KENYATAAN Timbalan Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir tiga hari lalu yang mengatakan bahawa beliau malu mengaku sebagai rakyat Malaysia sangatlah menjengkelkan. Ia benar-benar memberitahu kita kualiti jenis apa pemimpin seperti Mukhriz ini. Apatah lagi apabila kita mengambil kira faktor bahawa beliau pernah memegang jawatan sebagai menteri besar di Kedah dan timbalan menteri di peringkat pusat, kenyataan seperti itu begitu malang dan sangat memalukan.

Mukhriz bukan rakyat dan orang awam biasa. Beliau anak bekas perdana menteri yang pernah mendapat manfaat yang sangat besar daripada keberadaan beliau dalam BN dan UMNO sebelum ini. Malah, kekayaannya juga bukan lagi rahsia apabila ia ‘ditayangkan’ sendiri oleh anaknya di platform media sosial sehingga mendatangkan persoalan dan pertikaian rakyat.

Dalam kenyataannya baru-baru ini, Mukhriz mendakwa beliau malu mengaku sebagai rakyat Malaysia apabila berada di luar negara, dengan hanya mendakwa dari Brunei memandangkan imej negara yang katanya ‘bermasalah’, sudah tercalar dan tercemar di mata dunia akibat pelbagai kontroversi terutamanya rasuah dan penyalahgunaan kuasa pemimpin. Malah, beliau mendakwa keberadaannya di luar negara itu termasuklah ketika mana beliau berada di Makkah untuk menunaikan ibadah umrah.

Mewarisi Sikap Bapa

Tidak dinafikan, Malaysia banyak mencuri perhatian dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Jika diamati dan diteliti, perhatian masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia sejak mutakhir ini tidak terhad kepada isu politik semata-mata, bahkan ia turut melibatkan pelbagai isu lain. Kontroversi dan peristiwa sedih mengenai kehilangan pesawat MH370 dan tragedi malang yang menimpa pesawat MH17 akan terus terpahat dalam sejarah dunia sampai bila-bila.

Namun, bentuk ‘masalah’ yang dimaksudkan Mukhriz itu tentu sahaja berkisarkan tentang isu 1MDB dan beberapa isu besar yang lain seperti FELDA umpamanya. Namun, Mukhriz mungkin lupa bahawa jika benar imej Malaysia sudah benar teruk dan tercalar, dan jika benar nama negara ini sudah ‘busuk’ di mata dunia, ianya juga sebenarnya berpunca daripada sikap dirinya sendiri, bapanya dan pihak pembangkang secara umumnya yang tidak henti-henti berusaha memburukkan nama Malaysia di luar negara.

Bukannya kita sebagai rakyat tidak tahu bahawa sebaik sahaja bapanya Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keluar UMNO pada Februari 2016, bekas perdana menteri itu telah mengelilingi banyak negara di dunia hanya dengan matlamat mahu memburukkan nama negara dan mencemarkan imej pentadbiran Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak. Kelmarin juga menyaksikan Mahathir mengunjungi Duta Kesatuan Eropah (EU), Maria Castillo di kediaman diplomat itu di Petaling Jaya di mana Mahathir dan delegasi EU dilaporkan berbincang selama dua jam mengenai banyak isu berbangkit yang antara lain merangkumi pilihan raya umum (PRU) yang akan datang.

Sebagai rakyat dan orang awam, kita tidaklah tahu apakah butiran terperinci yang dibincangkan oleh Mahathir dengan delegasi EU tersebut, tetapi apa yang pasti Pengerusi PPBM itu sudah tentu tidak akan melepaskan peluang untuk terus memburukkan nama negara di mata negara dan masyarakat Eropah. Jadi, jika benar nama Malaysia sudah tercemar dan tercalar melalui jalan tersebut, mengapa mesti Mukhriz malu untuk mengaku sebagai rakyat Malaysia?

