Malaysia akan menandatangani beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan Jepun berhubung industri pertahanan hujung tahun ini. Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, berkata MoU itu sebahagian daripada usaha Malaysia untuk meningkatkan lagi hubungan ketenteraan antara kedua-dua negara.

“Saya tidak sabar untuk ke Jepun hujung tahun ini bagi menghadiri majlis MoU antara Malaysia dan Jepun membabitkan sektor pertahanan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Self Defense Force (SDF) Jepun di kediaman rasmi Duta Besar Jepun ke Malaysia di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Luar Jepun, Taro Kono; Duta Besar Jepun di Malaysia, Dr Makio Miyagawa dan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzzaman Ahmad Badaruddin.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Malaysia sentiasa mengiktiraf usaha Jepun dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan pada peringkat global.

“Sepatutnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir hari ini, namun ada perkara yang tidak dapat dielakkan. Beliau meminta maaf kerana tidak dapat hadir,” katanya.

Dalam pada itu, Taro berkata, kerjasama antara Malaysia dan Jepun sentiasa kukuh dalam pelbagai bidang dan banyak lagi yang boleh diteroka antara kedua-dua negara.

“Sejak memegang jawatan Menteri Luar Ogos tahun lalu, banyak perkara luar jangka yang berlaku di Asia dengan isu membabitkan Laut China Selatan dan Korea Utara.

“Kita perlu bersama menangani perkara luar jangka dan kekal teguh dalam mengekalkan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Malaysia yang mengambil berat berhubung kejadian banjir di barat Jepun yang sehingga kini meragut hampir 200 nyawa.

Terdahulu, Taro mengadakan kunjungan hormat ke atas Dr Mahathir dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, di Putrajaya selain mengadakan pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here