Esok (26 Ogos 2017) Stadium Shah Alam bakal menjadi saksi perlawanan bola sepak paling hangat dan sengit dalam sejarah Asia Tenggara apabila Malaysia turun menentang tetangga, Indonesia dalam aksi separuh akhir acara bola sepak Sukan SEA 2017.

Bahang perlawanan berkenaan mula terasa hangat sebaik Sukan SEA 2017 membuka tirai kira-kira seminggu lalu apabila muncul insiden bendera Indonesia dicetak terbalik di dalam buku cenderamata rasmi majlis pembukaan sukan serantau yang diadakan secara dwi tahunan itu.

Walaupun Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin telah memohon maaf dan permohonan maaf itu diterima oleh pemerintah Indonesia, namun masih terdapat segelintir pihak yang cuba mengapi-apikan keadaan.

Di Indonesia kumpulan pendesak dengan ideologi nasionalisme esktrem dilihat mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta dan mendesak tindakan lebih keras dikenakan terhadap negara kita.

Namun begitu, respon Presiden Indonesia, Joko Widodo yang meminta semua warga Indonesia bertenang dan tidak terlalu berlebih-lebih dalam memberikan reaksi sekurang-kurangnya telah meredakan keadaan.

Tiada jalan lain dalam menyelesaikan isu seperti ini melainkan melalui saluran diplomasi. Itulah pendekatan yang diambil oleh Kerajaan Malaysia, mengaku salah dan bergerak maju ke hadapan.

Mengambil kira situasi tegang yang berlaku akibat provokasi sesetengah pihak, maka sebarang kemungkinan tidak boleh ditolak ketepi kerana tiket perlawanan berkenaan telah hampir habis dijual dan sudah tentu Stadium Shah Alam bakal penuh dan sesak dengan penyokong dari kedua-dua pasukan.

Untuk itu, bagi kedua-dua penyokong amalkanlah semangat kesukanan yang tinggi dan amatilah perlawanan ini sebagai satu perlawanan dalam aksi sukan yang bersejarah. Ketepikan segala sentimen negatif yang melingkari, ini bukan peperangan atau medan pertempuran, tetapi ruang untuk kita meraikan aksi hebat kedua-dua pasukan.

Sikap mengamalkan sorakan dengan niat menimbulkan ketegangan atau provokasi harus dihentikan kerana sebarang kesilapan dalam soal ini bakal menimbulkan padah.

Disiplin di kedua-dua pihak penyokong amatlah ditagih bagi memastikan perlawanan dapat berlangsung dalam keadaan selamat dan sejahtera. Buktikan kepada dunia bahawa Malaysia dan Indonesia itu bersaudara.

Selain itu, di pihak pemain juga harus menunjukkan kesungguhan dan semangat kesukanan yang tinggi. Kesepaduan sesama ASEAN harus dijulang dan hormati pihak lawan sebagai lawan di atas padang, bukan lawan sebenar yang mahu dihapuskan.

Jika pemain mampu mengawal emosi dan melayan perlawanan ini sebagai satu tuntutan sukan demi mencapai kemenangan, sudah tentu penyokong akan dapat menikmati perlawanan dengan baik dan tenteram tanpa sebarang gangguan emosi dan provokasi keterlaluan.

Kepada kelompok yang mempunyai niat jahat ketika memasuki stadium dan menyimpan hasrat untuk menimbulkan kekacauan, buangkan segera apa yang anda hajati kerana niat seperti itu hanya akan meninggalkan luka yang dalam terhadap hubungan erat kedua-dua negara.

Setiap peraturan perlu dipatuhi dan arahan pihak berkuasa keselamatan yang mengawal ketenteraman stadium wajar difahami sepanjang masa.

Jika semua ini dipatuhi dan dapat diikuti dengan baik, nescaya perlawanan esok bakal menjadi perlawanan bola sepak paling hebat dan harmoni pernah kita saksikan.

Ayuh Harimau Malaya!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here