Malaysia bersetuju melanjutkan pelarasan pengeluaran minyak sehingga 31 Disember 2018, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata persetujuan itu dibuat selaras dengan keputusan untuk memperluas lagi ‘Deklarasi Kerjasama’ untuk tempoh sembilan bulan lagi pada Mesyuarat Peringkat Menteri Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan Bukan Opec, di Vienna, Austria pada 30 Nov.

“Pelanjutan penyesuaian pengeluaran diperlukan untuk mengurangkan inventori minyak ke tahap yang lebih munasabah, yang akan memberikan kestabilan dan kelestarian dari segi harga, selain permintaan dan bekalan.

Sejak Januari hingga Oktober 2017, negara OPEC dan Bukan OPEC berjaya mengurangkan tahap inventori membabitkan lebih daripada 600 juta tong.

Berdasarkan anggaran, lanjutan pelarasan pengeluaran itu akan memudahkan pasaran minyak melalui perseimbangan semula menjelang akhir 2018. Ini merupakan antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan harga sejak 2016,” katanya dalam satu kenyataan dari Vienna hari ini.

Abdul Rahman mewakili Malaysia pada mesyuarat peringkat menteri, manakala pegawai kanan dari Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri menghadiri mesyuarat teknikal sehari sebelum mesyuarat peringkat menteri.

Pada mesyuarat itu juga beliau berkongsi pandangan Malaysia terhadap persetujuan untuk meneruskan penyertaan dalam dasar pelarasan pengeluaran tersebut.

Beliau berkata Malaysia tidak berminat untuk melihat harga minyak mencapai US$100 atau lebih setong seperti sebelumnya.

“Malaysia lebih suka harga minyak yang stabil, pada paras yang munasabah, memandangkan turun naik harga tidak baik untuk unjuran hasil negara.

“Harga minyak yang stabil dan seimbang akan memudahkan perancangan belanjawan ekonomi, dan mengekalkan inflasi,” katanya.

Abdul Rahman berkata mesyuarat itu juga merupakan ulang tahun pertama Deklarasi Kerjasama antara negara OPEC dan bukan OPEC,  yang ditandatangani pada Disember 2016.

Semasa mesyuarat pertama, Malaysia komited mengurangkan secara sukarela minyak mentah dan pengeluaran kondensat sebanyak 20,000 tong sehari. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here