-kawasan bandar yang lain jatuh ke tangan pembangkang. Kini masyarakat Cina melihat MCA dan Gerakan tidak lagi mempunyai keupayaan untuk membela mereka dan berasaskan kepada situasi ini MCA dan Gerakan wajar membentuk imej yang lebih terbuka di samping meneliti isu-isu setempat masyarakat Cina. Di samping itu penjelasan yang munasabah terhadap isu-isu nasional juga amat membantu untuk memastikan MCA dan Gerakan kekal relevan.

Ini mungkin perkara-perkara terpenting dalam BN menguatkan kedudukan dan merampas semula kawasan bandar dan jika BN benar-benar serius mahu dilihat kembali relevan di kawasan-kawasan ini maka gerak kerja harus dimulakan dengan pantas dan perasaan orang-orang bandar ini harus dijaga dengan baik untuk memastikan BN kembali berada di puncak utama.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here