Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa mengamalkan prinsip kesederhanaan dan mempunyai pendirian yang konsisten terhadap usaha menentang fahaman ekstremisme dan radikalisasi. Usaha Malaysia dalam hal ini sentiasa mendapat perhatian dunia dan keamanan yang dicapai Malaysia merupakan bukti penting terhadap keseriusan kerajaan menangani fahaman yang mampu mencetuskan bahaya terhadap keselamatan negara.

Gerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang diilhamkan Najib merupakan tunjang kepada usaha berterusan Malaysia bagi mewujudkan keamanan di rantau ini dan seterusnya di seluruh dunia. Malaysia jelas memainkan peranan aktif melihat kesederhanaan sebagai jalan terpenting untuk mencapai keamanan dunia dan melenyapkan segala konflik yang terjadi. Malaysia dilihat berkelayakan untuk bercakap tentang hal ini kerana telah menjadi sebuah negara contoh yang mengamalkan prinsip kesederhanaan dalam pentadbiran dan pengurusan negara.

Sebagai sebuah negara yang memiliki penduduk berbilang kaum dan agama, Malaysia mampu kekal aman dan sejahtera tanpa wujud sebarang pertelingkahan besar yang mampu menggugat kestabilan negara. Keupayaan Kerajaan mengekalkan perpaduan dan membentuk Malaysia menjadi negara yang bersatu di sebalik kepelbagaian merupakan sesuatu perkara yang menjadi kekuatan penting kepada negara dan contoh kepada pihak antarabangsa.

Pada Jumaat lalu, satu resolusi usaha mempromosi kesederhanaan sebagai pendekatan menangani ekstremisme dalam semua bentuk yang dibentangkan oleh Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York telah diluluskan semasa sesi ke-72 Perhimpunan Agung PBB. Resolusi yang diilhamkan oleh GMM itu jelas mendapat sokongan meluas negara-negara lain apabila 135 negara memberikan sokongan, namun Amerika Syarikat dan Israel telah mengambil keputusan untuk menentang resolusi berkenaan.

Kandungan terpenting resolusi ini ialah tahun 2019 akan dijadikan sebagai Tahun Kesederhanaan Global bagi menggerakan suara sokongan berterusan terhadap gerakan kesederhanaan melalui dialog dan pengenalan nilai toleransi di samping pengukuhan kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat antarabangsa. Penerimaan majoriti besar anggota PBB terhadap resolusi ini membuktikan Malaysia kini diiktiraf sebagai peneraju gerakan kesederhanaan.

Agak mengecewakan untuk negara seperti Amerika Syarikat dan Israel yang sebelum ini melaung-laungkan usaha memerangi pengganas tidak menyokong resolusi ini. Sebenarnya hal ini memberikan isyarat jelas bahawa Amerika Syarikat dan Israel tidak menggemari jalan kesederhanaan dan damai sebagai jalan untuk mengatasi masalah ekstremisme dan radikalisasi. Kedua-dua negara sekutu ini gemar mencetuskan perang dan melihat dunia musnah.

Pendekatan Malaysia yang jelas berbeza kini mendapat tempat dalam kalangan negara-negara lain di seluruh dunia. Ini juga menjadi bukti bagaimana Malaysia mempunyai kaedah tersendiri yang mampu ditawarkan sebagai penawar kepada gejala ekstremisme yang tidak sihat dan sedang menular menjadi penyakit global. Undian tidak bersetuju Amerika Syarikat dan Israel juga menunjukkan bagaimana kedua-dua negara ini tidak berasa selesa dengan peranan yang sedang dimainkan Malaysia di tengah-tengah kehangatan sokongan berterusan negara terhadap perjuangan rakyat Palestin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here