Pelantikan Universiti Kolej Agrosains (UCAM) sebagai rakan strategik Malaysia International Halal Academy (MIHA) kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah antara usaha dijalankan, bagi memperkasakan industri halal ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, pelantikan itu  menjadikan UCAM melalui UCAMHalal Center panel industri yang menyediakan program dan latihan berkaitan bidang halal.

“Seramai 36 usahawan Risda berjaya memperoleh pensijilan halal Jakim menerusi program Rishall Certificate dijalankan oleh UCAMHalal Center.

“Mereka juga berpengalaman membantu Risda melaksanakan program berkaitan halal termasuk melatih, membimbing dan memantau usahawan Risda sehingga memperoleh pensijilan halal dikeluarkan Jakim,” katanya pada Majlis Pelantikan Rakan Strategik MIHA-Jakim, semalam.

Pada majlis sama turut diadakan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara UCAM dan Persatuan Industri Halal Korea (Kohas).

Mengenai MoU itu katanya, ia bertujuan mempromosikan standard dan prosedur halal Malaysia di Korea.

“Melalui kerjasama ini, UCAMHalal Center juga akan dapat menjalankan kajian dan pembangunan industri halal di Korea, serta dapat melatih tenaga kerja halal kompeten bersesuaian dengan keperluan masa.

“Saya yakin, ia  langkah baik untuk UCAMHalal Center mengembangkan potensi dalam pengendalian kursus halal di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Kohas, Jo Young Chan berkata, kesedaran terhadap kepentingan produk halal di negara itu wujud sejak tiga tahun lalu apabila kerajaannya mula menyedari kepentingan industri halal yang kini semakin berkembang.

“Sebelum tempoh itu, negara kami memang eksport produk ke Malaysia, tapi ketika itu kami tidak mengetahui apa itu halal. Produk kami eksport ada yang mungkin halal dan sebaliknya.

“Selepas mengetahui kepentingan halal, kami hanya eksport produk halal ke negara ini dan mendapatkan pengiktirafan halal Jakim dan negara lain,” katanya.

Menurutnya, usaha memperkasakan industri halal tidak hanya tertumpu kepada produk yang dieksport, malah ia turut diperluaskan di negara tersebut.

“Melalui kerjasama ini, kami  akan lebih sistematik dalam penghasilan produk halal di Korea. Bagi kami, ini permulaan yang baik,” katanya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Risda, Datuk Nasarudin Malek; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jakim, Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengerusi UCAM, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh dan Naib Canselor UCAM, Prof Datuk Dr Faridah Hanam Mohd Rashid.-SINAR

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here