rome

Kerajaan Malaysia perlu memberi pertimbangan secara serius bagi merealisasikan komitmen lamanya untuk menandatangani Statut Rome yang akan membuka ruang untuk pihak kerajaan Malaysia membawa sebarang kes berkaitan dengan jenayah kemanusiaan ke peringkat ICC.

Ini susulan hasil dapatan tribunal yang membongkar dakwaan pelakukan jenayah terhadap penduduk etnik Rohingya dan kumpulan etnik lain oleh kerajaan Myanmar yang telah dianjurkan di Universiti Malaya baru – baru ini yang sukar untuk dibawa ke peringkat Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) kerana Malaysia bukan ahli kepada Statut Rome. Isu berkaitan dengan penyertaan Malaysia ke dalam ICC bukan lah satu isu baru kerana ianya telah lama dibincangkan diperingkat kabinet semenjak tahun 2011 yang lalu, namun sehingga kini tiada perkembangan terbaru mengenainya dilaporkan.

Dengan mengambil kira segala permasalahan yang berlaku serta yang bermungkinan akan berlaku dalam negara kita dimasa depan yang boleh melibatkan serta menjejaskan nama baik negara kita, pihak kerajaan perlu memberi pertimbangan secara serius bagi menandatangani Statut Rome yang akan membuka jalan kepada negara kita untuk menjadi anggota kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang kini telah dianggota oleh sebahagian besar negara dunia.

Memandangkan pada masa kini, kita masih belum menjadi anggota kepada mahkamah berkenaan, agak sukar untuk kita mengambil sebarang tindakkan sewajarnya terhadap beberapa insiden yang berlaku yang melibatkan kepentingan negara kita serta yang melibatkan pihak – pihak tertentu seperti konflik kemanusiaan yang berlaku terhadap penduduk etnik Rohingya, insiden tembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di Wilayah Timur, Ukraine pada Julai 2014 yang lalu serta peristiwa pembunuhan Kim Jong Nam di KLIA2 pada Februari 2017.

Walaupun terdapat beberapa saluran lain pada masa kini yang boleh digunakan untuk tujuan siasatan dilakukan dan tindakkan undang – undang diambil terhadap pihak – pihak yang terlibat namun dengan menandatangani Statut Rome terbabit sekurang – kurangnya ia boleh membuka ruang untuk satu saluran undang – undang lain dipertimbangkan dan digunakan bagi menegakkan keadilan kepada mangsa – mangsa yang terlibat. Setakat tahun 2016, 124 buah negara dunia yang telah menandatangani serta menerimapakai perjanjian statut berkenaan.

Dengan menandatangani Statut Rome serta menyertai ICC, Malaysia dapat melindungi hak – hak warganya, hak – hak orang teraniaya serta pada masa yang sama dapat memberi amaran kepada mana – mana pihak termasuk negara tertentu supaya tidak terus memandang rendah serta memperlekehkan negara kita.

Dengan keadaan keselamatan dunia yang masih tidak menentu pada masa kini terutamanya ancaman berterusan yang datang dari pihak dan kumpulan pengganas serta ancaman yang lain, penyertaan negara kita ke dalam agensi antarabangsa berkenaan sedikit sebanyak dapat memberi negara kita sokongan dan bantuan sekiranya ianya diperlukan kelak.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here