Malaysia tetap berpegang dengan pendirian membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pendirian itu jelas walaupun Malaysia mempunyai hubungan baik dengan AS.

“Kita boleh kerjasama (dengan AS) dalam bidang lain tapi kita pegang pada prinsipĀ  bahawa kita tak boleh terima sama sekali (pengumuman Trump). Ini kerana ia bertentangan soal kedaulatan yang telah ditentukan oleh resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Kerjasama kita dengan AS bersifat multidimensional jadi banyak aspek lain kita boleh kerjasama. Tapi dalam soal prinsip (isu Palestin), kita tetap dengan pendirian kita,” katanya dalam sidang media, semalam.

Menurut beliau, pengumuman Trump itu juga akan menyulitkan penyelesaian, membawa ketegangan dan pertumpahan darah yang dahsyat jika langkah segera tidak diambil.

“Saya difahamkan bukan saja orang Islam, tetapi orang Kristian juga tidak senang hati dengan pengumuman tersebut.

“Negara Eropah dan negara bukan Islam juga hampir semua tak bersetuju dengan tindakan itu,” katanya.

Menurut Najib, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman akan menyertai Persidangan OIC Peringkat Menteri-menteri Luar di Istanbul pada 10 Disember ini dan diikuti dengan persidangan peringkat ketua kerajaan yang akan dihadiri beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here