Mungkin Mukhriz sendiri sudah terlupa, nama Malaysia yang kembali mencuri perhatian dunia pada hari ini adalah juga disebabkan keinginan bapanya untuk kembali menjadi perdana menteri. Ketika dunia melihat era kegemilangan dan pemerintahan ‘orang lama’ semakin menghampiri penghujungnya dengan perletakan jawatan bekas presiden Zimbabwe, Rober Mugabe baru-baru ini, muncul pula Mahathir yang mahu kembali memerintah Malaysia pada umur yang sudah pun masuk 93 tahun. Jika misi politiknya berjaya, Mahathir bakal menjadi pemimpin yang tertua di dunia.

Kerakyatan Tiada Kena Mengena Dengan Politik

Amatlah malang bagi seorang bekas ketua kerajaan negeri seperti Mukhriz untuk tidak memahami betapa pentingnya seseorang individu itu perlu menjunjung kerakyatan yang dipegangnya, apatah lagi Malaysia yang tidak membenarkan rakyatnya memiliki dwi-kerakyatan. Kerakyatan perlu difahami dan dipegang sebagai identiti diri, sama seperti seseorang itu melihat identiti bangsanya. Maka apabila Mukhriz malu mengaku sebagai rakyat Malaysia, ia juga membayangkan bekas menteri besar Kedah itu langsung tidak menghargai identiti dirinya sendiri. Dalam bahasa yang mungkin lebih senang difahami, Mukhriz nampaknya tidak langsung berbangga dengan kerakyatan yang dipegangnya, sekaligus ‘memperkecilkan’ Malaysia yang kita cintai ini.

Adalah penting bagi semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum untuk bertindak lebih bijak dalam mengenal pasti batas-batas berpolitik. Jika sekalipun kita tidak berpuas hati dengan pemimpin dan pemerintah, janganlah sampai ‘memperlekehkan’ kerakyatan dan negara sendiri. Pemimpin datang dan pergi. Mereka tidak pun memiliki negara ini. Justeru, apa perlunya berasa malu untuk mengaku diri sebagai rakyat Malaysia. Akhirnya, rakyat jugalah yang sebenar-benarnya menjadi “duta” dan cerminan negara.

Mukhriz tiada Karakter Pemimpin

Nama negara tidak akan ‘busuk’ dan tercemar jika semua rakyat dapat bertindak lebih matang dan bertanggungjawab dengan mengambil sikap semak dan periksa terlebih dahulu sebelum sebarang komen dan pendirian dibuat mengenai isu kepimpinan dalam negara. Akhirnya, bercakap buruk mengenai negara sendiri di luar hanya akan mengundang campur tangan asing sementelah isu yang dibangkitkan tidak pula ada kaitan sama sekali dengan mereka. Dalam jangka masa panjang, sikap seumpama ini akan memudaratkan, apatah lagi apabila perkara yang diceritakan itu hanya direkayasa dan berbentuk fitnah pula.

Maka rakyat seharusnya boleh menilai sendiri karakter Mukhriz dalam hal ini. Apakah ini ciri-ciri individu yang mahu kita pilih untuk memimpin kita kelak? Beliau bercakap seolah-olahnya beliau tidak mempunyai sebarang rasa cinta kepada negara sedangkan beliau pernah menyandang jawatan besar dalam kerajaan. Lebih malang apabila beliau juga nampaknya telah memejamkan mata dan memekakkan telinga terhadap segala bentuk ‘kerosakan’ yang telah bapa beliau cipta sepanjang 22 tahun pemerintahan sebelum ini. ‘Kerosakan’ itu jauh lebih besar jumlahnya. Nampaknya dalam hal ini Mukhriz sudah terlupa untuk melihat cermin terlebih dahulu. Bagaimana mungkin untuk rakyat mengangkat beliau yang dikatakan bercita-cita mahu menjadi perdana menteri, tetapi malu mengaku sebagai rakyat Malaysia?

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here