Biarpun pendirian Malaysia menolak sekeras-kerasnya keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel akan memberikan sedikit sebanyak kesan terhadap ekonomi negara, namun kerajaan tidak gentar dalam usaha memperjuangkan hak umat Islam di Palestin.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Othman Aziz berkata, kerajaan tegas dalam pendirian demi menyelamatkan Baitulmaqdis daripada dikuasai Israel kerana ia adalah tempat suci ketiga umat Islam.

“Malaysia berdagang dengan pelbagai negara seperti Jepun, China, Eropah dan negara-negara Asia lain, bukan hanya dengan Amerika Syarikat. Jadi, kita tidak perlu risau dengan ekonomi negara ini, asalkan kita sudah melaksanakan tanggungjawab kita sebagai sebuah negara Islam.

“Kita (Malaysia) telah nyatakan pandangan kita untuk menolak pengiktirafan tersebut dalam pelbagai platform seperti di negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Kita tidak perlu risau kesan penolakan tersebut terhadap ekonomi kita dan sebagai sebuah negara Islam, kita tidak boleh berdiam diri,” katanya selepas Program Town Hall bagi mendengar permasalahan penduduk dari sekitar Jerlun, di Kodiang, hari ini.

Perhimpunan Agung PBB mengisytiharkan keputusan AS mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel sebagai tidak sah dan terbatal melalui pengundian 128 negara menolak keputusan AS itu dan 9 negara menyokong.

Othman yang juga ahli Parlimen Jerlun berkata, kerajaan menentang sekeras-kerasnya tindakan mencemarkan imej Islam itu.-BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here