nuklear

Minggu ini genap lah usia 72 tahun pengunaan senjata pemusnah bom atom di bandaraya Hisroshima dan Nagasaki, Jepun pada 6 & 9 Ogos 1945 sekaligus menamatkan Perang Dunia Kedua (1939 – 1945) yang telah menyaksikan kematian jutaan penduduk dunia terutamanya penduduk di Eropah dan Asia Timur termasuk Malaysia.

Penguguran bom atom ke atas kedua – dua buah bandaraya berkenaan telah menyebabkan kemusnahan teruk ke atas kedua – dua buah bandaraya itu serta telah menyebabkan kehilangan nyawa ramai masyarakat umum yang tidak bersalah termasuk golongan wanita, warga tua serta kanak – kanak.

Tidak dapat dipastikan sehingga kini jumlah sebenar mangsa yang terlibat dalam kejadian terbabit. Namun jumlah mangsa yang dinyatakan melalui rekod – rekod sejarah adalah dalam sekitar 120,000 – 140,000 orang.

Kesan radioaktif akibat daripada pancaran bom atom terbabit juga telah menyebabkan masalah kesihatan yang teruk yang terpaksa dipikul oleh mangsa – mangsa yang terselamat dan kesan yang dihadapi oleh mereka juga masih kelihatan sehingga kini. Semenjak tamatnya Perang Dunia Kedua, senjata bom atom ini telah ditambahbaik dari segi kekuatan kemusnahannya dan kini ia lebih dikenali sebagai bom nuklear.

Selain daripada pembangunan senjata nuklear, teknologi nuklear ini telah mula dan banyak dibangunkan khususnya di negara – negara barat sebagai sumber alternatif untuk memenuhi permintaan rakyat mereka yang semakin meningkat dari tahun ke tahun khususnya sumber elektrik.

Walaupun teknologi nuklear ini dapat memberi manfaat yang banyak, namun umum harus ketahui risiko besar yang terpaksa dipikul untuk memiliki teknologi berkenaan. Jika diteliti dari rekod sejarah, kita telah didedahkan dengan pelbagai jenis insiden terutamanya kesan daripada kebocoran bahan – bahan yang berasaskan radioaktif hasil daripada pengunaan teknologi nuklear seperti yang berlaku di Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, India, Pakistan, Jepun, Pakistan, Rusia, Korea Selatan, Ukraine, United Kingdom, serta Amerika Syarikat.

Kita semua masih ingat kemalangan yang berlaku di Loji Kuasa Nuklear Fukushima, Jepun susulan gempa bumi dan tsunami yang melanda negara berkenaan pada 11 mac 2011 yang lalu. Kemalangan yang berlaku di loji berkenaan telah menyebabkan masyarakat sekeliling yang tinggal di sekitar kawasan berkenaan berasa dalam keadaan panik kerana bimbang diri mereka telah terdedah dengan bahan radioaktif. Kemalangan yang berlaku di loji terbabit juga telah menyebabkan haiwan, tanaman termasuk tanah di kawasan yang berhampiran turut terdedah kepada risiko bahan radioaktif.

Peristiwa yang lebih dashyat melibatkan kemalangan yang berlaku di loji nuklear pernah berlaku di Loji Kuasa Nuklear Chernobyl, Ukraine, bekas Kesatuan Soviet pada 26 April 1986 dimana satu kejadian letupan dan kebakaran telah melepaskan sejumlah besar bahan pencemar radioaktif ke dalam atmosfera, yang tersebar ke sebahagian besar Eropah Timur. Bencana terbabit masih dianggap ramai sebagai kemalangan yang paling dahsyat dalam sejarah yang melibatkan loji kuasa nuklear.

Sehingga kini tapak serta kawasan sekeliling loji nuklear berkenaan tidak dipenghuni oleh mana – mana pihak akibat pecemaran yang teruk berlaku disana. Berdasarkan faktor ini, adalah penting supaya kerajaan Malaysia untuk mengambil iktibar di atas peristiwa yang telah berlaku serta menimbangkan secara serius untuk tidak bergantung harap kepada teknologi nuklear yang berisiko tinggi terhadap nyawa orang ramai serta pencemaran kepada alam sekeliling.

Selain daripada mengunakan teknologi nuklear, pihak kerajaan boleh mempertimbangkan langkah untuk membangunkan teknologi hijau yang lebih selamat, murah serta mudah diperolehi dalam negara kita bagi memenuhi permintaan tenaga dalam negara kita seperti tenaga yang berasaskan pengunaan tenaga matahari atau solar, tenaga yang berasaskan pengunaan air, tenaga yang berasakan pengunaan angin, tenaga yang berasaskan pengunaan bahan – bahan sampah atau sebarang bahan buangan dan lain – lain lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here