Pada 30 Ogos 2015 ini, akan berlangsungnya Festival Kesenian ILM (ILM Arts Festival) iaitu perhimpunan terbesar bakat Islam yang akan diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam. Festival ILM adalah yang pertama kalinya akan diadakan di Malaysia pada tahun ini.

Festival yang membawa pelbagai bakat artistik, kreativiti dan inspirasi dunia seni itu bertujuan mempamerkan keindahan Islam dengan menyediakan platform daripada beberapa penghibur dan artis terkemuka dunia.

Antaranya ialah persembahan sketsa komedi daripada pelakon Hollywood, Omar Regan dan Baba Ali. Ini termasuk deklamasi puisi dan sajak serta nasyid daripada artis antarabangsa dan tempatan seperti Opick, Zain Bikha, Ahmad Bukhatir dan Muadz Dzulkefly.

Turut hadir ialah juara dunia dua kali kejohanan tinju dari United Kingdom (UK), Amir Khan.

Komposer dan penyanyi hip hop terkenal tempatan, Altimet dan Mizz Nina juga tampil membuat persembahan mewakili Malaysia.

Pengarah ILM Arts Festival Sajid Hussain berkata, program ini menjadi suara kepada penyatuan masyarakat sekali gus menyerlahkan cabaran bahawa belia Islam hari ini berdepan pelbagai cabaran.

Menurutnya, walaupun kegiatan dakwah semakin berleluasa pada masa kini, kadang-kadang kita terlepas pandang bahawa masih ramai golongan muda beragama Islam tidak menghadiri sesi forum dan majlis bertemakan dakwah.

“Dakwah perlulah diadakan dengan cara yang boleh menarik minat orang ramai. Program seperti ini berperanan sebagai salah satu medium untuk membuka mata masyarakat bahawa dunia Islam itu indah dan mesej ini boleh disampaikan menerusi pelbagai cara.

“Festival ini menampilkan pelbagai bentuk ekspresi kesenian Islam. Antara acara yang akan diadakan termasuk demonstrasi kegiatan riadah seperti skateboard, parkour dan seni mempertahankan diri,” katanya.

03_HIBURAN_190815_Malaysia tuan rumah ILM 2015 buat pertama kalinya
FESTIVAL Kesenian ILM pamer bakat artistik, kreativiti dan inspirasi belia Muslim seluruh dunia.

Selain itu, festival kesenian Islam terbesar ini turut menampilkan hasil seni visual seperti grafiti daripada artis grafiti terkenal United Kingdom, Aerosol Ali dan kaligrafi daripada artis terkenal dalam bidang itu dan fotografi daripada jurugambar ternama, Peter Sanders.

Festival bermula jam 11 pagi hingga 10 malam ini turut disokong Astro Oasis, Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Tourism Malaysia, Visit Malaysia 2015, AirAsia dan iM4U.

Maklumat lanjut mengenai ILM Arts Festival dan tiket berharga RM55, RM108, RM161, RM257, RM 373 dan RM1,062 sila layari laman web www.ilmartsfestival.com.

Sumber: Harian Metro

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here