Pusingan

BANGKOK — Malaysia mengesahkan tiket ke pusingan akhir Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun (B-23) di China, Januari depan, selepas muncul juara Kumpulan H pada pusingan kelayakan di sini, malam ini.

Skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee layak secara automatik selepas mengalahkan Mongolia 2-0 manakala pencabar terdekat, Thailand, hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Indonesia.

Malaysia menamatkan kempen kelayakan dengan mengungguli kumpulan tersebut dengan enam mata diikuti Thailand dengan lima mata, Indonesia (empat) dan satu mata oleh Mongolia selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan.

Juara daripada 10 kumpulan yang bersaing dalam kejohanan itu layak secara automatik ke pusingan final bersama dengan lima pasukan naib juara terbaik serta tuan rumah China pada pusingan akhir yang menampilkan 16 pasukan.

Malaysia, yang menghadapi pelbagai rintangan semasa persediaan skuad negara, memulakan kempen dengan mengalahkan Indonesia 3-0 dan kalah dengan Thailand dengan jaringan sama sebelum mengutip mata penuh ke atas Mongolia.

Thailand, selaku pasukan pilihan kumpulan tersebut, menerima kejutan pada perlawanan pembukaan apabila seri 1-1 dengan Mongolia sebelum bangkit semula untuk mengalahkan Malaysia 3-0 dan mengutip satu mata apabila seri 0-0 dengan Indonesia.

Kejayaan skuad Kim Swee mara ke pusingan akhir tahun depan dicapai walau pasukan berhadapan dengan masalah persiapan dengan beberapa pemain gagal melaporkan diri pada latihan pusat berikutan tidak mendapatkan pelepasan pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia.

Barisan pemain negara hanya dikumpulkan kira-kira lima hari sebelum hari pertandingan dan tiba di sini sehari sebelum perlawanan pertama mereka.

Ia berlainan dengan skuad Indonesia yang berkumpul di Bangkok kira-kira 10 hari sebelum perlawanan pertama mereka dan menjalani latihan pusat berbulan-bulan sebelum itu.

Indonesia melengkapkan jadual dengan kalah 3-0 kepada Malaysia, membelasah Mongolia 7-0 sebelum seri 0-0 dengan Thailand.

— BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here