KUALA LUMPUR 1 Sept. – Penganalisis ekonomi beranggapan tidak ada sebab yang kukuh bagi rakyat untuk mempercayai bahawa ekonomi Malaysia berada di ambang muflis dan mata wang ringgit akan terus jatuh.

Ketua Ahli Ekonomi dan Strategi Pelaburan IQI Group Holdings, Shan Saeed berkata, asas ekonomi negara adalah kukuh dan cukup berdaya tahan untuk membawa pemulihan semula ekonomi dan ringgit.

Ujarnya, beliau percaya ekonomi negara-negara yang terjejas dengan pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) bakal menyaksikan peningkatan selepas 17 September ini apabila mata wang kuasa besar dunia itu jatuh.

“Mengikut kajian yang dijalankan, ekonomi AS akan mengalami penurunan setiap tahun sekitar bulan September dan Oktober, jadi bila dolar AS jatuh, mata wang lain terutama ringgit akan mengukuh, dan sepatutnya didagangkan pada kadar RM3.80 atau RM3.90 berbanding dolar AS,” katanya semasa membuat pembentangan pada Persidangan Ketua Pegawai Kewangan 2015 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Tan Sri Dr. Michael Yeoh; Pengerusi ASLI, Tan Sri Ramon Navaratnam dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Dr. Tan Seng Giaw.

Saeed berkata, kerajaan Malaysia telah melakukan yang terbaik bagi mengembalikan keyakinan pelabur dalam masa-masa yang sukar ini.

“Ketika ini keyakinan dan rasa takut telah menjadi dua pembolehubah dalam ekonomi makro dan jika dilihat kadar perkembangan ekonomi Malaysia yang secara purata berada pada paras 5.2 peratus, ia adalah bagus. Berapa banyak negara luar yang mencapai tahap sedemikian?

“Apa yang penting pada masa sekarang adalah untuk kerajaan menguruskan isu-isu struktur dalaman bagi mengembalikan keyakinan pelabur,” ujarnya.

Tambahnya, kejatuhan ringgit juga disebabkan faktor-faktor luaran yang di luar kawalan kerajaan dan orang ramai seharusnya melihat ia dalam konteks global.

“Bukan Malaysia sahaja terjejas, banyak negeri di rantau ASEAN mengalami kejatuhan mata wang namun saya yakin semuanya akan kembali terkawal kelak,” katanya.

Sumber: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here