Malaysia Rasional

Setiap hari isu masyarakat Rohingya terus menjadi perhatian dunia dan di Malaysia juga isu ini terus menjadi topik perbincangan hangat di mana sahaja. Sudah tentu masyarakat Malaysia tertarik untuk bercakap tentang Rohingya kerana kita merupakan antara negara yang menerima dan memberi perlindungan kepada mereka. Pada awalnya setiap daripada kita menunjukkan rasa simpati terhadap mereka, tetapi keadaan itu semakin berubah apabila ada antara kita yang mula bercakap soal isu-isu sosial yang melanda Malaysia kesan daripada kemasukan masyarakat Rohingya ini.

Sama ada baik atau buruk, bercakap soal kemanusiaan masih menjadi peringkat terpenting apabila kita menyebut tentang Rohingya. Dalam apa jua keadaan sudah tentu aspek kemanusiaan itu tidak boleh diabaikan. Jelas Malaysia melalui Kerajaan kini telah memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan berbentuk kemanusiaan kepada etnik ini. Namun satu aspek yang dipertikaikan kini ialah keupayaan negara menjaga kepentingan dan mengelak daripada tindakan dengan maksud kemanusiaan boleh bertukar menjadi sesuatu yang negatif.

Dalam menilai dan melihat isu Rohingya, kita harus mengetepikan sentimen negatif berbaur emosi. Segala-galanya harus berpaksikan kepada pandangan yang praktikal dan melihat dari segenap segi. Namun ini yang sukar untuk kita dapatkan apabila membincangkan hal-hal penting dan besar seperti isu etnik Rohingya. Kebanyakan daripada kita hanya bercakap sesuka hati dan tidak langsung mengambil peduli hal-hal hubungan antarabangsa yang sebenarnya amat penting apabila kita membincangkan isu ini.

Baru-baru ini sebuah badan bukan kerajaan dikenali sebagai Global Peace Mission (GPM) Malaysia telah memberikan cadangan untuk Malaysia menghantar isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk melawat kem pelarian Rohingya di Bangladesh dan pergi sendiri ke Myanmar untuk melihat keadaan etnik itu. Selain itu, GPM Malaysia melalui Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin turut mencadangkan Malaysia menghantar Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman ke kawasan utama etnik Rohingya itu.

Cadangan daripada GPM Malaysia ini nampaknya sudah terpesona dengan apa yang dilakukan oleh Kerajaan Turki pimpinan Recep Tayyip Erdogan dan isterinya Emine Erdogan. Emine baru-baru ini telah datang sendiri ke Myanmar dan melawat kem pelarian etnik Rohingya. Malah Presiden Turki itu turut bersedia menawarkan bantuan kewangan kepada Bangladesh untuk membantu meringankan penderitaan yang ditanggung oleh etnik berkenaan.

Satu hal yang tidak difahami oleh GPM Malaysia ialah Turki bukan negara yang berada di rantau Asia Tenggara dan Turki tidak terikat dengan sebarang komitmen serta perjanjian serantau di peringkat ASEAN. Selain itu, Turki juga dilihat sebagai kuasa luar yang datang membantu. Namun situasi Turki bukan sama dengan apa yang dihadapi Malaysia. Negara kita tidak memiliki keupayaan untuk melihatkan campur tangan secara terus ke atas isu ini. Namun, Malaysia bertindak atas landasan kemanusiaan yang tidak melanggar sebarang hal berkaitan diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Sehubungan itu, sebarang bantahan yang dilakukan Malaysia adalah melalui saluran diplomasi, sementara sebarang bantuan yang dihulurkan pula menggunakan nama badan-badan bukan kerajaan yang mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan. Perlu kita sama-sama ingat bahawa ASEAN memiliki prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman mana-mana negara dan walaupun isu Rohingya dilihat sebagai isu kemanusiaan, Malaysia mempunyai batas-batas tertentu dalam mengendalikan isu ini.

Sehubungan itu, cadangan untuk isteri Perdana Menteri dan Menteri Luar ke wilayah Rakhine dan Bangladesh untuk melihat sendiri penderitaan warga Rohingya, boleh disifatkan sebagai satu cadangan yang tidak memahami norma hubungan dalam ASEAN dan diplomasi secara keseluruhannya. Jika cadangan berkenaan dilaksanakan, maka Malaysia akan dilihat Myanmar sebagai cuba mencampuri urusan dalaman mereka secara terus dan sudah tentu ini akan memburukkan lagi keadaan.

Kerajaan kini mempunyai perancangan tersendiri dalam memastikan hak-hak kemanusiaan etnik Rohingya terpelihara. Malaysia bukan tidak pernah membantu, malah jika mahu dibandingkan dengan Turki, Malaysia lebih banyak memberikan perlindungan kepada etnik ini. Justeru, elakkan daripada terjerumus daripada memberikan pandangan tempang yang tidak memiliki asas hubungan antarabangsa dan diplomasi kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan. Berfikirlah dengan tenang dan waras, seterusnya berikanlah pendapat yang kukuh dan rasional.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here